VENTURE

JELI 3D BAGAIKAN LUKISAN

Isnin, 12 Disember 2022
Oleh Amiesha Abadi

Agar-agar tiga dimensi (3D) kini menjadi trend di Malaysia dan menarik minat ramai penggemar manisan mulut.

Dihasilkan dengan bentuk yang menarik dan dengan cara kreatif, membuatkan ramai teruja untuk mencuba setelah ia tular di media sosial.

Menurut Nur Aimi Razak, 30, pengasas Jelly Blooms di Bayan Lepas, Pulau Pinang sejak 2016, penghasilan yang sangat unik dianggap satu hasil seni yang memerlukan kemahiran yang teliti untuk dibuat. 

Beliau mempunyai minat yang tinggi terhadap penciptaan jeli 3D selepas mengambil bahagian dalam kursus komuniti kendalian Jabatan Pembangunan Masyarakat (KEMAS).

Aimi menghabiskan masa lima tahun bekerja dalam industri perbankan sebelum memutuskan untuk fokus pada perniagaannya secara sepenuh masa.

(Sumber: Nur Aimi Razak)

"Pada mulanya, saya hanya sekadar mencuba untuk menghasilkan jeli 3D tetapi apabila tempahan mula masuk, saya merasakan tidak rugi untuk diteruskan. 

“Dulu, saya hanya menjual serunding dan dodol sahaja namun kurang mendapat sambutan sebab ianya perniagaan bermusim namun sekarang perniagaan jeli 3D ialah punca utama pendapatan saya,” kata  graduan jurusan Perbankan Islam itu.

Antara reka bentuk jeli 3D yang dikongsi.

(Sumber:  Instagram @ar_jellyblooms.)

Tiga bahan utama ialah gula, serbuk jeli, dan air. Perbezaan antara jeli 3D dan jeli yang lain adalah tahap lut sinar (transparent).

Dibuat menggunakan pewarna asli dan serbuk rumpai laut, setiap bahagian dibuat secara terbalik dan proses boleh mengambil masa yang lama jika reka bentuknya rumit untuk dihasilkan.

Sebelum ini, Aimi menerangkan beliau mengambil masa hampir satu jam untuk siapkan loyang bersaiz enam inci tetapi sekarang ia hanya mengambil masa 10 hingga 15 minit.

Menggunakan alat khusus dan teknik suntikan, bunga dibuat kelopak demi kelopak dengan kesabaran dan kreativiti.

Setiap jeli mempunyai corak yang cantik dan rasa yang sejuk serta menyegarkan. Laici,  mawar dan pic adalah antara perisa jeli 3D yang ditawarkan.

Jelly Blooms menggunakan platform TikTok untuk mempromosi jualan.

 (Sumber: Nur Aimi Razak)

“Saya hanya mengiklankan perniagaan saya di Facebook dan Instagram, tetapi selepas saya menyiarkan video di TikTok, saya kerap menerima pesanan dari video saya yang ditonton berjuta orang,” katanya. 

Salah satu posting Aimi di TikTok tela menerima lebih 3.5 juta tontonan dan 191 ribu tanda suka (likes) dan dihujani hampir 6 ribu komen yang rata-ratanya kagum dengan ciptaannya. 

"Sehari, saya boleh katakan 500 notifikasi Whatsapp yang masuk sehingga saya tidak menang tangan untuk respon, ada juga pelanggan dari negara seberang yang ingin membuat tempahan selepas melihat video saya masuk di halaman ‘For You Page’ (FYP) TikTok.

“Walau bagaimanapun, saya tidak dapat menerima tempahan daripada luar kerana kebimbangan saya bahawa kualiti agar-agar akan terjejas semasa penghantaran,” ulasnya lanjut.

Kebiasaannya, pelanggan membuat tempahan untuk dijadikan sebagai hantaran perkahwinan, majlis hari jadi dan majlis persaraan.

“Dulu untuk setiap acara atau majlis orang akan membeli kek, sekarang mereka berminat dengan jeli 3D pula,” katanya.

Pelajar kelas Jelly Blooms oleh Aimi Razak sedang menyuntik jeli 3D ke dalam acuan.

(Sumber: Nur Aimi Razak)

Menurutnya, saiz paling kecil ialah dua hingga tiga inci yang berharga RM8, manakala saiz terbesar yang beliau pernah hasilkan ialah 14 inci yang berharga RM60 atau lebih. 

Sekiranya reka bentuk yang diminta oleh pelanggan sukar untuk dibuat, Aimi akan mengenakan bayaran tambahan.

“Saya seronok menerima tempahan reka bentuk daripada pelanggan sendiri kerana ia membantu dalam mengasah kemahiran saya,” jelasnya.

Kini Aimi yang telah berpengalaman enam tahun dalam perniagaan ini, menawarkan kelas untuk mereka yang berminat untuk mempelajari menghasilkan jeli 3D.

Like the article? Share it now!