DISEDIAKAN OLEH : Adhwa Hana Binti Zulkipli , Nuralysa Maisarah Binti Midin , Nasreen Aatiqah Binti Ahmed Kamil , Nurul Ain Binti Rosdi , Amirul Naim Bin Mohd Asri , Shawn Dewa Jack
UNIVERSITI MALAYA EDUCATION CENTRE ( UMCCED )
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Majalah digital ini diterbitkan sebagai sebahagian daripada tugasan universiti dengan tujuan untuk meneliti dan memahami pembinaan peradaban majmuk di Malaysia. Semoga bahan bacaan ini dapat memberikan pengetahuan, kesedaran serta menggalakkan semangat perpaduan dalam kalangan pembaca.
Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana mempunyai masyarakat berbilang kaum, budaya, dan agama. Kepelbagaian ini lahir daripada sejarah panjang proses penghijrahan, penjajahan, serta percampuran antara masyarakat tempatan dengan pendatang dari pelbagai negara. Antara kaum utama yang membentuk negara ini ialah Melayu, Cina, India, serta masyarakat etnik di Sabah dan Sarawak. Memahami asal-usul kepelbagaian kaum amat penting kerana ia dapat menimbulkan rasa hormat, toleransi, dan perpaduan antara rakyat. Dengan menyedari latar belakang setiap kaum, kita dapat menghargai sumbangan mereka terhadap pembangunan negara dalam aspek ekonomi, sosial, dan politik. Sejarah juga memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat majmuk hari ini. Proses pembinaan masyarakat Malaysia tidak berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya melalui pengalaman penjajahan, dasar kerajaan, serta interaksi berterusan antara kaum. Hasilnya, wujudlah sebuah masyarakat majmuk yang kaya dengan kepelbagaian tetapi tetap berpaksikan semangat perpaduan dan kebersamaan.
KAUM MELAYU
Kaum Melayu merupakan penduduk asal di Tanah Melayu yang berasal daripada rantau Nusantara . Sejak dahulu lagi, mereka telah membina kerajaan awal seperti Srivijaya, Langkasuka, dan kemudian Kesultanan Melaka pada abad ke-15. Kedatangan Islam sekitar abad ke-13 melalui pedagang Arab dan India telah menjadi asas penting dalam pembentukan identiti orang Melayu. Namun, zaman penjajahan Portugis, Belanda, dan British membawa banyak perubahan dari segi politik, ekonomi, dan pemilikan tanah. Pada hari ini, kaum Melayu menjadi etnik terbesar di Malaysia serta memainkan peranan penting dalam membentuk budaya dan identiti kebangsaan.
KAUM CINA
Sementara itu, kaum Cina telah berhijrah ke Tanah Melayu sejak abad ke-15 lagi, khususnya semasa zaman Kesultanan Melaka yang menjalinkan hubungan dengan Dinasti Ming di China. Perkahwinan Sultan Mansur Shah dengan Puteri Hang Li Po menjadi bukti hubungan akrab antara kedua-dua pihak. Walau bagaimanapun, imigrasi besar-besaran orang Cina berlaku pada abad ke-19 semasa penjajahan British, apabila ramai yang datang sebagai buruh lombong bijih timah, petani, dan peniaga kecil. Mereka turut mengekalkan identiti melalui bahasa, agama, dan budaya seperti sambutan Tahun Baru Cina. Pada masa kini, kaum Cina menjadi komuniti kedua terbesar di Malaysia dan banyak menyumbang dalam sektor ekonomi, pendidikan, serta pembangunan bandar.
KAUM INDIA
Hubungan antara India dan Tanah Melayu telah wujud sejak abad pertama Masihi melalui perdagangan maritim. Pedagang India singgah di pelabuhan seperti Lembah Bujang di Kedah untuk berdagang rempah, kain dan logam. Selain aktiviti perdagangan, mereka turut membawa pengaruh budaya dan agama Hindu dan Buddha. Zaman penjajahan British iaitu pada abad ke-19, British membawa masuk orang India secara besar-besaran sebagai buruh apabila ekonomi kolonial berkembang dan permintaan tenaga buruh melonjak di Tanah Melayu. Golongan buruh ini ditempatkan di ladang getah, projek infrastruktur seperti pembinaan jalan raya dan landasan kereta api, serta kerja-kerja pembinaan bangunan. Selain itu, terdapat juga golongan India yang berpendidikan dan bekerja sebagai kerani, guru, doktor dan peguam dalam pentadbiran British.
