SISTEM EJAAN ZA’BA
Zainal Abidin bin Ahmad
Tan Sri (Dr.) Zainal Abidin bin Ahmad (16 September 1895 – 23 Oktober 1973), juga dikenali sebagai Za'aba merupakan seorang sasterawan bahasa Melayu dan pemikir keturunan Minangkabau yang giat menulis sekitar tahun 1940-an. Berdasarkan pencapaiannya dalam bidang kesusasteraan, beliau merupakan salah seorang budak kampung yang berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang tokoh yang terkemuka dalam sejarah Malaysia.
Beliau merupakan seorang cendekiawan Melayu yang dihormati dan selama hampir 40 tahun, aktif dalam kegiatan penulisan termasuk penterjemahan. Aktiviti beliau juga tertumpu kepada penerbitan buku sekolah dan bacaan umum di Biro Penterjemahan, Maktab Perguruan Sultan Idris.
Kehidupan Awal
Zainal Abidin dilahirkan pada 16 September 1895 di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan. Beliau anak sulung daripada tiga adik-beradik kepada Intan Awaluddin (1877-1907), seorang Minangkabau Tanah Datar dan Ahmad Ibrahim (1862-1927), seorang suku Bugis Linggi Kepulauan Riau; Ahmad berharta hasil kerjanya sebagai petani dan pemborong yang mengerjakan jalan-jalan kecil di Bahau dan Kuala Pilah, dia tidak sahaja berpengetahuan agama malah satu-satunya penduduk kampungnya yang pandai membaca dan menulis.
Zainal belajar sendiri menulis ketika berusia lima tahun pada daun-daun pokok pisang, gelagatnya menarik perhatian ayahnya yang membelikannya papan tulis untuknya. Hadiah tersebut mendorong Zainal mendalamkan lagi minatnya menulis serta tajamkan lagi kemahirannya. Beliau turut diajar untuk mengaji al-Quran pada usia muda ini.
Ibunya meninggal dunia pada tahun 1907 ketika Za'ba berumur 12 tahun.
Pendidikan
Beliau mula mendapat pendidikan secara rasmi di sebuah sekolah Melayu di Linggi. Disebabkan beliau sudah bijak membaca, menulis jawi dan rumi, beliau ditempatkan dalam darjah tiga. Ayahnya menghantarkannya ke sebuah sekolah berdekatan di Linggi tahun 1909 kerana mahukannya belajar bahasa Arab dan fekah sehingga mahir sebagai seorang ulama, namun Zainal berubah minat sendiri.
Beliau menyambung pembelajarannya di Institusi St. Paul Seremban dan merupakan orang Melayu pertama menduduki peperiksaan Senior Cambridge dan lulus peperiksaan pada 1915.
Kerjaya Awal
Zaaba memulakan kerjayanya sebagai guru sekolah di Johor Bahru pada tahun 1916 di English College, dan kemudiannya bertukar ke:
1918: Kolej Melayu Kuala Kangsar
1923: Jabatan Pendidikan, Kuala Lumpur
1924: Kolej Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim
1939: Jabatan Maklumat, Singapura sehingga 1942
1942: Pusat Pengajian Kajian Timur dan Afrika, Universiti London sehingga 1951
1954: Universiti Malaya, Singapura sehingga 1959.
Zaaba adalah seorang yang gemar membaca dan memiliki bakat dalam bidang penulisan. Kebanyakan hasil penulisannya muncul dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah tempatan seperti Utusan Melayu, Lembaga Melayu, Pangasuh dan Pakar Majalah. Beliau telah menerbitkan beberapa siri monograf dalam bahasa Melayu, termasuk Bahasa Pelita, dan Ilmu Mengarang. Hasil penulisannya yang lain termasuk Cerita-cerita Shakespeare terbitan Percetakan Gudang Chap di Singapura yang menghimpunkan seberapa karya terpilih karyawan bahasa Inggeris William Shakespeare yang diterjemahkan Zaba sendiri.
Kerjaya Politik
Selepas tentera Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, Zaaba sekeluarga berpindah ke Kuala Lumpur. Tentera British datang semula ke Tanah Melayu. Oleh sebab itu, mereka menubuhkan Malayan Union. Penubuhan ini ditentang oleh pemimpin-pemimpin Melayu. Penentangan tersebut diketuai oleh Dato' Onn Jaafar dan menubuhkan UMNO sebagai usaha untuk menyatupadukan bangsa Melayu. Zaaba dilantik menjadi Setiausaha Agung UMNO yang pertama namun jawatan tersebut tidak kekal lama kerana beliau lebih berminat dengan bidang penulisan dan Bahasa Melayu.
