FASA PRA-KELAHIRAN
PENJAGAAN MENTAL DAN FIZIKAL SEBELUM BERSALIN
Rancang pembelian alatan keperluan anak mengikut bajet yang dimiliki. Pembelian alatan terpakai (preloved/secondhand) adalah disarankan kerana ia membantu dalam penjimatan perbelanjaan kepada anak yang akan membesar. Pembelian boleh dibuat menggunakan media sosial seperti Facebook dan Carousell
Melakukan persiapan dari sudut peralatan, pakaian dan keperluan kepada ibu dan anak selepas kelahiran 2 bulan awal sebelum tarikh jangkaan kelahiran
Rancang atau tempah panel atau juru bagi sesi berpantang untuk si ibu bagi mengelakkan komplikasi selepas bersalin dan juga untuk membantu kepulihan bagi si ibu
Pastikan ibu mendapatkan rehat yang mencukupi bagi mengelakkan keletihan dan kesan sampingan lain berlaku seperti bengkak pada bahagian kaki dan dehidrasi
Peka dengan lebih teliti berkenaan keadaan dan pergerakan bayi melalui Carta Gerakan Anak (Fetal Kick Chart)
Mendapatkan nasihat dari panel di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak berkenaan penyususan susu ibu seperti faedah dan kelebihan susu ibu dan kaedah menyimpan susu bagi ibu yang bekerja
Kenalpasti tanda-tanda bersalin dan juga mengenal pasti kawasan atau fasiliti kelahiran bagi tujuan persediaan awalan dan kecemasan sebelum bersalin
DOA YANG KERAP DIBACA OLEH NABI MUHAMMAD SAW
Antara doa yang kerap dibaca Nabi Muhammad SAW adalah:
Menurut hadis daripada Anas R.A:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: Ya Rabb kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari seksa api neraka.
Menurut hadis daripada Anas R.A dan Ummu Salamah R.Anha:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ
Maksudnya: Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.
DOA MUDAH BERSALIN UNTUK DI AMALKAN
Para ibu bapa yang sedang menunggu kelahiran cahaya mata pasti berdebar untuk saat tibanya kelahiran si kecil. Bagi yang beragama Islam, sudah tentu mencari zikir dan doa mudah bersalin yang boleh diamalkan sebelum kelahiran anak.
Oleh itu kami memberikan panduan lengkap kepada para ibu dan bapa yang ingin mula membaca zikir dan doa ini dengan mudah bersama panduan tulisan rumi untuk rujukan.
Doa Mudah Bersalin Dari Doa Nabi Yunus
(Surah Al-Anbiya’: Ayat 87)
Rancang kelahiran anak
Kelahiran anak perlu dirancang dari segi sama ada ingin mengambil ubat tahan sakit, atau ingin lahir di hospital yang dekat atau jauh?
Selain itu anda digalakkan untuk sentiasa berkomunikasi dengan doktor sekiranya anda mempunyai soalan tentang kehamilan dan juga apa yang anda perlu jangkakan setelah bersalin.
Sediakan beg hospital
Persediaan beg ke hospital ini termasuklah barang untuk bayi dan juga ibu. Para ibu bapa boleh menyediakan barang keperluan ini dalam 2 minggu sebelum tarikh due date sebagai persediaan awal.
Checklist Barang Ibu Untuk Beg Hospital
Baju sejuk
Setokin
Tudung atau shawl instant
Getah rambut
Tisu
Lampin dewasa atau pad
Baju ibu 3 pasang
Barut
Toiletries
Checklist Barang Bayi Untuk Beg Hospital
Bedung
Setokin & mittens
Baby wipes
Tuala baby
Toiletries
Lampin bayi
Car Seat dan Baby Carrier
Keselamatan bayi seharusnya menjadi keutamaan ibu dan ayah. Sila semak dengan penjual car seat yang sesuai untuk anak anda yang sesuai untuk umurnya.
Jika tiada, semak carrier bayi yang sesuai untuk bayi baru lahir tersebut
Dapatkan sokongan ibu bapa lain
Adakalanya, soal ibu bapa ini agak merumitkan. Jadi tidak salah sekiranya anda ingin mendapatkan rujukan daripada mereka yang sudah makan garam dahulu.
