PENGENALAN
Pembelajaran berasaskan masalah/projek (PBL) adalah pedagogi berpusatkan murid di mana murid belajar melalui pengalaman menyelesaikan isu/masalah yang terkandung dalam bahan pencetus yang disediakan guru atau projek yang diberikan guru. Guru boleh menyediakan isu/masalah atau projek dari pelbagai sumber seperti akhbar, majalah, jurnal, buku, buku teks, dan kartun, video, televisyen, filem dan lain-lain dengan sedikit pengubahsuaian untuk memenuhi kehendak PdP.
Masalah dunia sebenar atau projek relevan digunakan sebagai wadah untuk menggalakkan murid belajar tentang konsep dan prinsip yang dihasratkan oleh guru. PBL dapat menggalakkan pembangunan kemahiran berfikir kritis, kebolehan menyelesaikan masalah, dan kemahiran komunikasi.
PBL memberi peluang murid bekerja dalam satu pasukan, berkolaborasi mencari dan menilai bahan-bahan penyelidikan, menganalisis data, membuat wajaran dan keputusan serta memupuk sifat pelajar sepanjang hayat dalam kalangan murid.
Bagi memastikan PBL berkesan, masalah yang disediakan harus;
mendorong murid untuk memahami konsep dengan jelas dan mendalam.
mengkehendaki murid membuat keputusan yang wajar dan mempertahankannya.
memenuhi standard kandungan/pembelajaran yang hendak dicapai dan berkaitan dengan pengetahuan terdahulu/sedia ada.
mempunyai tahap kerumitan yang bersesuaian bagi memastikan murid dapat bekerjasama untuk menyelesaikannya.
terbuka dan menarik untuk memotivasikan dan meningkatkan minat murid menyelesaikannya.