TUJUAN
Garis Panduan Pelaksanaan Program Sahsiah Unggul Murid (SUMUR) di sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini disediakan sebagai rujukan kepada pentadbir, guru dan murid di sekolah rendah, sekolah menengah, Kolej Vokasional dan Kolej Tingkatan Enam di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Institusi Pendidikan Swasta (IPS) yang berdaftar dengan KPM.
PENGURUSAN
Pengurusan SUMUR berada di bawah tanggungjawab Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) dan melibatkan semua warga sekolah.
Seorang penyelaras perlu dilantik dalam kalangan Guru Kanan/Ketua Bidang yang berperanan untuk memastikan SUMUR dilaksanakan mengikut garis panduan pelaksanaan yang dibekalkan oleh pihak BPI KPM.
PELAKSANAAN
SUMUR merupakan aktiviti tahunan yang merangkumi empat teras utama iaitu;
Berbudi Bahasa
Jati Diri
Penampilan Diri
Cara Hidup Beragama.
Keempat-empat teras utama SUMUR iaitu; Berbudi Bahasa, Jati Diri, Penampilan Diri dan Cara Hidup Beragama ini perlu dilaksanakan dan dinilai secara serentak.
Pelaksanaan SUMUR mampu memperkukuhkan lagi pelaksanaan Program Pembangunan Sahsiah Diri Murid (PPSDM) serta Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) kelolaan BPSH kepada semua murid di sekolah KPM kerana SUMUR menyediakan instrumen penilaian secara holistik terhadap sahsiah murid melalui aktiviti dan program yang dilaksanakan di sekolah.
KANDUNGAN
SUMUR ialah satu program bagi memberi pengetahuan dan membina kesedaran di samping untuk menilai amalan murid secara berterusan terhadap peningkatan akhlak (adab), kelakuan (etika dan tingkahlaku) serta sahsiah (keperibadian) murid melalui empat teras utama dalam pelaksanaan SUMUR iaitu Berbudi Bahasa, Jati Diri, Penampilan Diri dan Cara Hidup Beragama.
SUMUR menyediakan satu aktiviti perbincangan dalam kumpulan antara murid iaitu aktiviti Usrah SUMUR menggunakan modul yang terangkum dalamnya kandungan bagi keempat-empat teras SUMUR.
Aktiviti Usrah SUMUR melibatkan kumpulan murid (maksimum 15 orang) yang diketuai oleh seorang ketua dalam kalangan murid dan guru bertindak sebagai pembimbing.
Aktiviti Usrah SUMUR menjadi medan untuk murid berbincang dan menjalankan aktiviti menggunakan modul Usrah SUMUR yang dibekalkan oleh pihak BPI KPM.
Aktiviti Usrah SUMUR perlu dilaksanakan pada kadar minimum sekali sebulan dan peruntukan masa setengah jam (30 minit) di semua sekolah, sama ada di sekolah yang mempunyai asrama atau tiada asrama.
Pelaksanaan aktiviti Usrah SUMUR adalah di luar waktu persekolahan dan cadangan masa pelaksanaan serta lokasi adalah mengikut kesesuaian sekolah.
PEMANTAUAN
Aktiviti pemantauan bagi pelaksanaan SUMUR dilakukan oleh pegawai KPM, penyelaras SUMUR di JPN/PPD dan pentadbir di sekolah masing-masing menggunakan Borang Pemantauan SUMUR KPM.
Sebarang pertanyaan bagi pelaksanaan SUMUR di negeri hendaklah dirujuk kepada Ketua Penolong Pengarah Kanan di Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing.