Sekolah Sukan Malaysia (SSM) ialah sekolah untuk mengumpul atlet murid yang berpotensi supaya bakat cemerlang sukan dan akademik mereka dapat dipupuk serta dipertingkatkan di bawah bimbingan jurulatih yang berdedikasi serta guru-guru akademik yang terpilih. Melalui pengawasan yang lebih tersusun dan cekap, peningkatan prestasi akademik dan sukan dapat diseimbang dan disepadukan.
Dari aspek pengurusan dan pentadbiran, sekolah ini keseluruhannya mengikut konsep Sekolah Berasrama Penuh yang dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan sukan dan akademik.
Meningkatkan tahap pengetahuan, pengalaman dan kemahiran atlet murid dalam bidang sukan tanpa mengabaikan pencapaian akademik.
Menjadi pusat kecemerlangan sukan yang berjalan secara sistematik dan berterusan ke arah pencapaian atlet bertaraf dunia.
Menjadi pusat penyebaran pengetahuan dan kemahiran yang dapat memenuhi syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi.
Memupuk dan menggalakkan perkembangan nilai-nilai kepimpinan dan semangat kesukanan di samping memberi pengalaman dalam kemahiran pentadbiran aktiviti sukan.
Permohonan ke Sekolah Sukan Malaysia dilaksanakan 2 kali setahun iaitu untuk Ambilan Januari dan Ambilan Julai. Hanya pencalon yang terdiri daripada Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Sekolah Sukan Malaysia (SSM), Sekolah Sukan Negeri (SSN) layak memohon dengan menggunakan Sistem Permohonan Atas Talian melalui laman web Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) https://spassm.moe.gov.my/.
Semua pemilihan calon akan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet Murid ke Sekolah Sukan Malaysia. Keputusan akan diumumkan selewat-lewatnya dalam minggu kedua bulan Disember bagi Ambilan Januari dan minggu ketiga bulan Jun bagi Ambilan Julai. Semakan keputusan boleh dibuat melalui Laman Web Kementerian Pendidikan Malaysia https://spassm.moe.gov.my/. dan Sekolah Sukan Malaysia yang berhampiran. Surat tawaran akan dihantar terus ke sekolah asal pemohon.
Tawaran tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Pemilihan dan hanya sah sekiranya calon atlet murid memenuhi syarat-syarat kemasukan ke Sekolah Sukan Malaysia.
Syarat Umum :
Warganegara Malaysia.
Telah melalui Program Mengenalpasti Bakat (Talent Identification /Talent Search / Talent Scouting).
Bersetuju menerima Sekolah Sukan Malaysia yang ditawarkan dan jenis sukan yang ditetapkan.
Bersetuju mematuhi sepenuhnya semua peraturan dan arahan Sekolah Sukan Malaysia yang berkaitan.
Lulus pemeriksaan kesihatan oleh doktor yang berdaftar, sihat tubuh badan dan bebas daripada sebarang penyakit kronik, penyakit lelah (asthma) atau penyakit berjangkit.
Keutamaan akan diberi kepada atlet murid yang mewakili negeri di peringkat kebangsaan dalam sukan yang diceburi. (Contoh : Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dan kejohanan lain yang diiktiraf).
Sebarang perlanggaran syarat, ketidakjujuran dan pemalsuan maklumat/dokumen akan menyebabkan permohonan/tawaran ke SSM terbatal dengan sendirinya.
Syarat Khusus
Pengambilan bagi atlet murid Tahun 5 dan Tahun 6
Keutamaan adalah untuk sukan Gimnastik Artistik, Renang dan Terjun serta sukan lain mengikut keperluan dan calon perlu lulus semua mata pelajaran dalam Peperiksaan Akhir Tahun
Pengambilan bagi atlet murid Tingkatan 1
Atlet murid perlu memperolehi sekurang-kurangnya 3C di peringkat UPSR serta telah melalui TID Kementerian Pendidikan Malaysia.
Pengambilan bagi atlet murid Tingkatan 2 hingga Tingkatan 5
Atlet murid perlu menguasai Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) / Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
Calon lepasan SPM boleh memohon ke SSM pada bulan Mac hingga April dan dilaksanakan hanya 1 (satu) kali setahun iaitu untuk Ambilan Julai melalui Laman Web Kementerian Pendidikan Malaysia https://prau.moe.gov.my
Syarat Umum :
Warganegara Malaysia
Telah menduduki peperiksaan SPM dan lulus dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Sejarah;
Mewakili negara/berpotensi mewakili negara;
Warganegara Malaysia;
Umur tidak melebihi 20 tahun pada tarikh pendaftaran tahun kemasukan;
Hendaklah mendapat perakuan dan diikhtiraf oleh Majlis Sukan Negara/Negeri dan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK);
Lulus pemeriksaan kesihatan oleh doktor yang bertauliah, sihat tubuh badan dan bebas daripada sebarang penyakit kronik, penyakit lelah atau penyakit berjangkit;
Tawaran hanya sah sekiranya pelajar bersetuju menerima SSM yang ditawarkan.
Syarat Khas :
Aliran Sains
Sekurang-kurangnya mendapat kepujian dalam mata pelajaran Matematik Moden dan Bahasa Inggeris serta lulus sekurang-kurangnya 2 mata pelajaran berikut;
Biologi
Fizik
Kimia
Matematik Tambahan
Teknologi Maklumat
Perdagangan
Ekonomi Asas
Prinsip Akaun
Bahasa Inggeris
Lukisan Kejuruteraan
Rekacipta
Teknologi Kejuruteraan
Sains Sukan
Aliran Pengurusan
Sekurang-kurangnya mendapat lulus dalam mata pelajaran Matematik Moden dan Bahasa Inggeris serta lulus sekurang-kurangnya 2 mata pelajaran berikut;
Perdagangan
Ekonomi Asas
Prinsip Akaun
Lukisan Kejuruteraan
Rekacipta
Teknologi Kejuruteraan
Sains Tambahan
Teknologi Maklumat
Sains Sukan
Pendidikan Islam
Pendidikan Moral
Aliran Kemanusiaan
Sekurang-kurangnya mendapat lulus dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris serta lulus sekurang-kurangnya 2 mata pelajaran berikut;
Perdagangan
Ekonomi Asas
Prinsip Akaun
Lukisan Kejuruteraan
Rekacipta
Teknologi Kejuruteraan
Sains
Teknologi Maklumat
Sains Sukan
Pendidikan Islam
Pendidikan Moral
Geografi