Senarai Karya
Temasya Mandi Safar di Tanjung Kling.
Ilmu Bahasa Melayu (1926)
Rahsia Ejaan Jawi (1929)
Umbi Kemajuan (1932)
Falsafah Takdir (1932)
Pendapatan Perbahasan Ulama pada Kejadian Perbuatan dan Perusahaan Hamba (1934)
Pelita Mengarang: Ilmu Mengarang Melayu (1934)
Daftar Ejaan Melayu: Jawa-Rumi (1938)
Siri Pelita Bahasa Melayu
Jilid I (1940)
Jilid II (1946)
Jilid III (1949)
Asuhan Budi Menerusi Islam (1958)
Penghargaan
Untuk menghargai jasa beliau, Zaaba telah dianugerahkan:
1956: Gelaran Pendeta Bahasa Melayu di Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga
1959: Doktor Persuratan dari Universiti Malaya
1973: Ijazah Doktor Kehormat Persuratan dari Universiti Kebangsaan Malaysia
1962: Panglima Mangku Negara yang membawa gelaran Tan Sri
Meninggal Dunia
Kesihatan Za'aba semakin terjejas apabila umurnya semakin meningkat. Akhirnya pada 23 Oktober 1973, beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada hari Selasa pada umur 78 tahun setelah menjalani pembedahan batu karang. Beliau telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Pemergian beliau sebagai seorang pendeta dan karyawan merupakan suatu kehilangan besar kepada negara. Sumbangan Za'aba terhadap ilmu Bahasa Melayu tidak ternilai harganya.
Sistem Ejaan Za’ba
Menurut sejarah Sistem Ejaan, Sistem Ejaan Za’ba merupakan system yang pertama dalam system ejaan rumi Bahasa Melayu yang disusun oleh orang berbangsa Melayu pada tahun 1933 iaitu sebelum Perang Dunia Kedua dan telah tersiar dalam Sistem Ejaan Melayu Jawi – Rumi 1949. Sistem ejaan ini telah dihasilkan di SITC (MPSI) dan juga merupakan sistem ejaan rumi yang terkenal sebelum kewujudan Sistem Ejaan Baharu. Sistem ejaan ini juga telah disusun dan diperkemas dalam jangka masa beberapa tahun dan termuat dalam beberapa buah buku pedoman Bahasa terbitan Pejabat Karang Mengarang SITC seperti Ilmu Bahasa Melayu Penggal I (1926), Pelita Bahasa Melayu Penggal 1 (1941) dan Daftar Ejaan Melayu (Jawi-Rumi) (1949) dengan judul “Petua-petua Ejaan Rumi” yang kesemuanya dikarang sendiri oleh Za’ba. Lantaran itu, system ejaan ini telah dijadikan sebagai system ejaan rasmi dalam kerajaan Malaysia. Sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi sehingga tahun 50-an sebelum digantikan dengan Sistem Ejaan Baharu Bahasa Malaysia pada 16 Ogos 1972.
Ketika itu juga, Ejaan Fajar Asia juga turut digunakan. Sistem ejaan berkenaan juga telah digunakan sebagai ‘Ejaan Sekolah’ yang sebenar. Dalam system ejaan ini dikatakan mempunyai pengaruh transliterasi huru Arab ke huruf Rumi dan telah menyebabkan banyak kelemahan yang dapat dikesan serta tidak tetap atau konsisten yang menganggu pengguna Bahasa Melayu.
Selain itu, Sistem Ejaan Za’ba tidak menggunakan teori dan Teknik linguistik kerana ianya hanya melambangkan bunyi-bunyi Bahasa Melayu melalui huruf-huruf rumi yang digunakan dalam Sistem Ejaan Jawi Bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, terdapat kekurangan huruf jawi dan rumi untuk melambangkan bunyi-bunyi yang terdapat dalam Bahasa Melayu. Maka, grafem dan tanda-tanda baharu telah digunakan untuk mencukupkannya.
