VENTURE

KERJAYA JURUSOLEK DAPAT MEMBUKA PELUANG PERNIAGAAN

Jumaat, 20 Mei 2022
Oleh Khaleeda Jamal

SHAH ALAM – Ramai menganggap bahawa pekerjaan sebagai jurusolek hanya sekadar minat dan suka-suka.

Kini, ramai yang mengambil peluang menjadikan kerjaya ini sebagai suatu lubuk perniagaan yang mampu mengembangkan lagi sektor ekonomi.

Kerjaya jurusolek atau lebih popular dikenali sebagai ‘MUA’ singkatan daripada Makeup Artist termasuk dalam perniagaan yang menawarkan perkhidmatan solekan seperti solekan kesan khas dan juga solekan untuk majlis-majlis istimewa.

kerjaya jurusolek bukan sahaja dalam kalangan kaum wanita, malah kaum lelaki juga terlibat dalam kerjaya ini.

(Sumber: Kapsul BHTV)

Kerjaya jurusolek dilihat semakin berjaya melebarkan sayap dalam pasaran industri kreatif yang kini telah pun dipelopori oleh pelbagai golongan daripada pelajar ke suri rumah sehinggalah yang sudahpun mempunyai jawatan hakiki tanpa mengira jantina.

Pastinya kerjaya ini dapat mengaut keuntungan yang berikutan pengalaman, kemahiran dan banyak lagi faktor yang dapat membezakan caj perkhidmatan dikenakan mengikut jurusolek itu sendiri.

Bijak dan kreatif menggunakan platform di media sosial dalam membuat video solekan sehingga mempunyai pengikut sendiri menjadikan pengasas-pengasas produk kosmetik tertarik untuk menaja bagi mempromosikan produk mereka.

Usahawan produk kosmetik tempatan mahupun antarabangsa melihat jurusolek yang aktif di media sosial ini sebagai peluang keemasan yang boleh dimanfaatkan untuk meluaskan lagi pasaran produk dalam target prospek mereka.

Zainab Rahim, 21, jurusolek separuh masa, mengakui kini ramai jurusolek yang bermula dengan perkhidmatan solekan mulai mengorak langkah mengambil peluang menjadi usahawan kosmetik keluaran sendiri seperti MuaBellaz yang berjaya membuat keuntungan tinggi.

“Buktinya, Dato’ Alha Alfa, jurusolek selebriti terkenal yang kini telah bergelar usahawan bagi produk Alha Alfa Cosmetics secara tidak langsung dapat menolong orang lain untuk memulakan perniagaan dengan menjadi ejen jualan produknya,” kata Zainab menerusi temubual bersama Berita DIMENSi melalui Google Meet.

Bagi yang sudah lama berkecimpung dalam dunia solekan, sesetengah jurusolek akan membuat kelas secara bersemuka atau dalam talian untuk memberi tunjuk ajar berkaitan teknik solekan yang betul dengan kadar bayaran tertentu.

Bengkel bersama MUA akan diadakan oleh jurusolek dalam berkongsi ilmu solekan.

(Sumber: Facebook)

Yuran yang dikenakan boleh mencecah sehingga ribuan ringgit jika kelas tersebut dianjurkan oleh seorang jurusolek profesional yang mempunyai nama dalam industri ini.

Kerjaya ini mempunyai skop yang luas dan tidak terhad kepada solekan sahaja dan ditambah lagi dengan adanya rangkaian lain dalam tawaran pekerjaan.

Ekoran daripada itu, semasa sesi solekan bersama pelanggan, jurusolek juga boleh menyiapkan pelanggan dengan memakaikan busana atau mendandan rambut mereka.

Perkara sebegini boleh mendatangkan pendapatan dengan mengenakan caj tambahan kerana melibatkan tenaga dan kreativiti.

Arisya Shakir, 21, jurusolek separuh masa, hijab-styling dan juga pekerja butik pengantin milik keluarganya, menyatakan bekerja sebagai jurusolek mendatangkan pulangan yang lumayan walaupun hanya bekerja separuh masa.

Walaupun masih dalam usia yang muda, beliau bijak merebut peluang dengan menyelitkan sekali perkhidmatan hijab-styling dan mengemaskan busana pelanggan setiap kali selesai solekan.

“Permintaan untuk perkhidmatan jurusolek ini tidak pernah berhenti kerana kita akan sentiasa dikelilingi dengan majlis perkahwinan dan majlis lain yang memerlukan khidmat ini jadi kita perlu pandai mengambil peluang bagi membina nama dan kepercayaan daripada pelanggan,” katanya dalam temubual bersama Berita DIMENSi melalui Google Meet.

Jurusolek akan memastikan hasil solekan yang telah dibuat sentiasa menepati permintaan pelanggannya.

(Sumber: Berita DIMENSi/Khaleeda Jamal)

Sudah terbukti bahawa bidang kerjaya ini mampu mengubah kehidupan seseorang serta berjaya mengembangkan lagi industri kreatif setanding dengan kerjaya-kerjaya lain di Malaysia. Jurusolek bukan lagi sekadar mencari duit poket sahaja.

Like the article? Share it now!