Pembentang : Siti Norhana binti Mohd Napiah, Anita binti Mohammed , Siti Haslina binti Kanipan, Chin Siew Moi
Ringkasan :
Amali Sains Komputer merupakan platform bagi pelajar membina kemahiran komputasional melalui pelaksanaan tugasan yang diberi. Kajian tindakan ini dijalankan bertujuan untuk mengkaji impak pengintegrasian platform digital Vertex Lively dan teknik ITShoC dalam membantu meningkatkan kemahiran pelajar menulis aturcara Java bagi amali Sains Komputer dalam Program Matrikulasi. Kajian ini melibatkan 16 orang pelajar di Kolej Matrikulasi Selangor dari praktikum S2K1P7 yang mengikuti Program Sistem Dua Semester (SDS) Sesi 2020/2021. Kajian ini dijalankan selama enam minggu melibatkan pelaksanaan dua topik amali Sains Komputer di dalam bahasa pengaturcaraan Java iaitu Sequence dan Single Selection. Penilaian terhadap ITShoC dilaksanakan melalui kaedah pemerhatian, temubual tidak formal dalam talian dan penilaian ujian. Hasil daripada pemerhatian dan penilaian yang dijalankan, 81.3% pelajar berjaya menghasilkan aturcara yang lengkap dalam masa 20 minit, 91.3% pelajar pula mencapai bilangan ralat sifar atau minimum ketika menyahpepijat (debug) aturcara. . Dapatan daripada pemerhatian serta temubual tidak formal pula menunjukkan pelajar sangat seronok dan bermotivasi menulis kod aturcara menggunakan kaedah ITShoC yang diintegrasikan bersama platform Vertex Lively. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa pengintegrasian ITShoC-Vertex Lively mampu mengubah strategi pengajaran amali Sains Komputer di peringkat matrikulasi dan meningkatkan kemahiran komputasional pelajar.
Pembentang : Siti Norhana binti Mohd Napiah, Anita binti Mohammed , Siti Haslina binti Kanipan, Chin Siew Moi
Ringkasan :
Amali Sains Komputer merupakan platform untuk pelajar membina kemahiran komputasional melalui pelaksanaan tugasan yang diberikan. Kajian tindakan ini dijalankan bertujuan untuk mengkaji impak penggunaan ITShoC dalam membantu meningkatkan kemahiran pelajar menulis aturcara dan menghasilkan output aturcara yang tepat menggunakan bahasa pengaturcaraan Java bagi amali Sains Komputer dalam Program Matrikulasi. Kajian ini melibatkan 44 orang pelajar di Kolej Matrikulasi Selangor dari praktikum S2K1P6, S2K2P7 dan S3K2P1 yang sedang mengikuti Program Sistem Dua Semester (SDS) Semester 2, Sesi 2020/2021. Kajian ini dijalankan selama enam minggu melibatkan pelaksanaan tiga topik amali Sains Komputer di dalam bahasa pengaturcaraan Java iaitu Sequence, Single Selection dan Dual Selection. Penilaian terhadap ITShoC dilaksanakan melalui kaedah pemerhatian, temuramah dan penilaian berdasarkan rubrik penskoran. Hasil daripada pemerhatian dan penilaian yang dijalankan, 81.82% pelajar mencapai kategori cemerlang dan baik dari segi bilangan ralat yang dihasilkan ketika menulis aturcara. 79.95% pelajar pula mencapai kategori cemerlang dan baik dari segi tempoh masa yang diambil untuk menghasilkan aturcara yang lengkap. Dapatan daripada temuramah yang dijalankan terhadap pelajar pula menunjukkan pelajar sangat seronok dan bermotivasi menulis kod aturcara menggunakan kaedah ITShoC. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa penggunaan ITShoC mampu mengubah strategi pengajaran kelas amali Sains Komputer di peringkat matrikulasi dengan mengintegrasikan kemahiran komputasional bagi membolehkan pelajar bersaing di dunia global kelak. Selain itu, diharapkan kajian ini dapat memberi nilai tambah kepada proses pengajaran dan pembelajaran amali Sains Komputer dengan mengintegrasikan pendekatan amalan STEM.
