VENTURE

PERNIAGAAN DALAM TALIAN NORMA BAHARU

Jumaat, 13 Mei 2022
Oleh Mysara Fauzi

JOHOR BAHRU - Pengumuman yang dibuat oleh kerajaan berkenaan dengan perintah berkurung pada Mac tahun 2020 menjadikan perniagaan atas talian lebih mendapat perhatian orang ramai.

Banyak pihak yang mula berminat untuk berkecimpung dalam sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akibat daripada penularan wabak COVID-19.

Bukan itu sahaja, golongan pelajar juga turut mengambil kesempatan tersebut untuk bergiat secara aktif dalam dunia perniagaan atas talian bagi menambah pendapatan mereka.

Smash Burger JB, ‘smash burger’ dijual Azraei sejurus lepas fasa PKP diumumkan supaya dapat menyara diri

(Sumber: Berita DIMENSi/Mysara Fauzi)

Pengusaha perniagaan Smash Burger, Azraei Ahmad Faidzul, 23, berkata fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama membantu perniagaan makanan atas taliannya berkembang dengan lebih pesat.

“Disebabkan arahan perintah berkurung yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan, perniagaan atas talian seperti aplikasi Shopee menjadi pilihan orang ramai.

“Ini kerana mereka lebih gemar menggunakan perkhidmatan e-dagang disebabkan ia lebih mudah serta lebih efisien untuk mereka semasa fasa pandemik,” kata Azraei menerusi temubual bersama Berita DIMENSi melalui aplikasi WhatsApp.

Cabaran utama yang dihadapi oleh pengusaha perniagaan semasa fasa pandemik ialah masalah kekurangan pelanggan pada ketika itu. Akibatnya, banyak kedai yang terpaksa menghentikan operasi kerana hilang punca pendapatan sehingga menyebabkan mereka perlu menanggung kos kerugian yang besar.

Menurut Azraei, peniaga yang menyewa kedai fizikal perlu menukar cara perniagaan mereka dengan memfokuskan kepada perniagaan di atas talian.

“Keuntungan kasar yang saya perolehi semasa fasa pandemik berjumlah RM7,000 hingga RM10,000 sebulan lebih rendah berbanding dengan fasa endemik ini,” tambah Azraei.

Platform media sosial adalah salah satu cara Smash Burger JB untuk mempromosikan produknya

(Sumber: Berita DIMENSi/Mysara Fauzi)

Kaedahnya yang lebih mudah, efisien dan tidak perlu mengeluarkan kos yang tinggi seperti bayaran sewa kedai, kos pekerja dan lain-lain menyebabkan perniagaan atas talian sentiasa menjadi pilihan ramai.

Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), eTRADE adalah satu program yang dianjurkan untuk menggalakkan penggunaan platform e-dagang di kalangan syarikat di Malaysia.

Antara inisiatif yang ditawarkan oleh eTRADE termasuklah bantuan kewangan yang ditawarkan kepada pengusaha PKS yang layak dalam bentuk e-voucher atau bayaran balik, latihan atas talian kepada PKS yang terlibat serta khidmat nasihat dari platform e-pasaran.

Menurut sumber dari Harian Metro, kata Rizal Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan PKS Malaysia, sebanyak tiga peratus penyertaan e-dagang dalam kalangan peniaga PKS melonjak pada bulan Mac dan Oktober 2020, lebih banyak berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Pengusaha perniagaan kek batik atas talian, Aszirah Nikita, 23, menyatakan strategi pemasarannya adalah dengan mempromosikan produk jualan menerusi media sosial.

“Produk yang dijual melalui atas talian lebih berkembang disebabkan teknologi yang semakin canggih, sistem penghantaran yang lebih laju dan sistematik menjadikan pelanggan dalam talian rancak di Malaysia,” kata Aszirah menerusi temubual bersama Berita DIMENSi melalui aplikasi WhatsApp.

Pengumuman ke fasa endemik oleh pihak kerajaan pada 1 April yang lalu, mewujudkan satu peluang untuk menambah baik penggunaan platform e-dagang.

Hasil temubual bersama orang awam, mereka lebih gemar untuk membeli barang secara atas talian kerana tidak perlu bersusah payah untuk beratur membeli di kedai secara fizikal.

Salah seorang pengguna platform e-dagang, Nurul Irdina Sumali, 22, berkata, walaupun sudah beralih ke fasa endemik, dia lebih gemar untuk membeli-belah secara atas talian kerana khuatir dijangkiti wabak COVID-19.

“Selain itu sebagai seorang pelajar, e-dagang turut dapat menjimatkan wang, masa, dan tenaga saya berbanding membeli terus di kedai secara fizikal,” katanya menerusi temubual bersama Berita DIMENSi.

Walaupun sudah beralih ke fasa endemik, orang awam kini lebih cenderung menggunakan perkhidmatan di atas talian seiring dengan norma baharu yang menjanjikan manfaat kepada semua pihak.


Like the article? Share it now!