PENGENALAN
PENGENALAN
Belajar cara belajar (BCB) merupakan satu bentuk kemahiran memperoleh teknik pembelajaran secara efektif dengan atau tanpa guru. Murid perlu belajar cara belajar supaya mereka dapat mengenal pasti kelemahan dan kekuatan dalam proses pembelajaran sama ada di dalam kelas atau luar kelas dan seterusnya berusaha untuk mencari jalan untuk mengatasi kelemahan dan menggunakan kelebihan atau kekuatan yang ada untuk memaksimumkan pencapaian dalam pelajaran.
Penguasaan kemahiran BCB amat penting bagi murid lantaran masa pengajaran dan pembelajaran dalam kelas adalah amat terhad. Hal ini menyebabkan ilmu pengetahuan yang diterima oleh murid juga terhad. Oleh itu, murid harus belajar cara untuk memperoleh maklumat tambahan dan meningkatkan penguasaan mereka dalam mempelajari sesuatu. Dalam erti kata lain, BCB akan membantu murid supaya mampu dan berupaya untuk belajar sendiri tanpa guru. Dengan menguasai kemahiran BCB, murid juga mampu menilai tahap pembelajarannya sendiri dan seterusnya membuat sesuatu untuk meningkatkan prestasinya dalam pelajaran.
Kemahiran belajar meliputi keseluruhan kemahiran yang biasanya cuba diterapkan oleh guru dan dimudahcara oleh Guru Bimbingan dan Kaunseling iaitu meliputi kemahiran mendengar, kemahiran membaca, kemahiran menulis dan mencatat nota dan kemahiran mengingat.