Ejaan Rumi Za’ba
Za’ba telah menyusun sistem ejaan Rumi bahasa Melayu pada tahun 1933 dan tersiar dalam Daftar Ejaan Melayu Jawi-Rumi 1949. Sistem Ejaan Wilkinson yang dipakai sebelum ini terdapat beberapa kelemahan. Maka, sistem Ejaan Rumi Za’ba telah diperkenalkan untuk memantapkan lagi sistem ejaan Rumi dalam bahasa Melayu.
Antara pembaharuan dalam Ejaan Za’ba adalah membahagikan huruf-huruf bahasa Melayu kepada huruf saksi dan huruf benar. Huruf saksi merupakan vokal yang terdiri daripada enam abjad, iaitu a, e, e, i, o dan u. Huruf benar pula merupakan konsonan yang terdiri daripada 21 huruf.
Terdapat 40 peraturan yang telah dikemukan dalam sistem Ejaan Za’ba. Peraturan 1 hingga 5 menyentuh keserasian vokal dalam suku kata pertama dan kedua jika jika suku kata kedua itu suku kata tertutup. Antara beberapa peraturan yang dimaksudkan tersebut adalah huruf h dan k adalah huruf akhir dalam suku kata akhir tertutup, maka vokal e yang dipilih bukan vokal i pada suku kata itu. Contohnya aleh, leteh, sireh, tueh, balek, batek, chantek dan sebagainya, kecuali jika terdapat deretan bunyi diftong a-i, maka ejaan diftong dikekalkan. Contohnya, naik, baik, raih, dan sebagainya.
Jika suku kata akhir tertutup, bukan diakhiri oleh konsonan h dan konsonan k, maka vokal i digunakan bukannya vokal e. Contohnya nasib, katil, kutip, pasir dan sebagainya, kecuali jika vokal dalam suku kata pertama ialah vokal o dan vokal e, maka vokal e digunakan bukannya vokal i. Contohnya deret, leher, bogel, chomel, montel dan sebagainya.
Perkataan pinjaman daripada bahasa Arab jika belum diasimilasi sepenuhnya, hendaklah dieja mengikut bunyi asalnya (memakai tanda ‘ dan sebagainya) dan ditulis dengan huruf condong. Contohnya: wa’sala’m, ahlu’n-nujum, ‘amiru’I-minim, dan sebagainya.
Imbuhan pe- dan me- tidak mengalami perubahan bunyi jika digandingkan dengan kata dasar yang berawalkan huruf i, m, n, ng, ny, r, w,dan y.
Perkataan yang menggunakan huruf r pada akhir suku kata pertama dikekalkan ejaan menurut sistem ejaan Wilkinson. Misalnya: (r sahaja) berteh, terbang, terpa, terkam, merdu dan lain-lain, (re) meregang, berebut dan sebagainya.
Semua perkataan yang mengandungi huruf nga dan ga yang berderet, dalam tulisan Jawi dieja dengan dua g dalam tulisan Rumi. Contohnya: langgar, hinggap, manggis, menanggong, menenggelamkan dan sebagainya.
Perkataan yang dipinjam daripada bahasa Inggeris yang sudah diasimilasi sepenuhnya dengan bunyi Melayu, dieja mengikut sebutan Melayu. Contohnya: saman, repot, pereman, geran, sain, rasip dan sebagainya.
Jika kata dasar berawalkan huruf b dan p, maka awalan pe- dan me- mengalami perubahan jika disepadukan dengan kata dasar yang berawalkan huruf i, m, n, ng, ny, r, w dan y. Contohnya: pelawat, melawat, pemalas, penaung, penyanyi dan sebagainya.
Jika perkataan perkataan asal berawalkan huruf a, e, e, i, o, u, g, h, k, maka imbuhan pe- dan me- berubah menjadi peng- dan meng-. Misalnya, (pe) pengaku, pengempang, pengekor, pengikut, penggali, penghubung, pengait dan (me) mengaku, mengamok, mengelak, mengata dan sebagainya. Manakala sebagainya. Huruf k dalam kata dasar gugur kerana tak bersuara, kecuali dalam kata pinjaman Arab yang mengekalkan huruf k. Misalnya mengkitabkan, dan juga dalam perkataan mengkemudiankan.
Bentuk si- (yang sebenarnya partikel) dan tetap dieja dengan sempang, dan huruf s dalam bentuk si- dieja dengan huruf besar jika berganding dengan nama khas. Contohnya: si-mati, si-laki, si-Abu, di-bawa, dan sebagainya. Kekecualiannya ialah dalam ejaan perkataan sianu dan siapa yang tidak memakai sempang.