Selepas Perang Dunia Kedua dan menjelang kemerdekaan, ramai buruh India memilih untuk menetap secara tetap di Tanah Melayu. Mereka mula membina komuniti yang kukuh dengan menubuhkan sekolah Tamil, kuil Hindu dan pertubuhan sosial-politik. Kaum India turut terlibat dalam gerakan menuntut kemerdekaan melalui parti seperti Malayan Indian Congress (MIC), yang menjadi suara politik utama bagi masyarakat India di Malaysia.
Selepas merdeka dan hingga kini, kaum India di Malaysia kini terdiri daripada pelbagai kelompok seperti Tamil, Sikh, Malayali, Telugu, Gujarati, dan lain-lain. Mereka juga aktif dalam bidang ekonomi, politik, pendidikan dan kebudayaan. Dalam bidang ekonomi, ramai yang terlibat dalam perniagaan, perladangan dan sektor profesional. Dalam politik, wakil kaum India aktif dalam pelbagai parti dan jawatan kerajaan. Dari segi kebudayaan pula, warisan India seperti perayaan Deepavali dan Thaipusam, tarian Bharatanatyam, makanan tradisional seperti roti canai dan kari, serta pengaruh filem Kollywood telah menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia yang unik. Oleh itu, sejarah kedatangan kaum India memainkan peranan penting dalam membentuk landskap sosial, ekonomi dan budaya Malaysia hari ini.
KAUM LAIN
Orang Asli di Semenanjung Malaysia serta Bumiputera Sabah dan Sarawak. Mereka merupakan penduduk asal yang telah lama menetap di wilayah ini sebelum kedatangan kuasa luar dan penjajahan. Sejarah kedatangan dan kewujudan mereka mencerminkan kepelbagaian budaya, bahasa dan tradisi yang menjadi warisan negara.
(i) ORANG ASLI
Orang Asli merupakan penduduk pribumi Semenanjung Malaysia yang telah wujud sejak ribuan tahun dahulu, nenek moyang mereka termasuk dalam gelombang migrasi awal manusia dari Asia Tengah dan Asia Selatan ke Asia Tenggara, berusia puluhan ribu tahun. Mereka terdiri daripada tiga kumpulan utama:
1. Negrito – dipercayai gelombang terawal, datang lebih 25,000 tahun dahulu, hidup secara nomad dan bergantung pada hutan.
2. Senoi – datang dari kawasan utara (banjaran Thailand) sekitar 8,000 tahun lalu, mengamalkan pertanian pindah.
3. Melayu Proto – tiba sekitar 2,500–3,000 tahun lalu dari Yunnan, China. Mereka lebih maju dari segi teknologi (alat besi, pertanian).
Pengaruh budaya luar seperti Hindu-Buddha dan Islam kemudian turut meresap ke dalam kehidupan mereka, namun komuniti Orang Asli kekal dengan identiti tersendiri, terutama dalam amalan tradisi dan bahasa. Kini, mereka diiktiraf sebagai masyarakat peribumi Malaysia dengan perlindungan di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
(ii) BUMIPUTERA SABAH DAN SARAWAK
Sabah dan Sarawak pula dihuni oleh pelbagai suku kaum pribumi yang membentuk majoriti penduduk di kedua-dua negeri. Di Sabah, antara kaum utama ialah Kadazandusun, Bajau, Murut, Rungus, Bisaya, Orang Sungai dan Lun Bawang. Manakala di Sarawak, suku kaum seperti Iban, Bidayuh, Melanau, Orang Ulu (Kayan, Kenyah, Kelabit) dan lain-lain menjadi tunjang kepada masyarakat negeri tersebut.
Sebelum era penjajahan, masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak telah menjalankan aktiviti ekonomi seperti pertanian, perdagangan tempatan dan perikanan. Kedatangan kuasa luar seperti Kesultanan Brunei, Kesultanan Sulu, Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBUB) di Sabah dan kerajaan Brooke di Sarawak telah mengubah struktur sosial dan ekonomi mereka.
Sejarah kaum-kaum peribumi di Malaysia memperlihatkan bahawa Orang Asli, Bumiputera Sabah dan Bumiputera Sarawak merupakan gelombang awal penghuni rantau ini, jauh sebelum kedatangan kuasa asing. Mereka berasal daripada migrasi awal manusia serta migrasi besar Austronesia yang membentuk majoriti etnik di Borneo dan hal ini menjadi sebahagian penting daripada kepelbagaian budaya di Malaysia.