ABDULLAH MUNSYI
Abdullah Munsyi dilahirkan pada tahun Masihi 1796, bersamaan tahun Hijrah 1211, di Kampung Masjid atau juga dikenali sebagai Kampung Pali oleh masyarakat Keling. Beliau merupakan anak bongsu daripada empat adik-beradik seibu sebapa. Ketiga-tiga abangnya telah meninggal dunia sewaktu masih kecil. Beliau berasal daripada keturunan India dan Arab. Ayah beliau bernama Abdul Kadir adalah anak tunggal Muhammad Ibrahim dan Peri Achi. Moyang beliau merupakan seorang yang berketurunan Arab Yaman (Shellabear, 1947). Abdul Kadir telah mendapat pendidikan yang sempurna sejak kecil dan pernah memegang jawatan yang penting iaitu sebagai Syahbandar serta utusan Inggeris kepada negeri-negeri Melayu seperti Lingga, Riau, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Palembang. Selain itu, Abdul Kadir juga pernah menjadi jurubahasa dan jurutulis.
Semasa bapanya berniaga di luar negeri Melaka iaitu di Siak, Abdullah tinggal bersama neneknya Peri Achi yang bertugas sebagai seorang guru besar di Kampung Pali. Walaupun Abdullah dimanjakan oleh neneknya, beliau dibesarkan dalam situasi yang mementingkan pelajaran. Hal ini terbukti kerana ketika beliau berusia tujuh tahun, Abdullah telah diberikan permainan kalam resam dan papan loh. Oleh itu, beliau lebih cepat pandai menulis dan membaca berbanding dengan kanak-kanak lain.
Sewaktu kedatangan Stamford Raffles dari Syarikat Hindia Timur ke Melaka, Abdullah telah diambil sebagai kerani, penterjemah dan jurutulis kepada pihak Inggeris. Tugas ini dilakukan bersama-sama dengan bapa saudaranya, Ismail Lebai dan Muhammad Latif. Sikap Abdullah yang dedikasi telah menyebabkan beliau disegani oleh orang-orang Inggeris. Abdullah telah dilantik menjadi guru bahasa Melayu kepada askar-askar sepoy Hindustan.
Abdullah telah mendirikan rumahtangga dengan seorang wanita berperanakan India sepertinya ketika berusia 34 tahun. Beliau telah dikurniakan seorang anak perempuan bernama Siti Lela. Abdullah telah meninggalkan keluarganya di Melaka untuk meneruskan pekerjaannya di Singapura. Selepas kematian anak perempuan dan isterinya, beliau membawa anak lelakinya ke Singapura. Abdullah meninggal dunia pada tahun 1854 di Juddah sewaktu ingin menunaikan haji.
Peranan dan Sumbangan dalam Penulisan
Abdullah mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang penulisan. Beliau pernah bekerja sebagai guru bahasa, wartawan, sejarahwan, penterjemah dan sebagainya (Ismail Yusoff, 2008). Pengkaji sejarah berpendapat bahawa pemisahan antara Sastera Melayu Lama dengan Sastera Melayu Baru berlaku selepas tahun 1800, pada abad ke-19 iaitu setelah munculnya karya-karya Abdullah Munsyi yang membawa unsur-unsur baru dalam Sastera Melayu.
Kejayaan Abdullah dalam bidang penulisan banyak didorong oleh faktor persekitaran seperti kehidupan keluarga, keadaan sosio-politik selain bakat semulajadi yang dimilikinya. Sebagai seorang yang lahir dalam keluarga elit yang mementingkan ilmu, beliau mempunyai imej yang tinggi di mata masyarakat. Hal ini disebabkan nenek dan ayahnya sangat rapat dengan bidang pendidikan yang kurang dititikberatkan oleh masyarakat pada zaman tersebut. Corak kehidupan dan gaya hidup bapanya telah merapatkan hubungannya dengan pihak Inggeris. Hal ini telah membolehkan Abdullah diberi kesempatan untuk menyertai rombongan ke Kelantan bagi mendapatkan kembali kapal dagang Singapura yang ditahan pada 1937.
Abdullah Munsyi telah menghasilkan banyak karya yang bermutu seperti Syair Singapura Terbakar (1830), Dawaiy- Kulub (1838), Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan (1938), Kitab Adat Segala Raja-Raja Melayu dalam Segala Negeri (1838), Hikayat Abdullah bin Abdul Kadir (1849) dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Juddah (1854). Beliau juga menghasilkan karya terjemahan Hikayat Pancatanderan dan menyunting Sejarah Melayu. Karya-karya beliau ada yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa asing.
Karya-karya yang telah dihasilkan oleh beliau membawa unsur-unsur pembaharuan dalam lapangan sastera Melayu. Dua buah karya agungnya iaitu Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan merupakan cerminan kepada situasi yang berlaku dalam masyarakat. Abdullah melaporkan perkara yang benar-benar terjadi dan tidak memasukkan unsur khayalan.