PENGENALAN
Program Mudah Jadi Baik (MuJiB) dilaksanakan bagi membantu murid untuk membina minda suka kepada kebaikan dan berusaha untuk menjadi baik dan lebih baik. Mereka bukan sahaja berakhlak baik tetapi mengajak orang lain untuk melakukan kebaikan (Soleh dan Musleh).
Program ini menggunakan slogan “Mudah Jadi Baik” bagi menyemarakkan semangat murid untuk berakhlak dengan akhlak yang terpuji dan memiliki jati diri serta kemuliaan harga diri bagi merealisasikan konsep karamatul insan.
Program ini merupakan kerjasama antara Jabatan Pendidikan Selangor (JPS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Program ini juga adalah sebahagian daripada aktiviti pengimarahan masjid yang selari dengan hasrat MAIS dan JAIS.
OBJEKTIF
Objektif program ini adalah untuk:
Mendidik dan membimbing murid untuk menjadi insan yang berakhlak mulia, menjaga harga diri dan mempunyai kayu ukur yang betul untuk menghadapi cabaran dunia semasa.
Mewujudkan persekitaran atau suasana yang mengajak kepada kebaikan, amar ma’ruf dan nahi mungkar.
Mengurangkan peratus salah laku dan meningkatkan peratus amalan baik murid yang dilaporkan dalam aplikasi Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM).
KONSEP DAN PENDEKATAN
Program Mudah Jadi Baik (MuJiB) adalah program mega separuh hari yang akan dilaksanakan di peringkat sekolah dengan kerjasama masjid. Sekolah-sekolah akan dikelompokkan dalam satu kluster mengikut kawasan masjid berdekatan.
Murid akan dibawa dari sekolah oleh guru ke masjid. Guru bertindak sebagai guru pengiring dan fasilitator. Manakala jurulatih negeri bertindak sebagai penceramah.
Pihak masjid akan menyediakan kemudahan tempat dan jamuan. Sementara pihak Pejabat Pendidikan Daerah akan menyelaras dan mengkelompokkan sekolah dalam kumpulan sesebuah masjid. Setiap masjid akan mengendalikan 4 hingga 5 buah sekolah. Setiap sekolah akan diwakili oleh 20 orang murid. Pelaksanaannya adalah secara berasingan antara murid sekolah rendah dan murid sekolah menengah.
Diakhir program, murid akan diberi tugasan untuk melaksanakan program 5S (Senyum, Salam, Sapa, Sopan dan Santun) di sekolah masing-masing.
SASARAN
Program ini mensasarkan murid:
Kepimpinan murid sekolah rendah dan menengah yang mempunyai sahsiah diri yang baik. Mereka akan menjadi duta MuJiB.
Beragama Islam kerana melibatkan masjid dan Lembaga Zakat Selangor.
Murid perempuan yang dipilih mengikuti program ini tiada halangan untuk masuk ke dalam dewan solat masjid (suci daripada haid).