Huruf besar digunakan dengan menurut dua kaedah, yang pertama pada awal perkataan di pangkal ayat, kemudian daripada noktah, kemudian daripada tanda tanya jika bukan percakapan pengarang, kemudian daripada tanda seruan jika seruan itu bukan percakapan pengarang, huruf pertama pada perkataan yang mendahului setiap baris syair atau pantun, huruf pertama pada cakap ajuk dan huruf pertama dalam perkataan teriakan.
Yang kedua pada huruf awal dalam kata nama khas atau gelaran,nama Tuhan kata gantinya, nama tempat, nama bangsa, nama gelaran atau pangkat, nama kitab-kitab, surat khabar, tajuk atau fasal dalam kitab, nama-nama ilmiah dan bidang-bidangnya, nama bulan, hari cuti dan sebagainya, dan nama perkara atau benda yang diserukan.
Sistem Ejaan Jawi Za'ba
Za'ba merasa perlu untuk menggubal sistem ejaan Jawi yang baru kerana beberapa sebab:
Pertama, adanya semacam keberkacauan dalam ejaan Jawi. Seperti yang dinyatakan oleh beliau bahawa walaupun kaedah yang dicuba ikutinya ialah "menurut kecenderungan ahli-ahli sekolah semenjak 40 tahun yang lalu serta kecenderungan penulis-penulis Melayu yang lebih ramai" tetapi beliau juga mengatakan bahawa yang dikatakan "kebiasaan penulis-penulis yang ramai" itu pun "ada banyak tentangnya yang berlain-lain pada lain-lain orang".
Kedua, ada usaha hendak menghidupkan semula "ejaan lama yang telah atau beransur mati" oleh Wilkinson dan Winstedt serta setengah-setengah penolong Melayunya. Bila ini dicuba lakukan maka ◦ "telah menjadi gempar dan hebuh sungutan di antara penulis-penulis Melayu apabila terjadi kacau bilau pada ejaan Melayu dalam tahun 1916-19 tatkala Daeng Abdul Hamid kerani Melayu Sir Richard Winstedt masa itu mencuba hendak memandai-mandai memakai setengah daripada ejaan cara lama yang telah ketinggalan itu dalam buku-buku bacaan di sekolah-sekolah Melayu".
Ketiga, terdapat ketidak-sepakatan di antara kamus-kamus karangan orang Melayu, terutamanya, sehubungan dengan penggunaan huruf qauf,kaf, hamzah,ta dan ta bulat dihujung kalimah dan beberapa huruf lagi.
Dalam sistem ejaannya itu, Za'ba mengemukakan 20 "undang-undang", atau hukum, bagi ejaan Jawi untuk kata-kata dasar, dan 20 "undang-undang" pula bagi kata-kata yang berimbuhan.
Haji Hamdan Haji Abdul Rahman , meneliti 40 "undang-undang" itu, membuat kesimpulan bahawa Za'ba merumuskan sistem ejaan Jawinya itu berasaskan kepada tiga prinsip, iaitu: Ekonomi ejaan yang menggunakan seberapa sedikit bilangan huruf; Kepastian- jika ejaan itu menimbulkan kesamaran sebutan maka diubahsuai ejaannya supaya mengurangkan kesamaran itu; dan Jamaah atau Konvensyen digunakan kedua-dua ejaan yang berbeda bagi satu-satu perkataan jika kedua-duanya dipakai ramai dan tiap-tiap satunya tidak pula menimbulkan kesamaran sebutan.
Yang dikatakan prinsip ekonomi huruf itu ialah ejaan yang pada asalnya menggunakan "Kaedah Baris" dan terus terpakai serta tidak pula menimbulkan kesukaran sebutan, seperti ejaan Jawi untuk perkataan 'pada', 'kepada', 'daripada', dll. Yang dimaksudkan dengan prinsip kepastian ialah jika sesuatu ejaan yang menggunakan "Kaedah Baris" itu mengelirukan kerana boleh disalah-bunyikan, maka, di mana mungkin, ia diberikan huruf saksi supaya lebih jelas bunyinya. Yang dimaksudkan dengan prinsip konvensyen pula ialah pendirian Za'ba untuk menerima ejaan yang dipakai ramai penulis, walaupun tidak selaras dengan sistem. Pendirian itu dinyatakan oleh Za'ba seperti berikut: "Mana ejaan yang lebih ramai orang menulisnya itulah yang lebih betul; yang kurang ramai itu betul juga tetapi kurang ..."
