PENGENALAN KURIKULUM BKD

Pengenalan Kurikulum BKD di IPGM

Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) mula menawarkan Bahasa Kadazandusun sebagai Program Ijazah pada tahun 2012 menerusi Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) selama 3 semester (Ambilan Jun 2012 sahaja) dan 2 semester (Ambilan Jun 2014 dan seterusnya) dan meneruskan pengajian ke program Ijazah Sarjana Muda (PISMP) dengan kepujian selama 4 tahun (8 semester). Latihan guru Bahasa Kadazandusun di IPGM bermula apabila Kertas Cadangan Pelaksanaan Kurikulum Bahasa Kadazandusun Bagi Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) yang dikemukakan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Akademik IPGM di IPG, KPM, Cyberjaya pada 10 Mei 2011 diluluskan. Kertas Cadangan tersebut dikemukakan dengan tujuan untuk memohon pertimbangan dan kelulusan berhubung dengan cadangan memasukkan Kurikulum Bahasa Kadazandusun dalam Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) mulai ambilan Jun 2012. Pada tahun 2011, mata pelajaran Bahasa Kadazandusun julung kalinya diperkenalkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah menengah di Sabah dan boleh mengambil pengkhususan Bahasa Kadazandusun apabila ditawarkan di IPGM. Perkembangan latihan guru Bahasa Kadazandudun di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) melalui tiga fasa utama iaitu fasa perancangan, fasa penggubalan kurikulum dan fasa pelaksanaan program PPISMP dan PISMP Bahasa Kadazandusun Sekolah Rendah.


(Sumber: Bagu, L., Abdullah, S. N., Bala, B., & Ling, J. W. K., 2021)

Struktur Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP)

Setelah Pro Forma Bahasa Kadazandusun Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) Ambilan Jun 2012  diluluskan dalam Mesyuarat Senat di Kuching Sarawak pada 12 Mei 2011, 8 kursus persediaan yang telah digubal dilaksanakan  dalam pengajaran dan pembelajaran  selama setahun. Selepas melalui latihan selama setahun (2 semester) dengan syarat lulus semua kursus yang telah didaftarkan, pelajar akan dibenarkan meneruskan pengajian ke peringkat PISMP selama 4 tahun (8 semester). Kemudian pada 20 – 23 Mei 2013, 8 kursus persediaan tersebut telah dimurnikan untuk penambahbaikan menjadi 6 kursus sahaja melalui kelulusan Pro Forma Kursus PPISMP Ambilan Jun 2013 dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Akademik (JKPA) IPGM Bil. 1/2013. Senarai nama kursus bagi PPISMP boleh dilihat melalui jadual di bahagian Program TERAS.

Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) adalah program persediaan yang ditawarkan kepada calon-calon lepasan SPM yang berminat untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP). Program ini mula dilaksanakan di IPG pada tahun 2005 dalam masa tiga semester dengan 75 kredit. Struktur kurikulum PPISMP dua semester dengan 50 kredit telah diluluskan oleh Senat IPG Bil. 18 dan berkuat kuasa mulai Jun 2013.

Matlamat utama program ini adalah untuk menyediakan pelajar bagi melanjutkan pengajian ke PISMP yang dianjurkan oleh IPG, Kementerian Pendidikan Malaysia. Program ini akan menyediakan pelajar dengan pengetahuan berkaitan bidang pengkhususan yang bakal diikuti di peringkat PISMP. Program ini juga memberi keluwesan kepada pelajar dari segi penjadualan kuliah dan komunikasi antara pensyarah dengann pelajar. Tempoh pengajian PPISMP adalah selama satu tahun dan diagihkan kepada 2 semester.

Struktur Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP)

Struktur kurikulum PISMP Bahasa Kadazandusun Sekolah Rendah pula telah melalui beberapa siri perubahan dan pemurnian untuk tujuan penambahbaikan selaras dengan keperluan dan kehendak semasa bagi memperolehi akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) . Dengan pengiktirafan akreditasi ini, IPG juga boleh bersaing sebagai sebuah pusat latihan keguruan bertaraf universiti yang diperakui di peringkat kebangsaan dan  antarabangsa. Berikut adalah senarai kursus terkini PISMP Bahasa Kadazandusun yang ditawarkan oleh IPGM. Struktur kursus PISMP yang telah yang diluluskan dalam Mesyuarat Senat Kali Ke-21 Tahun 2013 di IPG Kampus Pendidikan Teknik, Kompleks Pendidikan Nilai, Negeri Sembilan meliputi 15 jenis kursus dan kemudiannya dimurnikan beberapa kali untuk tujuan penambahbaikan. Nama kurikulum yang digunakan bagi PISMP BKD Jun 2014 ialah proforma, dan ditukar kepada Table 3 bagi PISMP BKD Jun 2014. RMK pula mula digunakan bagi PISMP BKD Jun 2015 dan bertukar kepada MK bagi PISMP BKD Jun 2022. Senarai nama kursus bagi PISMP boleh dilihat melalui jadual di bahagian Program TERAS.

Program ini dikhususkan untuk melatih guru dalam pelbagai bidang bagi memenuhi keperluan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melahirkan guru sekolah rendah yang berijazah. Program pengajian yang ditawarkan bertujuan untuk memberi ilmu pengetahuan dan menyediakan pengalaman bgi membolehkan bakal guru mempunyai pengetahuan dan kemahiran asas yang berkaitan dengan profesion perguruan. Program ini ditawarkan di 27 buah kampus IPG di seluruh negara. Matlamat program ini adalah untuk melahirkan guru siswazah sekolah rendah yang terlatih, dinamik, berwibawa dan kompeten dalam melaksanakan tugas-tugas mereka sebagai pendidik dan memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru.

Syarat kemasukan pelajar ke program ini adalah melalui PPISMP yang dilaksanakan di IPG KPM. Pelajar dibenarkan meneruskan pengajian ke program ini jika memenuhi syarat lulus semua kursus yang didaftarkan sama ada dalam peperiksaan asal atau ulangan dengan mendapat sekurang-kurangnya 2.00 nilai mata gred di peringkat PPISMP. PISMP dengan kepujian dikendalikan selama 6 tahun dalam lapan semester. Sebagai prasyarat, pelajar dikehendaki mengikuti dan lulus Program Persediaan selama 2 semester di IPG.

Semua program pengajian dikendalikan melalui kuliah, amali dan projek. Kuliah diadakan setiap minggu mengikut jadual waktu yang telah ditetapkan. Di samping itu, pelajar akan didedahkan dengan kerja amali di makmal atau bengkel atau di lapangan bagi mendapat kemahiran yang berkaitan. Pelbagal strategi pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar juga diamalkan termasuk Pembelajaran Berasaskan Projek (Project-based Leaming) dan Pembelajaran Berasaskan Masalah (Problem-based Learning). Penggunaan unit plan, portfolio pembelajaran, kajian kes, penyelidikan tindakan, pentaksiran prestasi (performance assessments), penilaian tugasan terarah, dan penilaian portfolio dilaksanakan bagi memastikan pembelajaran diaplikasi kepada masalah amalan atau praktis yang sebenar. Di samping itu pelajar juga diwajibkan menjalani amalan profesional di sekolah yang menekankan pemerhatian klinikal dan bimbingan melalui pengalaman berasaskan sekolah, praktikum, internship, latihan industri, dan service learning yang dilaksanakan sepanjang pengajian untuk mengaplikasikan teori dalam situasi sebenar.