Parti politik banyak ditubuhkan selepas Perang Dunia Kedua kerana perkembangan nasionalisme, iaitu semangat untuk membebaskan diri daripada cengkaman penjajah dan seterusnya mewujudkan negara yang merdeka dan berdaulat. Kepelbagaian parti politik telah mewujudkan kerjasama antara parti untuk mengukuhkan perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air.
Sikap bertolak ansur dalam gerakan politik mencapai kematangan apabila berlaku kerjasama politik antara kaum di negara kita mulai pertengahan tahun 1940-an. Sebelum wujud kerjasama politik parti politik, terdapat pakatan antara gerakan tertentu yang merintis kerjasama kaum untuk mencapai kemerdekaan.
PUTERA pimpinan Dr.Burhanuddin al-Helmi dan AMCJA diketuai oleh Tan Cheng Lock bergabung pada bulan Disember 1947. Pakatan ini menjadi perintis untuk memupuk kerjasama politik antara kaum serta melahirkan Manifesto Perlembagaan Rakyat sebagai alternatif pembinaan negara bangsa yang merdeka. Manifesto ini mencadangkan pemerintahan sendiri, pembentukan Dewan Perundangan dan penerimaan atau kewarganegaraan.
Persidangan Kebangsaan berlangsung pada bulan Februari 1954 yang diketuai oleh Dato' Panglima Bukit Gantang, Menteri Besar Perak, iaitu Dato' Abdul Wahab Abdul Aziz. Persidangan tersebut membincangkan langkah membentuk gabungan parti politik kebangsaan Tanah Melayu yang bersatu. Persidangan ini disertai oleh IMP, MIC, Persatuan Ceylonese Malaya dan Persatuan Eurasian Malaya. Persidangan ini menuntut agar diadakan pilihan raya Persekutuan.
Konvensyen Kebangsaan yang dianjurkan oleh UMNO, pimpinan Tunku Abdul Rahman dan MCA pimpinan Tan Cheng Lock diadakan pada bulan Ogos 1954. Konvensyen ialah persidangan anggota pertubuhan politik untuk membincangkan sesuatu perkara. Konvensyen yang membincangkan usaha ke arah kemerdekaan dan masa depan Tanah Melayu ini dihadiri oleh Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS), Persetiaan Melayu Kelantan dan Persatuan Melayu Semenanjung. Konvensyen ini meluluskan resolusi mendesak British mengadakan pilihan raya Persekutuan.
Pada bulan Oktober 1954, MIC menyertai UMNO dan MCA membentuk Parti Perikatan. Penyertaan MIC melengkapkan kerjasama tiga kaum terbesar di Tanah Melayu. Parti ini memilih kapal layar sebagai logo yang melambangkan kesediaan menempuh cabaran dan rintangan bagi mencapai kemerdekaan negara.