POLITEKNIK SEBERANG PERAI
Unit Pembangunan projek pelajar (UPROP) adalah unit yang ditubuhkan bagi menguruskan kursus Projek Akhir Pelajar Diploma Teknologi Maklumat (Pembangunan Digital). UPROP bertanggungjawab mengenai penyediaan, pelaksanaan dan pelaporan projek pelajar sepanjang semester berlangsung.
Manakala pelaksanaan kursus Projek Akhir ini adalah berfungsi sebagai platform bagi pelajar untuk mengembangkan potensi, mempamerkan keupayaan dan mempraktikkan segala ilmu yang telah dikuasai bagi mengeluarkan hasil kerja bermutu tinggi. Diharap dengan pelaksanaan kursus ini, pelajar dapat mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam proses penggunaan sesuatu ilmu melalui percambahan fikiran dan penyelesaian masalah secara kreatif ke arah melahirkan graduan yang berketrampilan, kreatif dan kompeten serta mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi yang mampu menyumbang tenaga untuk membantu pembangunan sektor ekonomi negara.
1.1 Pendahuluan
Kursus Projek merupakan satu kursus wajib bagi program pengajian tertentu yang perlu dilaksanakan oleh pelajar sebagai memenuhi syarat kelayakan penganugerahan Diploma Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Kursus ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran serta mempamerkan keupayaan dalam merealisasikan idea, kreativiti, inovasi dan penyelesaian masalah ke arah penghasilan projek/kajian yang mempunyai nilai komersial dan berdaya saing. Pelaksanaan projek/kajian merangkumi semua proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) iaitu secara teori, praktikal, penulisan ilmiah, pemantauan dan penilaian. Sepanjang pelaksanaan projek, pelajar dibimbing oleh penyelia untuk meneroka pengetahuan dan kemahiran baharu serta mengaitkan dengan pengetahuan sedia ada dan memastikan projek dapat disempurnakan dalam masa yang ditetapkan.
1.2 Definisi Projek
Projek merupakan aktiviti kajian kes/ilmiah yang bersesuaian berkaitan bidang dan tahap pengajian bagi memenuhi keperluan program pengajian. Kajian kes/ilmiah ini dilakukan secara individu atau berkumpulan (mengikut tahap pengajian) bermula daripada peringkat perancangan, pelaksanaan kajian, analisis keputusan dan pelaporan ilmiah di bawah bimbingan penyelia bagi mengembangkan potensi diri pelajar dengan menggunakan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang masingmasing. Pelajar akan diselia oleh sekurang-kurangnya seorang pensyarah serta dinilai oleh institusi dan/atau industri.
1.3 Matlamat
Matlamat projek/kajian adalah untuk mengintegrasikan pengetahuan, kemahiran praktikal dan afektif yang diperoleh sepanjang mengikuti program pengajian dalam proses penggunaan sesuatu ilmu melalui percambahan fikiran dan penyelesaian masalah secara inovatif ke arah melahirkan graduan yang kompeten, kreatif dan berwibawa.
1.4 Objektif
Objektif pelaksanaan projek/kajian ini adalah untuk:
(a) memperkenalkan pelajar dengan kaedah kajian/pembangunan projek;
(b) mengaplikasikan pengetahuan teori ke dalam situasi praktikal;
(c) melatih pelajar melaksanakan projek/kajian dalam jangka masa yang ditetapkan;
(d) mengenal pasti pernyataan masalah, kajian literatur/lapangan/siasatan, pengumpulan data, analisis data dan penulisan laporan; dan
(e) membentang hasil projek/kajian melalui penulisan dan pembentangan.
Berikut merupakan tanggungjawab pelajar:
(a) mematuhi prosedur dan peraturan keselamatan, kesihatan dan etika di makmal/bengkel;
(b) melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli kumpulan dalam projek berkumpulan;
(c) membuat kajian awal keperluan industri atau komuniti dalam menentukan pemilihan tajuk, keaslian idea dan hala tuju projek serta mempunyai nilai komersial;
(d) memilih projek yang menyumbang kepada keperluan industri atau komuniti dan digalak mengadakan kolaborasi dengan pihak berkenaan;
(e) menyedia dan mengemukakan cadangan tajuk projek kepada Penyelia Projek pada awal semester;
(f) melengkapkan dan mengemukakan Borang Pendaftaran Projek kepada Penyelia Projek dalam tempoh yang ditetapkan untuk kelulusan
(rujuk: BORANG PENDAFTARAN PROJEK);
(g) melaksanakan projek mengikut takwim dan carta Gantt pelaksanaan projek; PROJEK PELAJAR (Diploma Politeknik)
(h) merekod kemajuan projek dalam Buku Log dan mendapatkan pengesahan Penyelia Projek;
(i) mengadakan perbincangan secara bersemuka atau dalam talian (online) dengan Penyelia Projek secara berkala dengan membawa bersama dokumen yang berkaitan;
(j) mendapatkan Surat Mohon Khidmat Kepakaran dan Kerjasama Industri (jika berkaitan) untuk menjalankan projek daripada Ketua Jabatan (rujuk : CONTOH SURAT MOHON KHIDMAT KEPAKARAN DAN KERJASAMA INDUSTRI);
(k) menyedia dan menyerahkan Laporan Akhir Projek berserta produk (jika berkaitan) untuk pembentangan dan penilaian projek;
(l) berusaha mencapai kualiti dan hasil pembelajaran mengikut kriteria penilaian yang ditetapkan;
(m) memohon kebenaran secara bertulis kepada pihak jabatan sekiranya terdapat tawaran pembelian daripada mana-mana syarikat atau organisasi semasa tempoh pengajian mahupun selepas bergraduat; dan
(n) mengikuti arahan pihak politeknik dari semasa ke semasa.
Pelaksanaan projek perlu melalui proses dan prosedur yang telah ditetapkan di dalam kurikulum program masing-masing (rujuk carta alir dan penerangan mengenai pelaksanaan kursus Projek mengikut bidang pengajian).