VENTURE

RISIKO BEKAS OPERATOR CEBURI BISNES DOBI

Jumaat, 1 Julai 2022
Oleh Nabila Shila

KOTA BHARU - Setelah sedekad bekerja secara makan gaji, bekas operator kilang mengambil risiko untuk menceburi bidang baharu dengan memulakan bisnes dobi yang menawarkan pelbagai perkhidmatan dengan harga berpatutan.

Edayu Nordin, 33, pekerja operator kilang sejak tahun 2010 memilih untuk membuka kedai dobinya sendiri, Ayu Laundry di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.

“Saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja di sebuah kilang kerana saya melihat peluang untuk memulakan perniagaan sendiri agak cerah dan lebih meyakinkan,” katanya semasa ditemu bual bersama Berita DIMENSi menerusi panggilan dalam aplikasi WhatsApp.

Setelah berhenti bekerja sebagai operator, Edayu menyatakan masa bekerjanya menjadi lebih fleksibel dan tidak terikat seperti di kilang dahulu.

“Sebelum ini, kalau bekerja di bawah majikan, saya perlu mengikut masa yang ditetapkan. Kalau terpaksa bekerja lebih masa, saya perlu menurut sahaja arahan majikan saya,” tambah Edayu.

Busana hari raya pelanggan yang telah siap digosok walaupun mendapat tempahan di saat akhir.

(Sumber: Berita DIMENSi/Nabila Shila)

Selain mencuci pakaian harian, Ayu Laundry turut menawarkan perkhidmatan lain seperti membasuh tilam, menggosok baju, mencuci langsir dan permaidani.

Perkhidmatan membasuh toto merupakan salah satu perkhidmatan yang popular di Ayu Laundry kerana mereka sering menerima lima hingga 10 unit untuk dicuci pada setiap hari.

Edayu turut berjaya mengeluarkan produk sabun pencuci baju sendiri di mana ia menjadi batu loncatan baginya kerana telah mendapat banyak tempahan dalam kalangan jiran sekitar rumah.

Kedai dobi Ayu Laundry beroperasi daripada pukul 9 pagi hingga 6 petang.

(Sumber: Berita DIMENSi/Nabila Shila)

Antara sebab utama bisnes Ayu Laundry semakin mendapat sambutan ramai adalah kerana pemilihan lokasi perniagaan yang strategik iaitu di kawasan perumahan yang berdekatan dengan kawasan perindustrian.

Seperti pengusaha dobi lain, Edayu juga berhadapan dengan penerimaan pelbagai jenis pakaian yang berbeza seperti seragam khas kerja.

Edayu akui dia perlu mempelajari teknik-teknik tertentu untuk mengendalikan pakaian khas seperti seragam polis atau pakaian loreng tentera.

Ini penting kerana setiap seragam tersebut perlu dikendali menggunakan peralatan yang sesuai.

Pakaian seragam juga akan dibasuh dengan menggunakan tangan bagi mengelakkan sebarang campuran warna daripada baju-baju lain.

Pelanggan boleh mendapatkan servis membasuh, menggosok dan melipat kain bermula dengan harga RM 3.50 bagi setiap satu kilogram.

(Sumber: Berita DIMENSi/Nabila Shila)

Pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) Mohd Zul Aswari, 38, pelanggan tetap Ayu Laundry, memilih untuk menghantar pakaian harian dan baju seragamnya di sini kerana perkhidmatan berkualiti yang ditawarkan.

“Saya memilih perkhidmatan Ayu Laundry kerana ia menjimatkan masa, cuciannya yang bersih dan sangat mesra pelanggan,” kata Zul semasa ditemu bual bersama Berita DIMENSi melalui aplikasi WhatsApp.

Dia menjadi pelanggan tetap Ayu Laundry disebabkan lokasi dobi yang berdekatan dengan rumahnya, jadi mudah untuk mengambil pakaian pada bila-bila masa sahaja.

Walaupun perniagaannya sudah dikenali ramai, Edayu tidak putus memuat naik info perniagaan dobi di status WhatsApp pada setiap hari bagi mempromosikan perkhidmatannya itu.

Edayu juga berharap dapat membuka dobi yang menawarkan perkhidmatan layan diri secara 24 jam supaya dapat memudahkan pelanggannya menggunakan perkhidmatan dobi di luar waktu perniagaan biasa.

Like the article? Share it now!