Pembentang : Fauziah Laili Binti Masri, Rasyida Binti Abd. Rahman, Rohani Binti Abd Aziz3, Vanitha Ramasamy
Ringkasan :
Kajian ini dilaksanakan bertujuan untuk melihat keberkesanan penggunaan Kit Pembelajaran Digital Repetition Reference Card (RRC KITS) terhadap pelajar Kolej Matrikulasi Selangor yang mengambil kursus Sains Komputer. Penggunaan Kit Pembelajaran ini dibina untuk membantu dan membimbing pelajar dalam topik Pengaturcaraan: Repetition supaya membantu pelajar meningkatkan pemahaman dan penguasaan terhadap topik Repetition. Kelemahan pelajar mengingat pola algoritma serta penulisan kod bagi proses repetition menyebabkan ramai pelajar sering melakukan kesilapan berulang. Pelajar juga sering tidak melengkapkan proses yang dikehendaki dengan sempurna seperti format ditetapkan. Kit pembelajaran ini disediakan dalam bentuk softcopy dan hardcopy. Bentuk hardcopy dapat membantu pelajar yang bermasalah ruang storan telefon yang terhad dan dapat mengurangkan penggunaan data internet. Seramai 126 orang pelajar daripada Sistem Dua Semester Kolej Matrikulasi Selangor telah dipilih sebagai responden kajian ini. Dapatan kajian telah menunjukkan bahawa penggunaan RRC KITS mampu merubah tingkah laku pelajar sama ada di dalam kelas dan pembelajaran kendiri. Setelah kaedah ini dijalankan didapati bahawa RRC KITS berjaya meningkatkan bilangan pelajar yang mendapat A dalam kedua-dua ujian perbandingan dan juga ujian pra dan pos. Kajian Ini menunjukkan RRC KITS telah meningkatkan penguasaan topik dan meningkat prestasi pelajar dalam peperiksaan. Analisa data melalui pemerhatian di dalam kelas juga membuktikan keberkesanan kaedah ini kerana pelajar mempunyai bahan sedia rujuk dalam buku tutoran secara fizikal dalam bentuk bookmark atau dalam telefon bimbit yang membantu mereka menguasai topik repetition.
Pembentang : Quinny Binti Ben Hassan, Rasyida Binti Abd. Rahman, Noraini Binti Abdul Rahman, Haniza Binti Yahaya
Ringkasan :
Inovasi ini dilaksanakan bertujuan untuk melihat keberkesanan penggunaan kaedah drag and drop(dNd) pada aplikasi Google Slide terhadap kaedah pembelajaran pelajar yang mengambil kursus Sains Komputer khususnya di Kolej Matrikulasi Selangor. Penggunaan set pembelajaran dnd dibina sebagai pemudahcara dan diharap dapat membantu pelajar belajar secara dalam talian serta diharap juga mampu meningkatkan pemahaman dan penguasaan terhadap topik yang dipelajari dalam situasi pandemik. Situasi dimana pelajar tidak dapat menjalankan amali/praktikal secara bersemuka bagi amali/praktikal Sains Komputer, pelajar tidak dapat melaksanakan simulasi sebenar amali/praktikal Sains Komputer di dalam makmal komputer dan kekurangan modul latihan yang mengaplikasikan sepenuhnya penggunaan komputer telah menjadi antara isu yang mencetuskan idea untuk penghasilan inovasi ini. Selain daripada itu, risiko kepelbagaian versi jawapan latihan sama ada bertulis atau bercetak serta kepelbagaian tahap kekemasan pelajar juga menjadi antara isu yang cuba ditangani dengan terhasilnya inovasi dNd. Set dNd ini disediakan dalam bentuk softcopy dan dikongsikan kepada pelajar secara dalam talian pada aplikasi Google Classroom. Seramai 80 orang pelajar daripada Sistem Dua Semester Kolej Matrikulasi Selangor telah dipilih sebagai responden inovasi ini. Rekabentuk kajian kuantitatif telah digunakan sebagai modul dan fokus kajian. Instrumen yang digunakan untuk pengumpulan data termasuklah temubual, pemerhatian dan kaji selidik yang ditadbir sebelum dan selepas perlaksanaan. Dapatan perlaksanaan menunjukkan set dNd ini dapat membantu menyelesaikan masalah-masalah yang telah dinyatakan di atas dan juga memberikan impak yang positif.