1.Penjajahan British (sistem pentadbiran berasingan mengikut kaum)
Semasa zaman penjajahan British, pihak British mengamalkan dasar pecah dan perintah yang membahagikan masyarakat mengikut kaum dan fungsi ekonomi tertentu. Strategi yang digunakan oleh pemerintah kolonial Inggeris di berbagai wilayah jajahannya termasuk Tanah Melayu ini bertujuan untuk memecah belah masyarakat dan mencegah persatuan yang bisa mengancam kekuasaan mereka. Selain itu, British tidak berusaha untuk menyatukan kaum kaum ini ke dalam masyarakat Melayu tempatan dan mereka dibiarkan tinggal secara berasingan yang mana ia menjadi punca kaum kaum ini mengekalkan budaya, bahasa dan agama masing masing.
Tambahan, British tidak mengawal ketat kemasukan buruh asing kerana ingin memenuhi keperluan ekonomi dan tenaga kerja dalam sektor perlombongan, perladangan dan pembinaan. British membawa masuk tenaga buruh asing yang mana Kaum Cina dibawa dibawa masuk secara besar-besaran untuk bekerja di lombong bijih timah. Manakala Kaum India diambil untuk bekerja di ladang-ladang getah di kawasan pelabuhan seperti Pulau Pinang. Terdapat juga komuniti dari Arab, Pakistan dan Sri Lanka yang datang sebagai pedagang dan ahli agama. Hal ini menyebabkan penempatan kaum secara berasingan seperti kampung Melayu, kawasan lombong Cina dan estet India.
Walaupun tidak dibawa masuk oleh British seperti kaum Cina dan India, kaum Melayu tetap menjadi penduduk asal yang memainkan peranan besar dalam kestabilan sosial dan budaya. Ini menyebabkan kaum Melayu tidak terlibat secara langsung dalam aktiviti perindustrian dan ekonomi moden yang dikawal oleh British dan dikuasai oleh kaum Cina dan India
Hasil daripada perpindahan buruh dan aktiviti ekonomi ini menyumbang kepada masyarakat berasaskan kaum yang berbeza dari segi lokasi, ekonomi dan pendidikan serta wujudnya komposisi kaum pelbagai yang membentuk asas kepada kepelbagaian masyarakat di Malaysia hari ini.
2. Perkembangan Ekonomi dan Perindustrian Selepas Merdeka
Selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, kerajaan mula memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan pemodenan negara. Pertumbuhan ekonomi dan perindustrian menyebabkan pergerakan penduduk dari luar bandar ke bandar. Ini membuka peluang pekerjaan kepada semua kaum dan membawa mereka tinggal bersama di kawasan bandar, sekaligus meningkatkan interaksi antara kaum. Contohnya perkembangan industri di Kuala Lumpur dan Shah Alam menarik pelbagai kaum bekerja dan tinggal bersama. Penubuhan kawasan perumahan bercampur dan sekolah pelbagai kaum menyumbang kepada penyatuan sosial secara perlahan.
Walaupun masyarakat Malaysia pada asalnya tinggal dalam komuniti etnik masing masing, proses perindustrian ini menyebabkan pelbagai kaum mula tinggal, bekerja dan berinteraksi dalam kawasan yang sama. Hal ini secara tidak langsung meningkatkan kepelbagaian dan interaksi kaum di kawasan bandar. Selain itu, sektor perkhidmatan, pendidikan dan swasta yang berkembang pesat di bandar turut menarik kehadiran masyarakat dari pelbagai negeri dan latar belakang etnik untuk mencari pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik. Pusat perniagaan dan industri seperti Bayan Lepas, Pasir Gudang dan Klang menggambarkan kepelbagaian tenaga kerja dari kaum Melayu, Cina, India serta etnik Sabah dan Sarawak.
Perkembangan ini menjadi salah satu faktor utama yang menyumbang kepada wujudnya masyarakat majmuk yang lebih terbuka dengan peluang interaksi sosial yang lebih tinggi antara kaum.