Namun, berhati-hatilah. Jangan terlalu mengikut nasihat tanpa membuat rujukan dengan para doktor. Ini kerana ada masanya nasihat yang diberikan tidak sesuai dengan bayi anda.
Rancang penjagaan pantang
Perkara ini amat penting bagi kedua-dua ibu dan ayah. Ada yang memilih untuk mengupah penjaga untuk ibu selepas bersalin, ada yang berpantang sendiri dan ada juga berpantang bersama mertua atau ibu sendiri.
Walaupun agak remeh, perkara ini tidak seharusnya diabaikan daripada dibincangkan.
Rancang penjagaan anak
Jadual penjagaan anak perlu dilihat semula lebih-lebih lagi ibu bapa mempunyai anak yang lain selain bayi tersebut. Ibu yang baru bersalin mungkin akan penat manakala ayah yang baru pulang ke kerja mungkin tidak dapat bangun pagi untuk melihat anak.
Jadi bersiap-sedia dengan rancangan yang elok untuk anak anda.
FASA SELEPAS BERSALIN
PENJAGAAN KESIHATAN SELEPAS BERSALIN
Amalan Berpantang
Menjaga kesihatan dan keseimbangan emosi selepas bersalin dengan melazimi zikrullah dan mendengar alunan ayat quran
Peka terhadap tempoh nifas dan kebersihan diri sepanjang dalam tempoh berpantang.
Menjaga pemakanan dengan baik sepertimana penjagaan sewaktu kehamilan. Meningkatkan pengambilan tinggi serat dan protein bagi memulihkan luka dalam dan luaran
Mengurangkan pergerakkan bagi memberi ruang luka dan fizikal untuk sembuh
Penjagaan Kesihatan Ibu
Ibu dan bapa perlu memaklumkan kepada wakil kakitangan kesihatan Klinik Ibu dan Anak bagi memudahkan lawatan berkala dilakukan oleh Jururawat/Jururawat Masyarakat
Ibu juga perlu menghadiri temujanji kesihatan secara berkala di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak.
Mendapatkan nasihat dan pandangan berkenaan kaedah penyusuan bayi .
SUNNAH PENYUSUAN BAYI YANG BOLEH DIAMALKAN
Susu ibu adalah makanan yang ideal untuk bayi yang baru lahir. Allah SWT juga telah menciptakan kolostrum iaitu sejenis susu yang sangat berkhasiat untuk bayi. Penyusuan anak sehingga 2 tahun adalah hak bagi ibu dan bukan kewajipannya.
Firman Allah Taala:
أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنتُم مِّن وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ ۚ وَإِن كُنَّ أُولَاتِ حَمْلٍ فَأَنفِقُوا عَلَيْهِنَّ حَتَّىٰ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ ۚ فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ ۖ وَأْتَمِرُوا بَيْنَكُم بِمَعْرُوفٍ ۖ وَإِن تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَىٰ
Maksudnya: Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.
(Surah al-Talaq, 65:6)
ADAKAH ADA UPAH MENYUSU?
Si bapa wajib untuk memberikan upah kepada isterinya atau bekas isteri yang melahirkan anaknya bagi penyusuan tersebut jika dia meminta.
Ibu pula wajib untuk menyusukan anak dengan al-liba’, iaitu susu awal kelahiran yang juga dipanggil kolostrum. Ini kerana susu itu memberikan kekuatan kepada perkembangan bayi dan menguatkan bayi.
Harus untuk ibu bapa meneruskan penyusuan badan kepada kanak-kanak yang berumur lebih 2 tahun dengan syarat:
Tidak memudaratkan anak
Tidak khususkan susu badan sahaja tetapi tambah dengan makanan yang berkhasiat untuk tumbesaran yang elok
Dilakukan atas keperluan, rujuk kepada pakar pediatrik untuk kesan kesihatan kepada ibu dan bayi selepas 2 tahun
ADAB & SUNNAH KETIKA MENYUSUKAN ANAK
Sebenarnya tiada garis panduan khas tentang sunnah penyusuan anak. Tetapi sebagai umat Islam, segala apa yang dilakukan dengan nama Allah boleh menjadi pahala.
