Persembahan silat dipersembahkan di luar Muzium Kesultanan Melayu Melaka untuk membangkitkan semangat dan jiwa anak muda wantan serta mempamerkan unsur warisan tradisional Melayu. Persembahan silat diiringi oleh muzik irama asli dan penari memakai pakaian tradisional Melayu silat yang lengkap untuk menunjukkan identiti dan budaya masyarakat setempat. Para pengunjung yang melalui kawasan sekitar muzium tersebut akan tertarik dan berminat untuk memahami sejarah Kesultanan Melayu Melaka supaya mereka lebih mengenali budaya dan warisan negara kita. Jadi, mereka akan melawat Muzium Kesultanan Melayu Melaka.
Muzium Kesultanan Melayu Melaka telah dibina semula berasaskan catatan Sejarah Melayu yang menggambarkan keunikan binaan Istana Melayu ketika zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah (1456-1477) untuk mengembangkan sejarah Kesultanan Melayu Melaka. Dalam muzium ini, unsur-unsur warisan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka telah dipamerkan. Sebagai contoh, sistem pentadbiran, seni bina, perhiasan wanita dan sebagainya. Lukisan dan diodrama gambaran perjalanan kisah sejarah lama Kesultanan Melayu Melaka seperti peristiwa pembukaan negeri Melaka oleh Parameswara dan pertikaman antara Hang Tuah dan Hang Jebat juga dipamerkan dalam muzium ini dengan menggunakan konsep tradisional supaya pelawat lebih berminat untuk membaca dan menghayati kisah sejarah lama tersebut.
Muzium Kesultanan Melayu Melaka berfungsi sebagai sumber maklumat dan informasi untuk masyarakat. Tujuan penubuhan muzium ini adalah untuk mengatasi masalah kehilangan bahan sejarah tempatan. Pihak Lembaga Muzium Melaka telah mengambil langkah-langkah pemeliharaan dan pemuliharaan unsur-unsur warisan dalam muzium ini. Antaranya adalah membaiki kaedah pameran batu nisan Sultan Mansur Syah dan pameran pakaian perkahwinan tradisi Melayu dengan membeli kain songket, selipar dan rehal dari kedai tempatan untuk memastikan ruangan pameran muzium mempunyai artifak yang menarik untuk menarik kedatangan pengunjung. Pihak Lembaga Muzium Melaka juga melaksanakan pameran berkaitan dengan sejarah negeri Melaka pra-1511 dengan bantuan daripada pelajar universiti yang sering melakukan ekskavasi di kawasan yang ditentukan. Bahan kajian dan artifak yang dijumpai juga dipamerkan di dalam muzium ini.