VENTURE

EKONOMI BAHARU: PERNIAGAAN RUNCIT DALAM TALIAN

Isnin, 6 Jun 2022
Oleh Afizul Haziq

SHAH ALAM - Perniagaan runcit yang berlandaskan penjualan produk seperti barang kegunaan harian dengan harga mampu milik dan pembukaan premis perniagaan di sekitar kawasan penempatan utama sudah menjadi satu sinonim bagi masyarakat Malaysia.

Bentuk perniagaaan ini kebanyakannya masih terikat dengan kaedah perniagaan lama iaitu keperluan untuk memiliki sebuah premis atau menyewa kedai bagi menempatkan barang jualan yang ingin ditawarkan kepada penduduk.

Situasi ini tidak berlaku kepada Toyyib Mart, sebuah perniagaan runcit yang dibina dengan model jualan dalam talian dari awal penubuhannya.

Mohamad Shafiq Jookaplee, 24, pengasas Toyyib Mart berkata dia mula meminati bidang perniagaan runcit ini setelah meneliti perkembangan dan kejayaan pasar raya runcit utama di Malaysia sekaligus menyedari terdapat kekosongan yang boleh dieksploitasikan dari model perniagaan tersebut.

Shafiq Jookaplee, pengusaha Toyyib Mart, sebuah perniagaan runcit dalam talian yang mengutamakan produk halal bagi para pelanggannya.

(Sumber: Instagram)

“Saya mula meminati perniagaan dan menubuhkan Toyyib Mart selepas melihat kejayaan pasar raya besar seperti G2 Super Mart dan KK Mart. Apabila menyedari model pasaran tersebut tidak tertumpu kepada produk halal dan dalam talian, ia mencetuskan idea untuk saya memulakan perniagaan pasaran runcit dalam talian ini.

“Pada awalnya saya bercadang membuka kedai secara fizikal juga tapi selepas perbincangan bersama keluarga, kami buat keputusan untuk cuba menceburi perniagaan runcit ini secara dalam talian,” katanya ketika ditemu bual oleh Berita DIMENSi melalui WhatsApp.

Jelasnya lagi, perbezaan ketara di antara pasaran runcit fizikal dan dalam talian adalah dari segi kewangan.

“Perbezaan di antara pasaran runcit fizikal dan dalam talian ini lebih tertumpu dari segi kos, contohnya, bagi saya, urusniaga pasaran fizikal adalah meletihkan apabila saya perlu membuka kedai, mengurus dan menghantar pesanan kepada pelanggan.

“Selepas menutup kedai sebelum ini di Saujana Putra, saya kini memfokuskan perniagaan sepenuhnya secara dalam talian yang banyak melibatkan urusan penghantaran pesanan kerana saya mempunyai pekerja yang menguruskan pesanan tersebut dari laman web dan WhatsApp. Kos juga menjadi lebih rendah apabila saya tidak perlu membayar sewa kedai secara bulanan dan ini menjadikan keuntungan secara purata lebih tinggi,” katanya.

Membeli secara dalam talian membantu masyarakat untuk menjadi lebih produktif dengan pengasingan kerja yang lebih berkesan.

(Sumber: Berita DIMENSi/Afizul Haziq)

Shafiq juga berkata bahawa seni reka laman web memainkan peranan yang amat penting dalam menjayakan model perniagaan runcit dalam talian yang diusahakannya.

“Fokus utama dalam rekaan web kami adalah lebih kepada gambar dan senarai produk yang dipamerkan supaya para pelanggan dapat membeli barangan dari laman web perniagaan kami dengan mudah dan pantas.

“Disebabkan sebahagian besar dari pelanggan kami adalah warga emas, kami cuba untuk memastikan laman web kami bersifat mesra pengguna dengan reka bentuk yang ringkas tanpa jumlah pautan yang terlalu banyak,” tambahnya lagi.

Amin Qayyum, 24, salah seorang pelanggan tetap Toyyib Mart berkata membeli barangan runcit secara dalam talian memberikan banyak faedah buat dirinya.

“Saya merasakan perniagaan runcit dalam talian ini amat selesa, mudah serta menjimatkan masa dan tenaga untuk keluar membeli barangan tersebut. Saya juga dapat menumpukan masa saya yang selebihnya untuk tugasan lain,” katanya ketika ditemu bual oleh Berita DIMENSi melalui WhatsApp.

Amin juga mengakui bahawa nilai harga barangan yang dibeli secara dalam talian mempunyai perbezaaan yang ketara meskipun kualiti barangannya sama seperti pembelian di kedai fizikal.

Tambahnya lagi, terdapat sedikit peningkatan dari segi harga jika dibandingkan dengan pembelian barangan tersebut secara fizikal manakala dari segi kualiti barangan pula, tiada sebarang perbezaan ketara di antara kedua-dua produk dari model perniagaan tersebut.

Walaupun terdapat banyak perbezaan dari segi kemahuan dan pilihan masyarakat dalam kaedah pembelian barangan runcit harian mereka, Shafiq berhasrat agar model perniagaan secara dalam talian miliknya akan berjaya seperti perniagaan lain pada masa akan datang.

Like the article? Share it now!