Semudah membaca bismillah ketika melakukan sesuatu, anda akan mendapat pahala. Oleh itu kami senaraikan perkara-perkara yang anda boleh lakukan ketika menyusu.
Sunnah ini termasuk di dalam topik adab kerana dengan mengikuti adab ini, insya-Allah ada ganjaran pahala kerana masih menjaga nama baik Islam walaupun sedang menyusu.
1. Tempat yang sesuai
Tidak semua tempat sesuai untuk menyusu. Anda perlu mengambil kira keselesaan semua pihak. Ibu yang menyusu, keadaan bayi dan juga pandangan sekeliling.
Namun, penyusuan tidaklah perlu dilihat sebagai aib kerana bayi cuma memerlukan keperluannya untuk hidup daripada susu tersebut. Jika ibu terpaksa menyusu di dalam suasana yang ramai awam, mereka digalakkan menggunakan nursing cover.
Dengan ini ibu akan lebih mudah untuk bergerak untuk menyusu sekaligus memberikan keselesaan kepada bayi.
2. Pakaian yang sesuai
Tidak semua pakaian yang menutup aurat itu sesuai untuk ibu menyusu. Sebaiknya pilihlah baju yang mempunyai zip di belah hadapan ataupun ‘breastfeed friendly’. Jika tidak, pastikan anda mempunyai akses yang pantas untuk menyusu di kawasan yang tertutup.
Ada kalanya bayi merengek dan juga bergerak ketika menyesuaikan badan untuk menyusu. Pakai pakaian yang sesuai akan memudahkan para ibu untuk menyusu dalam keadaan yang selesa dan paling penting masih menutup aurat walau betapa lasaknya bayi sedang menyusu.
3. Menjaga aurat
Di mana sahaja anda berada, jagalah aurat anda sewaktu menyusu. Jika rumah sedang dilawati orang dan anda tidak selesa dengan para tetamu anda boleh meminta mereka untuk keluar atau anda sendiri beralih tempat supaya mereka tidak melihat anda sewaktu menyusu.
Menyusu juga memerlukan para ibu untuk ada di dalam keadaan tenang. Tenang ketika menyusu juga boleh mengelakkan ibu daripada malu atau stress sekaligus membantutkan pengeluaran susu
4. Membaca Bismillah
Jika anda ingin memulakan tabiat membaca bismillah pada anak, boleh mula dari anak itu bayi. Setiap kali disua untuk menyusu, bacakan bismillah bagi pihak anak tersebut.
5. Mulakan di sebelah kanan
Sedangkan kita melangkah masuk rumah pun dianjurkan menggunakan kaki kanan, tidak salah untuk menyusu dengan belah kanan dahulu. Semoga sedikit demi sedikit sunnah untuk dahulukan anggota badan belah kanan dalam melakukan sesuatu menjadi kebiasaan kepada kita sekeluarga.
6. Berzikir semasa menyusu
Banyakkan berzikir ketika menyusu. Di samping dijadikan doa, zikir juga boleh menjadi penenang hati kepada anak dan juga ibu yang sedang menyusu.
TAHNIK
Belah Mulut Bayi dalam Islam merupakan istilah pada orang zaman dahulu. Amalan membelah mulut pada zaman dahulu, adalah untuk membantu bayi mudah bercakap sehingga membesar.
Tetapi istilah dalam mengikut Islam adalah bertahnik. Tahnik adalah merupakan satu ibadah sunnah untuk menyambut kelahiran bayi selain aqiqah.
Tahnik dari segi Bahasa adalah lelangit di dalam mulut. Pakar Bahasa Arab mengatakan bahawa tahnik itu adalah perbuatan mengunyah buah Tamar,dan kemudian tamar tersebut disapu dan digosok sedikit pada lelangit bayi.
Sejarah Tahnik
Berikut beberapa kisah tahnik dalam kitab Al-Adzkar karya Imam Nawawi.
Dari Aisyah r.a, ia berkata:
"Ada beberapa bayi yang dibawa ke hadapan Rasulullah s.a.w, maka Beliau mendoakan mereka dan mengunyahkan makanan untuk mereka. Menurut riwayat yang lain Beliau mendoakan agar bayi-bayi tersebut mendapatkan keberkahan."
