Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengumumkan Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan selama 25 hari persekolahan bermula 13 dan 14 Jun mengikut kumpulan negeri masing-masing. Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, berkata ketetapan yang berkuat kuasa hari ini bukan saja merangkumi sekolah kerajaan, malah turut membabitkan sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat yang mendaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM). Pihak sekolah perlu melaksanakan PdPR sepanjang tempoh ditetapkan berdasarkan takwim masing-masing.
Bagi terus menyokong pihak sekolah, guru, ibubapa dan murid sepanjang PdPR berlangsung, Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Jalan Paya Besar menginitiatif intervensi ini khusus untuk meningkatkan motivasi belajar dan seterusnya meningkatkan kehadiran ke PdPR menggunakan pendekatan psikologi dan kaunseling. Berdasarkan Teori Maslow, motivasi manusia akan meningkat jika dihargai dan diberikan pengiktirafan disamping terus cakna kepada keperluan psikososial murid dan ibubapa. Intervensi yang bakal dilaksanakan ini dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu Anugerah Lonjakan Kehadiran PdPR, melalui aktiviti dan pendekatan ini ganjaran dan hadiah iringan diberikan kepada murid yang iaitu Anugerah Ikon Murid PdPR dan Anugerah Murid Peningkatan PdPR (murid meningkat respon PdPR).
Manakala melalui Cakna Murid SUDI PdPR, murid yang menghadapi kekangan mengikuti PdPR diambil peduli melalui pendekatan sesi kaunseling hati ke hati melalui Talian Sokongan Psikososial Secara Atas Talian manakala bagi menyokong ibubapa terus memberi galakan kepada anak-anak untuk memberi komitmen kepada PdPR, Cakna Waris SUDI PdPR dilaksanakan melalui Talian Psikososial bersama waris dalam usaha memperkasakan peranan ibu bapa atau penjaga untuk membantu anak mendapat maklumat berkaitan sesi PdPR, arahan, tugasan atau kerja rumah yang diberikan guru dan membantu anak mengakses DELIMa, TV Pendidikan, EduwebTV (koleksi video) dan Cikgootube.
Melalui initiatif intervensi ini, diharapkan dapat meningkatkan kehadiran murid ke PdPR secara keseluruhannya. Oleh, itu pada tahun ini melalui intervensi ini kami mengharapkan aktiviti yang dijalankan dan ganjaran yang akan diterima akan dipanjangkan sehingga bulan November untuk mengekalkan peratus kehadiran PdPR dan kehadiran bersemuka yang tinggi dalam kalangan semua murid sepanjang tahun 2021.