VENTURE

HALAL MART: KEDAI RUNCIT BERKONSEPKAN PATUH SYARIAH

Rabu, 27 April 2022
Oleh Nurin Zaidi

RAWANG - Konsep sebuah Halal Mart, Dr. Zainol Halal Mart Rawang, adalah mewujudkan kedai runcit terbaik yang dipercayai orang ramai dengan memasarkan produk halal dan toyyiban.

Dr. Zainol Halal Mart Rawang yang dimiliki oleh Amera Ahmad, 49, merupakan salah sebuah Halal Mart yang terletak di Selangor.

Dr. Zainol Halal Mart Rawang yang dimiliki oleh Amera Ahmad.

(Sumber: Berita DIMENSi/Nurin Zaidi)

Halal Mart merupakan inisiatif yang diwujudkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk membantu pengusaha pasaran halal dengan menyediakan kemudahan sambil turut membantu usahawan Muslim dalam mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran yang lebih besar.

MARA menyediakan program ini bertujuan untuk membolehkan perniagaan bumiputera bersaing dengan kedai peruncitan yang lain di samping dapat mengukuhkan lagi usahawan bumiputera dalam pasaran.

Objektif MARA adalah untuk mencari barangan yang berpotensi untuk dikeluarkan dengan pensijilan standard bagi peningkatan kualiti produk salah satunya adalah status halal pada barang keluaran.

Status halal di Malaysia telah diterima dengan mudah oleh pengguna yang mengambil berat tentang keselamatan makanan dan gaya hidup sihat kerana status halal ini ibarat penanda aras untuk keselamatan, jaminan kualiti, dan pelbagai faedah lain yang membantu pengguna Muslim.

Menyedari tentang kepentingan ini, pemilik syarikat kecil ini menggunakan status halal untuk menawarkan pelbagai pilihan bagi penduduk sekitar dengan membangunkan Halal Mart.

Bagi Amera yang memulakan perniagaannya dengan mempromosikan produk sejuk beku kepada rakan-rakan dan jiran tetangga, beliau sedar akan betapa pentingnya status halal bukan sahaja pada makanan tetapi turut pada barangan keperluan.

Kesedaran beliau untuk memilih makanan yang halal dan baik (toyyib) bermula setelah mempelajari tuntutan dalam memilih makanan bagi orang Islam.

“Atas kesedaran ini terpanggil untuk memulakan perniagaan Halal Mart apabila didapati sukarnya untuk mendapatkan produk halal Muslim sejak berpindah ke Rawang,” kata Amera menerusi temubual Berita DIMENSi melalui aplikasi WhatsApp.

Menurut Amera lagi, Dr. Zainol Halal Mart Rawang menawarkan pelbagai produk makanan kering, sejuk beku dan barangan kegunaan harian. Beliau ingin mewujudkan one stop centre supaya pelanggan dapat membeli pelbagai keperluan di bawah satu bumbung.

Dr. Zainol Halal Mart Rawang yang menawarkan pelbagai pilihan produk untuk para pembeli.

(Sumber: Berita DIMENSi/Nurin Zaidi)

Jualan di Dr. Zainol Halal Mart Rawang rata-ratanya merupakan produk halal Muslim yang diperoleh terutamanya daripada perniagaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Misi kedai tersebut adalah untuk membantu usahawan IKS bumiputera Islam memasar dan meluaskan pasaran sekaligus memenuhi objektif lain MARA iaitu membantu pengeluar produk.

Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) khususnya, dalam memasarkan produk mereka dan menyumbang kepada peningkatan peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bagi Mazlina Mohd, 54, seorang pelanggan tetap Dr. Zainol Halal Mart Rawang, beliau lebih gemar berbelanja di Halal Mart berbanding kedai runcit yang lain kerana ia menjual semua barang yang beliau perlukan.

“Tiada timbulnya perasaan ragu-ragu dalam membeli barangan di Halal Mart ini kerana semua produknya diyakini halal,” tambah Mazlina lagi.

Beliau juga berpendapat bahawa ia menepati konsep halal yang dinyatakan kerana selain daripada produk keluaran Halal Mart ini adalah produk keluaran usahawan bumiputera Muslim, ia juga turut mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Seorang pelanggan sedang membuat pembayaran di Dr. Zainol Halal Mart Rawang.

(Sumber: Berita DIMENSi/Nurin Zaidi)

Cita-cita setiap pengusaha kecil pastinya mahu mengembangkan lagi perniagaan mereka, begitu juga dengan Amera yang berusaha menjadikan Dr. Zainol Halal Mart Rawang sebuah kedai runcit yang memberi keselesaan kepada pelanggannya.

“Perancangan kami adalah untuk meningkatkan lagi kualiti perniagaan dengan menambah stok barangan dan menambah baik keselesaan kedai supaya pelanggan selesa dan teruja ketika membeli-belah,” ujar pemilik kedai tersebut.

Amera sebagai pemilik Dr. Zainol Halal Mart Rawang ini berharap agar dapat bergabung dengan peruncit Muslim yang lain agar pembelian dapat dibeli secara pukal dan kos dapat diturunkan.

Bukan itu sahaja, beliau juga berharap agar pembeli dapat menikmati harga yang jauh lebih rendah serta berdaya saing apabila membuat pembelian di Halal Mart.

Like the article? Share it now!