ENTERPRISE

AKIBAT PELAKSANAAN PELAN PEMULIHAN FASA 1 DI PULAU PINANG, USAHAWAN KECIL GULUNG TIKAR

Rabu, 12 Januari 2022
Oleh Nur Nadhrah

Cakesbyshibli mengambil keputusan untuk berhenti beroperasi akibat kekangan dihadapi ketika Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN)

(Sumber: Berita DIMENSi / Nur Nadhrah)

PERAI: Perubahan drastik akibat Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 16 Ogos 2021 di negeri Pulau Pinang telah menyebabkan penutupan operasi sebuah perniagaan kecil milik dua bersaudara.


Nur Nasuha Azli, 20 dan Tawfiq Ali, 27, memulakan perniagaan mereka iaitu cakesbysshibli secara dalam talian, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama diumumkan.


Pada mulanya,perniagaan mereka bermula dengan hanya sekadar mencuba pelbagai resepi kek, untuk mengisi masa lapang mereka sahaja.


“Apabila kami berkongsi pengalaman dan gambar kek di media sosial, ramai tertarik akan produk kami dan berhasrat untuk membeli produk daripada cakesbysshibli,” kata Tawfiq ketika ditemu bual oleh DIMENSi.

Antara resepi yang dijual oleh Cakesbyshibli, Chocolate Moist Cake dan Oreo Cheesecake

(Sumber: @cakesbyshibli/Instagram)

Dorongan untuk memulakan perniagaan sendiri adalah kerana mereka sukakan juadah-juadah manisan terutamanya kek dan idea untuk meneruskan perniagaan tercetus selepas pandemik yang membataskan pergerakan mereka.


“Akibat terkesan disebabkan PKP, kami berdua seolah-olah terperangkap di rumah, tidak mempunyai hala tuju kerana sektor ekonomi diberhentikan serta merta.


“Jadi kami berdua mengambil inisiatif untuk mengkaji secara mendalam tentang cara-cara membakar kek, alatan yang diperlukan dan sebagainya,” ujar kedua-dua usahawan kecil tersebut.

Kedua-dua usahawan tersebut di dalam dunia masing-masing pada masa kini

(Sumber: Berita DIMENSi / Nur Nadhrah)

Pada bulan Ogos 2021, dua usahawan tersebut membuat keputusan berat untuk menghentikan perniagaan mereka demi memberi ruang untuk kelangsungan hidup dalam norma yang baharu.


Nasuha kini menyambung pelajarannya di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak dalam jurusan undang-undang dan Tawfiq pula telah bekerja sepenuh masa di Hotel Lone Pine.


“Kami yakin perniagaan kami masih boleh diteruskan namun kami mempunyai keutamaan yang lain dalam kehidupan masing-masing,” kata mereka.


Menurut pengasas cakesbysshibli itu, mereka sering dihubungi oleh pelanggan tetap dan turut mendengar luahan sedih, kerana tidak lagi dapat menikmati keenakan hasil air tangan mereka.


“Saya kecewa apabila mereka membuat keputusan untuk tidak meneruskan perniagaan mereka kerana saya dan keluarga amat suka kek buatan mereka,” ujar Nur Khatijah Halim, 48, salah seorang pelanggan tetap cakesbysshibli.


Dalam norma baharu yang terpaksa ditempuhi, mereka memanfaatkan waktu lapang ini untuk menjana pendapatan sampingan. Kepadatan jadual menyebabkan mereka tidak mempunyai ruang untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada perniagaan kek mereka.

Antara pelanggan tetap yang sering membuat pesanan kepada mereka dan masih teringin untuk menikmati kek mereka walaupun mereka sudah berhenti beroperasi.

(Sumber: @cakesbysshibli/Instagram)

Mereka menyimpan hasrat yang tinggi dalam meneruskan perniagaan tersebut pada masa akan datang.


“Pemberhentian sesuatu perniagaan itu tidak patut dilihat daripada perspektif yang negatif kerana keputusan daripada kata sepakat kami bukanlah merupakan penghujung jalan bagi kerjaya kami,


“Tidak mengapa jika kita ingin mengubah perjalanan kehidupan kita selagi mana perubahan itu membawa kepada hasil yang positif dan kini kami memilih untuk mengejar impian masing-masing,” nasihat Nasuha dan Tawfiq.


Meskipun ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapak; mereka terpaksa menerima hakikat perniagaan mereka gulung tikar atas kekangan yang dihadapi.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!