Kesihatan

VAPING JEJAS KESIHATAN PARU-PARU

Khamis, 10 November 2022
Oleh Syazwani Jamil

Rokok elektronik, atau lebih dikenali sebagai vape, boleh meningkatkan risiko kecederaan paru-paru kerana ia mempunyai kesan yang sama seperti produk tembakau lain.


Pakar keluarga di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Amirul Amzar berkata, pesakit yang mempunyai masalah paru-paru disebabkan oleh rokok elektronik ini menghidap penyakit akut iaitu bersifat sementara dan bukannya penyakit kronik. 

Pakar keluarga Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Amirul Amzar

(Sumber : facebook Dr Amirul Amzar)

“Meskipun tiada jangkaan masa berapa lama pengguna rokok elektronik ini boleh diserang penyakit EVALI, namun pengguna boleh mengenal pasti simptom yang boleh dialami seperti sesak nafas, batuk, kahak berdarah dan sakit dada,” jelas Amirul.  

Statistik pesakit disebabkan EVALI.

(Sumber : Centers for Disease Control and Prevention)

Kecederaan paru-paru akibat penggunaan rokok elektronik atau nama saintifiknya, EVALI merupakan penyakit yang telah meragut 68 nyawa daripada hampir 3,000 kes di negara barat.

Tambah Amirul lagi, penyakit EVALI ini boleh dirawat, tetapi ada kemungkinan ia akan meninggalkan kesan parut dan kerosakan kekal pada fungsi paru-paru.

Di Malaysia, beliau sendiri pernah berjumpa dengan pesakit EVALI yang baru dikeluarkan wad selepas paru-parunya dipotong akibat penggunaan rokok elektronik. 

Penyakit EVALI – Kecederaan paru-paru disebabkan ‘vaping’.

(Sumber:  Centers for Disease Control and Prevention)

“Dua bahan yang sering terdapat di dalam cecair vape yang memberi kesan buruk adalah propilena glikol dan gliserin sayuran yang diguna untuk pengewapan. Bahan-bahan ini kerap digunakan di dalam makanan, tetapi selepas dipanaskan dan dihadam, ia bertukar menjadi formaldehid, yang berpotensi menyebabkan kanser.

"Selain itu, cecair rokok elektronik juga mempunyai kandungan nikotin yang berbeza kerana pengguna boleh memilih jumlah peratusan nikotin yang dikehendaki. Ini adalah senjata utama yang menyebabkan ketagihan yang tidak jauh beza dengan rokok biasa," katanya.

Pemanas gegelung di dalam peranti rokok elektronik yang diperbuat daripada logam berat itu juga boleh merosakkan paru-paru pengguna melalui proses pengewapan dan pemanasan.

Pesakit EVALI boleh dirawat, tetapi ada kemungkinan parut dan kerosakan pada fungsi paru-paru akan kekal. Tiada had masa berapa lama seseorang yang menghisap vape boleh diserang penyakit ini.

Jenis-jenis vape.

(Sumber: Blog Innokin)

Menurut seorang pengguna tegar rokok elektronik dan rokok Khairul Aswad, 41, mengakui pernafasannya terasa lebih ringan dan mudah sebaik sahaja berhenti menjadi pengguna tembakau.

Khairul Aswad, bekas perokok tegar.

Sebelum ini, Khairul menghabiskan dua kotak rokok dalam sehari, malah dia juga menggunakan rokok elektronik.

Khairul juga menambah, dia mula menggunakan rokok elektronik kerana ingin mencubanya. Selepas membaca lebih lanjut mengenai bahaya merokok, Khairul membuat keputusan mengejut untuk berhenti merokok serta-merta. 

Cara-cara untuk berhenti vape adalah sama seperti merokok. Layari laman web jomquit.com dan memuat turun aplikasi GEMPAQ untuk pemantauan, serta kunjungi klinik kesihatan untuk perkhidmatan berhenti merokok.

Like the article? Share it now!