UTOPIA
TIGA KOMPUTER RIBA BAJET TERBAIK UNTUK PELAJAR
Komputer riba menjadi peranti yang penting khususnya kepada pelajar.
(Sumber: Soya Cincau)
SHAH ALAM - Komputer riba merupakan gajet penting untuk melanjutkan pelajaran khususnya di peringkat pengajian tinggi, kini dengan bajet kurang dari RM 2,500 pelajar boleh membeli komputer riba.
Kos yang diperlukan untuk memiliki komputer riba canggih dan moden agak tinggi untuk golongan berpendapatan rendah (B40). Namun kerisauan semakin berkurangan setelah harga pasaran kini semakin rendah.
Selain jenama semata, spesifikasi komputer itu sendiri perlu dititikberatkan untuk mendapatkan komputer riba berkualiti.
Pelbagai jenis komputer riba di pasaran berharga kurang daripada RM 2,500 tetapi mempunyai spesifikasi setaraf komputer riba mahal. Antara komputer bajet sesuai untuk pelajar ialah:
Pelajar menggunakan komputer riba untuk menyiapkan tugasan pembelajaran mereka.
(Sumber: Berita DIMENSi/Nisaa Iryanie)
1) Acer Aspire 3
Menurut Muhammad Kamarol, 28, pemilik perniagaan MKA Technologies Laptop/PC Specialist mengesyorkan komputer seperti Acer Aspire 3 berharga RM 2,199.00 yang mempunyai Pro Intel ® Core i3, sesuai buat pelajar membuat tugasan kuliah yang ringan sahaja seperti pembentangan dan penulisan dokumen.
“Jika ada penurunan harga semasa komputer riba, maka boleh juga mendapat Intel Core i5 atau AMD RYZEN 5,” kata Muhammad dalam temu ramah bersama Berita DIMENSi.
Menurutnya lagi, apa- apa sahaja harga pembelian komputer riba sendiri perlu dijaga. Komputer tiba juga perlu dihantar servis membuang habuk.
Servis format semula perlu supaya Windows sentiasa berada dalam keadaan baik untuk jangka masa panjang.
Acer Aspire 3 memiliki storan penyimpanan sebanyak 256GB, bersesuaian untuk pelajar yang memerlukan ruang penyimpanan agak besar serta mempunyai 15.6 inci – saiz yang besar dan selesa untuk melakukan kerja-kerja melibatkan visual.
2) Huawei Matebook
Huawei MateBook D15 2021 mempunyai skrin yang berkeluasan hampir 87 peratus dan mempunyai berat 1.53 kg serta mudah dibawa bersama.
Permulaan harga peranti ini dari RM 2,099.00 dengan intel i3 dengan 8GB Random Access Memory (RAM) dan 256GB storan sehingga RM 3,399.00 untuk intel i5 bersama 16 GB dan 512 GB.
Huawei Matebook mempunyai kelebihan untuk bersambung dengan telefon pintar Huawei dan menjadi satu peranti walaupun tanpa penggunaan internet.
Komputer riba ini mempunyai pengesahan cap jari khas untuk keselamatan pengguna dan menggunakan 65W USB-C pengecas kecil, muat didalam poket disamping mampu mengecas dengan pantas.
DELL Inspiron yang sesuai untuk kegunaan pelajar.
(Sumber: Notebook Plaza)
3) DELL Inspiron 15
Rekomendasi yang seterusnya ialah DELL Inspiron 15 mempunyai prosesor AMD Ryzen™ 5 3500U dan 8GB (RAM) dan storan 512GB.
Prosesor ini sesuai untuk suntingan multimedia dan permainan video kasual. Meskipun berada lingkungan harga murah, storan dikeluarkan oleh DELL ini amat berbaloi bagi kegunaan pelajar.
Menurut Muhammad, dia sering mengesyorkan HP dan DELL kepada pelanggan kerana jarang mengalami masalah papan induk.
“Pelajar kebiasaan menghantar servis komputer riba mereka untuk membuat penambahbaikkan supaya menjadi laju dan lancar,” katanya kepada Berita Dimensi.
“Penukaran hardisk komputer riba dari Hard Disk Drives (HDDs) kepada Solid State Drives (SSDs) akan membuatkan peranti tersebut menjadi lima hingga lapan kali lebih laju,” tambahnya lagi.
Terdapat juga jenama besar yang memberikan diskaun untuk pelajar, antaranya ialah Lenovo. Harga semasa promosi adalah berbaloi serta mampu milik kepada pelajar yang baru untuk memulakan pembelajaran mereka.
Lenovo menawarkan potongan harga sehingga 24 peratus mengikut jenis komputer riba yang ditawarkan dan pelajar mampu memberi penjimatan lebih RM 1,000 hanya dengan pembelian sebuah komputer riba.
Laman web Lenovo back to school menyediakan promosi untuk pelajar
(Sumber: Lenovo)
Mahasiswi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Nur Farah Wahida Abd. Manan, 22, berpendapat bahawa pengeluaran wang melebihi RM 3,000 untuk sebuah komputer riba adalah wajar bagi yang berkemampuan.
“Komputer riba yang dibeli tersebut akan digunakan sepanjang pengajian berlangsung. Selain itu dengan purata harga tersebut, pelajar dapat membuat pilihan,” kata Farah kepada Berita DIMENSi.
Manakala Nur Anisah Farhan Sulaiman 22, berkata komputer riba yang berharga melebihi RM2,500 mempunyai spesifikasi dalaman yang lebih bagus.
“Sesetengah jurusan pelajar mempunyai pelajaran yang memerlukan penggunaan komputer riba yang bagus untuk menampung aplikasi yang digunakan seperti subjek Graphic Design dan Caricature Cartoon,” katanya dalam sesi temu bual bersama Berita DIMENSi.
Pelajar haruslah bijak dalam membuat pilihan untuk membeli komputer riba dan pastikan ia bersesuaian dengan keperluan serta menepati kehendak mereka sendiri.
Like the article? Share it now!