Proses PdP yang berlaku di dalam bilik darjah merupakan petunjuk terbaik bagi kemajuan masa depan sesebuah negara. Kesediaan guru-guru menerima proses perubahan yang berlaku akan menentukan kelestarian dan kemampanan dalam menjana transformasi pendidikan.
Penekanan terhadap kaedah pentaksiran dan reka bentuk kurikulum mampu melahirkan insan yang seimbang, berfikiran kreatif, kritis dan inovatif. Matlamat transformasi ini adalah untuk memastikan murid bersedia menghadapi cabaran hingga di peringkat global pada masa akan datang.
Proses transformasi amat rumit, meluas dan mendalam yang hanya dapat dicapai melalui kerjasama dan sokongan padu semua pihak. Transformasi akan menambahbaik dan mendorong ke arah inovasi berterusan bagi melahirkan generasi muda yang bersedia mencapai kecemerlangan dalam persekitaran yang kompetitif secara global.
Pendidikan dijadikan wahana dalam proses transformasi yang dilakukan ke atas kandungan, pedagogi dan pentaksiran bagi memastikan kurikulum sentiasa releven dengan keperluan semasa dan cabaran abad ke-21 serta selari dengan Pelan Transformasi Kerajaan.