COMRADE CLUB IIUM
Peringkat Pertama (1992-1994)
Jika diimbas kembali sejarah penubuhannya, COMRADE telah diasaskan oleh sekumpulan mahasiswa dari Kelab Kembara dan Rekreasi (ARC) UIAM. Sekembalinya mereka daripada menyertai program Bakti Siswa di sebuah perkampungan Orang Asli di tanah tinggi Cameron Highlands, mereka telah bersepakat untuk menubuhkan sebuah persatuan yang dikhaskan untuk masyarakat Orang Asli setelah merasai realiti kehidupan masyarakat itu yang penuh kedaifan. Pada awalnya, COMRADE bukanlah sebuah pertubuhan yang sah dalam UIAM kerana ia tidak didaftarkan di bawah STADD. Jadi, segala aktiviti dan program COMRADE pada waktu itu dibantu oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), Pejabat Daerah, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan juga sumbangan peribadi dari pihak tertentu. Pada ketika itu, program COMRADE lebih tertumpu kepada perkampungan Orang Asli di sekitar Cameron Highlands. Aktiviti utamanya lebih cenderung ke arah aspek kerohanian. Aspek ini diberi penekanan adalah untuk membimbing penduduk Muslim dalam mengamalkan ajaran Islam di mana ketika itu merupakan golongan minoriti. Di samping itu, COMRADE juga mengadakan projek-projek berhubung aspek ekonomi untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat Asli. Contohnya ialah Projek Tanaman Berkelompok, Projek pembuatan dodol dan kerepek serta pengendalian koperasi. Selain itu, program pendidikan juga turut dianjurkan dan ia merupakan program yang menjadi tumpuan selepas program kerohanian. Oleh itu, Kelas Bimbingan Asli Raub-Ruil (KIBARR) diperkenalkan sebagai satu usaha untuk membimbing para pelajar Asli di peringkat rendah mahupun peringkat menengah agar dapat meneruskan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi dan seterusnya menjadi insan yang berguna pada masa akan datang. KIBARR diadakan dua kali sebulan bertempat di Asrama Tengku Kudin, Raub dan Asrama Sungai Ruil, Cameron Highlands.
Peringkat Kedua (1995-1998)
Sejak bertapak di UIAM, COMRADE mula dikenali sebagai sebuah persatuan khusus untuk membangunkan masyarakat Orang Asli. Pada peringkat ini juga, COMRADE menjalinkan hubungan dengan persatuan-persatuan lain terutamanya Majlis Perwakilan Pelajar (SRC) bagi memperkemas organisasinya. Rentetan itu, ia telah diletakkan di bawah Sekretariat Sosial dan Masyarakat SRC bagi mendapatkan tajaan dan sokongan untuk semua aktiviti dan program utamanya. Selain itu, COMRADE juga mengadakan program-program anjuran bersama Mahallat-mahallat di UIAM. Jumlah penglibatan mahasiswa dalam pertubuhan ini juga turut meningkat. Dengan itu, COMRADE dapat melebarkan sayapnya dengan mengadakan pelbagai aktiviti dan program bagi merealisasikan objektif penubuhannya. Antara program yang dijalankan pada waktu itu ialah program usrah di perkampungan Orang Asli di Bukit Lanjan. Program ini dilaksanakan untuk membimbing serta memberi tunjuk ajar kepada mereka tentang ajaran Islam. Selain itu, program motivasi juga turut diadakan khusus bagi mereka yang berada pada tahun peperiksaan. Program ini bertujuan menyuntik semangat dan merangsang mereka dalam menuntut ilmu hingga ke menara gading. Sungguhpun sibuk menjalankan program usrah dan motivasi, pihak COMRADE tetap melaksanakan program susulan ke perkampungan Orang Asli terutamanya di Kampung Kuala Boh dan Kampung Susu yang diadakan sebulan sekali. Meskipun begitu, KIBARR tetap diteruskan sebagai satu aktiviti bulanan COMRADE.
Peringkat Ketiga (1999-kini)
Pada peringkat ini, COMRADE telah ditukarkan di bawah Unit Latihan dan Tarbiah STADD bagi melicinkan pengurusan dan gerak kerjanya. Pada waktu itu, COMRADE telah diiktiraf sebagai sebuah program di bawah pentadbiran STADD meskipun belum disahkan sebagai sebuah persatuan di UIAM. Pada 25 Mac 2000, COMRADE telah menjadi sebuah persatuan berdaftar di bawah STADD berdasarkan kredibilitinya untuk merancang dan menjalankan program-programnya. Kira-kira tahun kemudian, COMRADE telah dipindahkan ke Pusat Aktiviti Ko-kurikulum (CCAC) bersempena kewujudan pusat ko-kurikulum itu secara rasminya di UIAM. Pada tahun ini, COMRADE telah melakukan beberapa pembaharuan. Antaranya ialah menjalankan kajian dan penyelidikan dalam Program Masuk Kampung. Ini membolehkan pihak COMRADE memahami realiti kehidupan penduduk kampung dengan lebih mendalam serta merancang program susulan dengan lebih berkesan. Di samping itu, COMRADE juga telah menjalinkan hubungan rasmi dengan agensi-agensi yang terlibat secara langsung dengan masyarakat Orang Asli. Pada sesi 2001/2002, COMRADE telah mengadakan dua kunjungan hormatnya pertamanya Yang Berhormat Dato’ Haji Omar bin Haji Othman, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Pengangkutan dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, keduanya Yang Berbahagia Encik Md. Rosnan, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia (JHEOAM).
LOKASI PROJEK
Kebiasaannya, program-program COMRADE giat dijalankan di perkampungan perkampungan Orang Asli di seluruh Kelantan, Pahang dan Perak. Antara lokasi perkampungan masyarakat Orang Asli ini adalah seperti berikut :
• Kampung Leryar, Cameron Highlands, Pahang Darul Makmur • Kampung Susu, Cameron Highlands, Pahang Darul Makmur • Kampung Kuala Boh, Cameron Highlands, Pahang Darul Makmur • Kampung Terisu I dan II, Cameron Highlands, Pahang Darul Makmur • Kampung Husin, Sungai Siput, Perak Darul Ridzuan • Kampung Pelantuk, Sungai Siput, Perak Darul Ridzuan • Pos Lebir, Gua Musang, Kelantan Darul Naim