3. Perkahwinan Campur dan Asimilasi Budaya
Aktiviti Perdagangan Zaman Silam juga menjadi asbab lain terjadinya kepelbagaian kaum di negara kita. Kedudukan Malaysia yang berada di tengah tengah laluan perdagangan Asia menjadikan negara ini tumpuan pedagang dan penghijrah. Keadaan ini menggalakkan pertambahan penduduk dari pelbagai latar belakang. Malaysia (terutamanya Melaka) merupakan pusat perdagangan penting sejak abad ke-15. Pedagang dari China, India, Arab dan Nusantara menetap, berkahwin dan berasimilasi serta melahirkan komuniti pelbagai etnik yang unik seperti Baba Nyonya (Melayu-Cina) dan Chetti (Melayu-India) yang menyumbang kepada kepelbagaian budaya dan identiti kaum
Di sudut lain, komuniti ini menggabungkan unsur budaya, bahasa, adat resam dan pemakaian daripada kedua dua belah pihak. Sebagai contoh, masyarakat Baba Nyonya menggunakan bahasa Melayu dialek khas tetapi mengamalkan budaya dan kepercayaan tradisi Cina. Manakala masyarakat Chetti mengamalkan kepercayaan Hindu tetapi budaya mereka cenderung kepada budaya Melayu.
Kesan daripada perkahwinan campur ini, masyarakat Malaysia menjadi lebih terbuka dan toleran terhadap budaya kaum lain. Ia juga mewujudkan jalinan hubungan antara kaum yang lebih rapat, sekali gus mengurangkan jurang sosial antara etnik. Justeru itu, pada masa kini perkahwinan campur masih berlaku secara meluas dan turut diperkukuh melalui penerimaan sosial serta dasar kerajaan yang menggalakkan perpaduan nasional.
Secara keseluruhannya, perkahwinan campur dan asimilasi budaya bukan sahaja menjadi faktor kepada wujudnya kepelbagaian kaum di Malaysia, malah ia juga merupakan asas kepada pembentukan identiti nasional yang unik, harmoni dan saling memahami.
4. Perpindahan dari negara jiran
Kedudukan Malaysia yang strategik dan bersempadan dengan negara jiran yang mempunyai konflik politik dan ekonomi seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan Brunei menyebabkan sebilangan penduduk berhijrah ke Malaysia sebagai pelarian atau mencari kehidupan lebih baik melalui rentas sempadan sejak dahulu lagi sama ada secara tradisional mahupun moden. Ramai etnik seperti Jawa, Bugis, Banjar, dan Suluk menetap di Malaysia dan berasimilasi dalam masyarakat, terutama dalam kalangan Melayu, menambah lagi kepada kepelbagaian kaum dan budaya.
Sebelum wujudnya sempadan negara yang rasmi, masyarakat dari negara jiran telah berhijrah dan menetap di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak untuk tujuan berdagang, bercucuk tanam, atau mencari perlindungan. Mereka datang secara berperingkat dan akhirnya menetap secara tetap. Ramai juga yang berkahwin dengan penduduk tempatan dan mewariskan budaya mereka kepada generasi seterusnya.
Sebagai contoh Etnik Jawa, Minangkabau dan Banjar dari Indonesia kini dianggap sebahagian daripada kaum Melayu di Malaysia. Di Sabah pula, etnik Suluk dan Bajau yang berasal dari Filipina turut menjadi antara penduduk utama dan etnik Rungus dan Kadazan mempunyai hubungan dengan kaum kaum di Kalimantan, Indonesia. Di utara Semenanjung pula, terdapat komuniti Siam yang berasimilasi dalam masyarakat tempatan dan mempunyai hubungan darah dan budaya dengan etnik asli di wilayah jiran seperti Thailand.
Perpindahan ini menambah kekayaan budaya, bahasa, dan adat resam dalam masyarakat Malaysia. Walaupun mereka berasimilasi dengan kaum dominan seperti Melayu, identiti asal mereka masih dapat dilihat dalam makanan, pakaian tradisional, seni dan bahasa pertuturan.