VENTURE

DAGING HARIMAU MENANGIS MENJADI KEGILAAN

Jumaat, 10 Jun 2022
Oleh Diyana Syazuani

Daging harimau menangis, menu istimewa yang berasal dari negara Gajah Putih, Thailand kian menjadi tarikan buat para peniaga tempatan untuk memasarkan hidangan ini sebagai sumber pendapatan.

Daging harimau menangis ini dinamakan bersempena salah satu bahagian daging lembu yang dikenali sebagai ‘harimau menangis’, atau nama lainya daging batang pinang oleh masyarakat tempatan.

Hidangan lengkap daging harimau menangis keluaran Hany Thai Kitchen.

(Sumber: Berita DIMENSi)

Bahagian daging ini berasal daripada bahagian bawah rusuk hingga ke bahagian sisi filet luar ini merupakan daging yang bermutu tinggi dan digemari ramai kerana teksturnya yang empuk, kurang lemak dan sangat sesuai untuk pelbagai masakan.

Penjual daging harimau menangis, Sharifah Nur Huda Syed Muzaffa, 22, lebih dikenali sebagai Fafah menyatakan, dia mula menjual daging harimau menangis bermula dari Ogos 2021.

Antara sebab gadis ini memilih untuk menjual makanan ini kerana mendapat permintaan yang tinggi dan berterusan daripada pelanggan.

Daging harimau menangis keluaran daripada Hany Thai Kitchen ini dijual dalam kuantiti berat bersih 350 gram pada harga yang berpatutan iaitu RM 28 bagi Semenanjung Malaysia.

Meskipun harga jualan daging tersebut agak mahal berbanding bahagian daging yang lain, ia menjadi pilihan para ibu dan suri rumah untuk menambah pendapatan sampingan.

Maklumat lengkap paket daging harimau menangis Hany Thai Kitchen.

(Sumber: Berita DIMENSi)

Daging yang sudah diperap dengan perapan istimewa dijual secara sejuk beku, bagi memastikan kualiti terjaga dan pelanggan dapat menikmati daging harimau menangis yang lazat bersama keluarga.

“Daging ini amat mudah disediakan kerana hanya panaskan kuali, sapukan sedikit minyak dan sedia dinikmati dalam masa 10-15 minit,” kongsi Fafah dalam temubual Berita Dimensi melalui panggilan telefon.

Daging harimau menangis dimasak segar untuk dihidang.

(Sumber : Berita DIMENSi)

Fafah yang menjual daging ini secara dalam talian akan memastikan pelanggan mendapat daging yang telah siap di paket melalui servis rumah ke rumah, dimana daging akan dihantar sehingga ke rumah pelanggan mengikut kuantiti yang ditempah.

Bagi pelanggan yang jauh pula, terdapat ejen lain yang akan mengambil pesanan tersebut untuk urusan jualan dan penghantaran. Daging ini tidak dijual secara pengeposan bagi menjaga kualiti dan mengelakkan berlakunya sebarang kerosakan.

Bagi Fafah, keputusan yang diambil untuk mencuba nasib dengan memulakan penjualan daging harimau menangis ini, berbaloi kerana terbukti dapat membuahkan hasil dengan keuntungan tinggi yang akhirnya dapat menambah pendapatan keluarga.

Penggemar daging harimau menangis, Mahani Ahmad, 53, tidak ketinggalan berkongsi maklum balas positif akan keunikan daging ini.

“Gabungan rasa yang unik, pedas, berempah dan sos pencicah yang membuka selera, pek daging harimau ini sesuai dijadikan hadiah atau buah tangan kerana mempunyai kelainan yang tersendiri,” ujarnya dalam temubual bersama Berita DIMENSi melalui panggilan telefon.

Mahani juga berkata, kaedah penghantaran menggunakan Lalamove sangat memuaskan di mana pek daging diletakkan dalam beg sejuk beku bagi memastikan kesegaran daging terjamin dan akan membuatkan ramai pelanggan berasa lebih yakin untuk membelinya.

Like the article? Share it now!