ENTERPRISE

KEUNIKAN SOSEJ KEMBOJA, CITARASA BERBEZA DARI SOSEJ BIASA

Jumaat, 10 Disember 2021
Oleh Luqman Hakim

MUAR: Sosej Kemboja atau lebih dikenali dengan nama jalanannya, Tongmo merupakan satu cita rasa unik berbanding sosej yang biasa dilihat di rak pasaran komersil.

Sosej Tongmo ini menggunakan cara yang lebih tradisional dalam teknik penghasilannya berbanding sosej ‘moden’ yang berada di pasaran.

Pengusahanya yang berketurunan Melayu Champa, Haji Razali Mohd Salleh, 64 tahun, telah mempelajari ilmu membuat makanan tersebut secara turun-temurun

“Saya sudah buka warung Tongmo yang bersebelahan Econsave Muar ini sejak lima tahun lalu,” ujar Razali.

Namun begitu, pada tahun 60-an, beliau tidak berkemampuan untuk membeli peti sejuk dan menyimpan makanan lebihan yang ada maka, lebihan daging yang ada dijadikan Tongmo.

“Untuk makluman, saya membuat sosej Kemboja ini daripada daging yang berlebihan agar ia tahan lebih lama," ujarnya.

Proses penghasilan Tongmo ini didahulukan dengan membersihkan usus lembu yang dibeli dari penjual daging dari pasar basah berdekatan untuk dijadikan ‘sausage casing’, iaitu sarung luaran yang menempatkan daging yang dikisar.


Beliau menambah, ketika membuang lemak daripada usus-usus lembu, pisau yang tajam diperlukan agar memudahkan proses pembuangan lemak.

Setelah lemak dibuang, usus itu akan diterbalikkan pula untuk membuang lendir-lendir yang melekat di dinding usus tersebut, kemudian ia direndam di dalam air garam selama satu malam.

“Selepas direndam semalaman, usus itu akan direndam di dalam air suam selama tiga hingga empat jam untuk buang sisa-sisa air garam tersebut,” ujar Razali.

Perbandingan usus lembu sebelum (kiri) dan selepas (kanan) proses pembersihan.

(Sumber: Luqman Hakim / Berita DIMENSi)

Razali berkata beliau pernah mencuba Tongmo yang menggunakan usus buatan seperti soya tetapi beliau lebih gemar menggunakan usus semula jadi kerana rasanya lebih enak serta kebersihannya juga terjamin apabila dihasilkan sendiri.

“Saya risau Tongmo yang dibuat menggunakan usus-usus buatan mampu mendatangkan mudarat kepada pelanggan-pelanggan saya,” Razali menyatakan kerisauannya ketika ditemu ramah oleh DIMENSi.

Razali memegang Sosej Tongmo menggunakan pemanggang buatan sendiri.

(Sumber: Luqman Hakim / Berita DIMENSi)

Pada waktu pagi, Razali akan mengisar daging tetel lembu untuk dijadikan Tongmo di warungnya yang bersebelahan Pasaraya Econsave Muar

Setelah daging-daging tetel tersebut dikisar, beliau akan mula menggaul daging itu bersama rempah-rempah di dalam bekas besar yang telah disediakan.

"Rempah-rempah yang saya gunakan untuk membuat Tongmo ialah lengkuas, bawang putih, garam, gula, penambah perasa dan serbuk cili,” tambah beliau.

Setelah usus-usus dibersihkan dan daging-daging pula digaul, daging tersebut akan dimasukkan ke dalam usus-usus itu dan diikat mengikut saiz jualan yang diinginkan sebelum dijemur.

Menurut Razali, cara memasak Tongmo amat mudah dan cara paling sedap untuk memasaknya ialah dengan kaedah membakar.

Sosej Kemboja atau Tongmo sedang dipanggang sebelum dijual kepada pelanggan.

(Sumber: Luqman Hakim/Berita DIMENSi)

Razali memberitahu sesetengah orang mempunyai cara makan Tongmo yang berbeza, seperti warga Thailand yang lebih gemar menambah nasi atau bubur di dalam Tongmo mereka.

“Warga Thailand lebih memilih untuk memakan Tongmo bersama nasi kerana mereka gemar akan makanan yang masam,” kata beliau.

Nasi atau bubur digaul sekali dengan daging sebelum dimasukkan ke dalam usus lembu untuk dijadikan Tongmo.

Namun begitu, dengan berbuat demikian, jangka hayat Tongmo bakal menurun.

Beliau menyatakan Tongmo yang dicampurkan dengan nasi hanya mampu bertahan selama seminggu.

Sosej Tongmo yang sudah dipanggang dan siap dihidang kepada pelanggan.

(Sumber: Luqman Hakim/ Berita DIMENSi)

Kebiasaannya Tongmo mampu tahan selama tiga bulan jika disimpan di dalam peti sejuk.

Keistimewaan Tongmo berbanding sosej komersial lain adalah Tongmo tidak menggunakan daging yang telah diproses, sebaliknya menggunakan 100 peratus daging lembu.

Beliau juga menyatakan kesedihannya apabila ramai yang masih was-was untuk membeli Tongmo kerana meragui status halal daging yang dijual.

“Ada sesetengah pelanggan yang bertanya kepada saya jika sosej yang saya jual ini mempunyai halal yang sah meskipun pakaian saya sudah cukup untuk menunjukkan bahawa saya beragama Islam,” ujar Razali.

Syaza Nabila, salah seorang pelanggan warung Tongmo, berkata sosej Kemboja memberi kelainan dari segi tekstur dagingnya yang kurang diproses berbanding sosej komersial. Dagingnya juga lebih berempah.

“Saya lebih gemar sosej kemboja atau tongmo ini kerana rasanya yang lebih asli dan isinya yang lebih mampat,” katanya

Akhir kata, Razali berharap orang ramai khususnya masyarakat Malaysia akan mengambil peluang untuk membeli jualan sosej Kemboja atau Tongmo beliau di Muar ini.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!