Tahap Perkembangan Ejaan Jawi
Tahap pertama: Ejaan Jawi yang menggunakan tanda-tanda baris dan syaddah;
Tahap kedua: Ejaan Jawi itu mengekalkan ejaan pada tahap pertama tetapi menanggalkan penggunaan tanda;
Tahap ketiga: Ejaan Jawi cara Melayu yang menggunakan huruf saksi pada suku kata pertama;
Tahap keempat: Pengenalan huruf saksi pada suku kata kedua pula bila terdapat ejaan yang hanya menggunakan huruf saksi pada suku kata pertama itu mengelirukan kerana ejaan yang sama boleh mewakili dua perkataan.
Menurutnya lagi, ejaan Jawi tahap keempat inilah yang menjadi asas kepada sistem ejaan Pakatan Bahasa Johor (1937) dan sistem ejaan Za'ba (1938). Walaupun Daftar Ejaan Melayu (Jawi-Rumi) yang memperkenalkan sistem ejaan Jawi Za'ba itu siap setahun kemudian daripada sistem ejaan Pakatan Bahasa Johor, kita dapat mengatakan bahawa Za'balah yang mempelopori ejaan tahap keempat ini kerana pertama, ejaan Jawi tahap keempat itu telah dirumuskannya dalam Rahsia Ejaan Jawi dalam tahun 1931 lagi, dan kedua, Za'ba juga terlibat dalam penyediaan sistem ejaan yang dipakai dalam Buku Katan terbitan Pakatan Bahasa Johor (1937) itu.
Ciri-ciri Sistem Ejaan Jawi Za'ba:
Sebelum dibuat kesimpulan tentang peranan Za'ba dalam pembaharuan sistem ejaan Jawi, elok kita tinjau sepintas lalu tentang Daftar Ejaan Melayu itu sendiri. Di antara lain:
Usahanya itu bermula dalam tahun 1918 lagi bila beliau mengumpulkan perkataan-perkataan Melayu dalam tulisan Jawi sahaja;
Sumber perkataan-perkataan itu ialah daftar ejaan Rumi Kerajaan Negeri Persekutuan yang dikeluarkan oleh sebuah jawatankuasa dalam tahun 1904. Dalam menyusunnya semula menurut abjad Jawi, beliau menambah beberapa banyak perkataan pula.
Sejak itu beberapa kali lagi penyemakan semula dilakukannya.
Dalam tahun 1925, senarai perkataan itu disemak pula oleh guru-guru "Kolej Tanjung Malim" bergilir-gilir, dan ditambah lagi oleh mereka beberapa perkataan lagi. Pada waktu itu, saya percaya, beliau juga mendapat bantuan daripada pelajar-pelajar Maktab.
"Setelah itu," menggunakan kata-katanya sendiri; "terbenamlah lagi Daftar ini beberapa lama kerana menantikan peluang hendak memulakan kerja menjadikan dia kamus betul-betul itu tidak juga dapat-dapatnya".
Dalam tahun 1933 hingga 1935, beliau mengubah rancangan asalnya dengan mengemukakan hanya sebuah daftar ejaan, dan bukannya kamus, yang susunannya ialah menurut susunan abjad Jawi, dan pada setiap perkataan dalam ejaan Jawi itu diberi pula persamaan ejaan Ruminya.
Walau bagaimanapun, beliau menaruh harapan untuk kemudian kelak menjadikannya sebuah kamus dengan tiap-tiap perkataan itu diberi tidak sahaja makna tetapi juga contoh ayat memakainya dan simpulan-simpulan bahasa yang terbit daripadanya, "sebagai membanyak dan menambah elokkan kamus-kamus kita yang sedia ada".
Demikianlah sekadarnnya latar penyediaan Daftar Ejaan Melayu (Jawi-Rumi) itu yang siap dalam tahun 1938, iaitu setelah melalui tempoh dua puluh tahun lamanya. Malangnya lagi, hanya kira-kira sepuluh tahun sesudah itu pula baru Daftar itu diterbitkan, iaitu dalam tahun 1949 - selepas 31 tahun projek itu dimulakannya dalam tahun 1918.
