VENTURE

FASA ENDEMIK MENYELAMATKAN SEKTOR PERHOTELAN

Rabu, 25 Mei 2022
Oleh Nurul Irdina

Pemandangan di sekitar Hotel Thistle, Johor Bahru.

(Sumber: The Star)

SEPANG - Pengumuman yang dibuat oleh pihak kerajaan mengenai peralihan ke fasa endemik ternyata memberi nafas baru terutamanya kepada penggiat sektor perhotelan di Malaysia.

Setelah lebih dua tahun bergelut dalam kesukaran berikutan pandemik COVID-19, akhirnya pihak kerajaan memutuskan untuk membuka sepenuhnya sektor pelancongan.

Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 1 April yang lalu disambut baik oleh semua rakyat Malaysia terutamanya yang terlibat dalam sektor pelancongan dan perhotelan.

Pandemik COVID-19 yang berlaku di penghujung 2019, sememangnya banyak memberi kesan negatif, terutamanya kepada sektor pelancongan.

Dengan pembukaan semula sempadan negara, ekonomi negara Malaysia dapat berkembang pesat dan langkah ini berupaya menghidupkan lagi sektor pelancongan.

Pegawai eksekutif pemasaran Hotel Thistle, Fatimahtul Zaharah Md Noh, 50, berkata berita yang disampaikan oleh pihak kerajaan sangat mengujakan dan membawa satu kelegaan kepada mereka.

“Semasa era pandemik, pihak hotel terpaksa mengehadkan bilangan pelanggan dan harus mewajibkan pekerja untuk mengambil cuti tanpa gaji,” kata Zaharah dalam temubual bersama Berita DIMENSi melalui WhatsApp.

Cabaran utama yang perlu ditempuhi kebanyakan penggiat sektor perhotelan adalah untuk mengekalkan jumlah penghuni sebanyak 50%, bagi memastikan sektor perhotelan dapat kekal beroperasi.

Perkara ini sangat sukar untuk dilakukan lebih-lebih lagi dengan Standard Operating Procedure (SOP) yang sering saja berubah dalam memutuskan rangkaian COVID-19.

Menurut Zaharah, Hotel Thistle telah melakukan pelbagai inisiatif bagi menarik minat pelancong dengan menawarkan pelbagai tawaran menarik.

“Untuk hotel Thistle, kami menawarkan promosi untuk 'hi-tea' dan juga 'lunch buffet' buat para pelanggan,” tambah Zaharah.

Selain itu, pihak hotel Thistle turut menawarkan promosi bilik “executive deluxe” dengan harga yang jauh lebih murah demi menarik minat pelanggan.

Orang ramai sedang beratur untuk membuat tempahan bilik.

(Sumber: Berita DIMENSi)

Usaha yang dilakukan ini adalah demi meneruskan kelangsungan dan menyelamatkan industri perhotelan daripada berdepan dengan isu muflis.

Penasihat hotel Langit-langi, Khoo Yee Hui, 39, berkata mereka menawarkan potongan harga kepada pelancong yang telah lengkap dua dos vaksinasi.

“Kami juga terpaksa membuat pinjaman bersama dengan syarikat bersekutu untuk terus kekal dalam industri perhotelan semasa di fasa pandemik,” tambah Khoo Yee Hui dalam temuramah bersama Berita DIMENSi melalui e-mel.

Kebanyakan hotel mula melakukan promosi secara besar-besaran setelah pengumuman peralihan ke fasa endemik diadakan.

Bukan itu sahaja, orang ramai juga mula merancang percutian bersama keluarga tercinta dan merebut segala promosi yang ditawarkan.

Pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UMS), Fatin Nabila Mukhtar, 22, berkata mereka sekeluarga berasa sangat teruja untuk bercuti setelah sekian lama tidak menjejakkan kaki ke pusat pelancongan.

Sememangnya inisiatif yang ditawarkan oleh pihak kerajaan dan juga syarikat-syarikat perhotelan membawa banyak manfaat kepada rakyat, terutama kepada sesiapa yang gemar melancong.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, wabak COVID-19 banyak memberi impak kepada prestasi pelancongan negara dan turut menyebabkan defisit sebanyak 65% semasa tahun 2020 lagi.

Peralihan ke fasa endemik ini nyata menghidupkan semula sektor perhotelan untuk beroperasi seperti biasa dan dapat meningkatkan lagi ekonomi dalam negara dengan lebih aktif dan progresif.

Like the article? Share it now!