(HR Abu Dawud)
Dari Asma' binti Abu bakar r.a, ia berkata:
"Aku mengandung Abdullah bin Zubair saat masih berada di Makkah, maka aku pergi ke Madinah. Di Quba, aku berhenti lalu melahirkan. Kemudian bayi itu ku bawa kepada Nabi s.a.w. Beliau meletakkannya di pangkuannya dan meminta dibawakan kurma lalu dikunyahnya kemudian dimasukkan ke mulut bayi tersebut. Maka yang pertama sekali yang masuk ke mulutnya adalah air liur Rasulullah s.a.w, kemudian dikunyahkannya kurma dan Beliau berdoa memohonkan keberkahan baginya."
(HR Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Musa al-Asy'ari r.a, ia berkata:
"Telah lahir bayi laki-laki iaitu anakku sendiri, lalu kubawa kepada Nabi s.a.w. Maka Beliau memberinya nama Ibrahim dan mengunyahkan tamar (kurma kering) kemudian dimasukkan ke mulutnya serta membacakan doa keberkahan,"
(Imam An-Nawawi, terjemah Al-Adzkar, PT Al-Maarif, Bandung, 1984: halaman 184-185).
BOLEHKAH TAHNIK DENGAN MADU?
Bolehkah Tahnik Dengan Madu?
Elakkan tahnik dengan menggunakan madu. Ini kerana menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) madu tidak sesuai untuk diberikan kepada bayi yang berusia kurang daripada 12 bulan.
Walaupun dicampur dengan susu atau makanan lain, madu masih terlalu ‘kuat’ untuk dihadam bayi. Ia boleh melemahkan otot bayi dan menyebabkan kegagalan sistem pernafasan.
Jika ingin bertahnik, cukup menggunakan kurma. Sekiranya tiada kurma, gunakan makanan yang bersifat manis lain selain madu dan mencapai maksud dari amalan bertahnik.
ADAKAH TAHNIK MEMBUATKAN NAJIS ANAK LELAKI MUTAWASSITAH?
Jenis-jenis najis:
Najis Mukhaffafah: Najis yang ringan
Najis Mutawassitah: Najis yang pertengahan berat dan ringan
Najis Mughallazah: Najis yang berat
Setiap najis ini mempunyai cara-cara untuk dibersihkan yang tersendiri mengikut darjah berat najis itu.
Pada asalnya najis bayi lelaki adalah najis mukhaffafah sehinggalah bayi tersebut berumur bawah 2 tahun yang belum makan makanan melainkan susu ibunya.
Berbalik kepada persoalan adakah tahnik akan menyebabkan najis bayi lelaki menjadi mutawassitah?
Jawapannya adalah tidak. Ini adalah berdasarkan Syeikh Hasan al-Kaff yang menyatakan bahawa;
لَا يَضُرُّ تَحْنِيكُهُ بِنَحْوِ تَمْرٍ وَ عَسلٍ وَ كَذَلِكَ الدَّوَاءَ وَ مَا يُوضَعُ لِلإصْلاحِ كَمِلْح وَ سُكَر
Maksudnya: Tidak memberi kesan (perubahan najis mukhaffafah kepada mutawassitah) dengan melakukan tahnik terhadap bayi dengan kurma dan madu, begitu juga ubat-ubatan dan apa yang diberikan untuk merawatnya seperti garam dan gula.
Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah: 134
CARA TAHNIK RINGKAS
Ini cara tahnik ringkas untuk anda ikuti:
• Sediakan kurma dan air zamzam
• Istighfar
• Mulakan dengan beristighfar
• Baca al-Fatihah
• Baca ayat Kursi
• Baca Selawat Syifa
• Baca selawat Kamilah
• Baca 3 Qul
• Kunyah kurma sehingga lembik.
• Dengan jari, ambil kurma tersebut dan masukkan ke dalam mulut bayi.
• Baca ayat 33-37 surah Ali Imran
• Keluarkan jari dan suapkan sedikit air zam-zam
• Bacakan doa untuk anak tersebut