Di dalam buku itu terdapat dua buah bab selepas "Pendahuluan". Bab-bab itu ialah "Pengenalan 'Am" (11 halaman) dan "Kaedah-kaedah Ejaan Jawi" (39 halaman). Kedua-dua bab ini jauh lebih penting daripada daftar ejaan itu sendiri. Daftar itu mensenaraikan perkataan menurut abjad, sedang kedua-dua bab yang dirujukkan tadi memberi huraian tentang rasionel, modus operandi, prinsip-prinsip dan rumusan-rumusan kaedah ejaan Jawi. Demikianlah, jika tidak kerana dua bab itu, tidaklah akan jelas kepada kita bagaimana dan sejauh mana Za'ba memainkan peranannya dalam merumuskan sistem ejaan Jawinya itu.
Mengapakan Za'ba Memberi Keutamaan Kepada Sistem Ejan Jawi?
Za'ba mengusahakan sebuah sistem ejaan Jawi kerana, seperti yang dinyatakannya dalam bab "Pengenalan":
"... tulisan Jawi itulah yang terlebih berkehendak diaturkan ejaannya dan disusunkan dia mengikut tertib hurufnya, kerana ejaannya banyak yang masih simpang perenang. Tambahan pula tulisan Jawi itu lebih disukai oleh orang Melayu raya tua dan muda di Semenanjug ini".
Beliau tidak memberikan keutamaan yang sama kepada penggubalan sistem ejaan Rumi mungkin kerana ejaan Rumi itu sudah pun diselaraskan oleh Jawatankuasa bagi Merumikan Tulisan Melayu dalam 1904 bagi kegunaan Kerajaan Negeri Persekutuan. Oleh yang demikian dan oleh kerana sifat yang berkacau dalam ejaan Jawi, maka menyelaraskan ejaan Jawi itulah yang menjadi satu keutamaan yang tinggi kepada Za'ba. Walau bagaimanapun, sistem ejaan Rumi itu dilampirkannya dalam Daftar Ejaan Melayu (Jawi-Rumi). Agak menarik bahawa sistem ejaan Rumi itu pun mengandungi jumlah yang sama (empat puluh) dengan jumlah undang-undang dalam sistem ejaan Jawi.
Apakah Peranan Za'ba?
Demikianlah kita melihat sumbangan Za'ba sehubungan dengan sistem ejaan Jawi. Dilihat pada proses libatannya dalam kerjayanya untuk menghasilkan sistem ejaan Jawinya itu, beberapa kesimpulan dapat dibuat sehubungan dengan peranan beliau dalam evolusi sebuah sistem ejaan Jawi.
Peranannya yang pertama ialah sebagai penggerak atau aktivis bahasa. Ini dapat kita lihat pada inisiatif yang diambilnya dalam tahun 1924 untuk menubuhkan sebuah badan yang satu daripada objektifnya ialah membantu usaha penyelarasan ejaan Jawi. Beliau juga ikut bersama dalam kumpulan Pakatan Bahasa Johor yang menghasilkan Buku Katan (1937).
Beliau juga memainkan peranan peneroka dan pencipta satu sistem ejaan secara terperinci berasaskan cerakinan empiris dan memberikan rasionel bagi setiap aspek dalam sistem yang dicadangkannya itu - satu hal yang tidak dilakukan sebelum itu. Beliau menghabiskan dua puluh tahun daripada kerjayanya mengabdikan diri kepada misinya itu. Berasaskan pendidikan yang diterimanya (Senior Cambridge), sumbangan kesarjanaan yang dihasilkannya itu amatlah mengkagumkan.
Misinya bukanlah untuk melahirkan satu sistem yang paling lengkap dan sempurna. Hasratnya hanyalah sekadar memberikan titik tolak yang baru untuk dipergunakan oleh generasi baru bagi menyempurnakan lagi sistem ejaannya itu. Pendiriannya ini dapat dilihat pada kata-katanya:
"Adapun pada masa belum tetap salah satu sekarang ini belumlah boleh diputuskan ketetapannya; kerana keputusan dalam perkara itu ditetapkan perlahan-lahan oleh kebiasaan ramai, iaitu ikut-mengikut dengan tiada sedar, bukan dengan hukum-hukum yang diaturkan atau dipaksakan oleh seorang atau oleh kerajaan sekalipun. Pendeknya ejaan Jawi kita pada perkataan-perkataan yang belum tetap ejanya sekarang ini masih dalam perjalanan menuju kepada ketetapan, dan ketetapan itu akan tiba dengan beransur-ansur mengikut mana ejaan yang lebih ramai orang membiasakannya".