Environment

SELAMI KEPENTINGAN HUTAN PAYA BAKAU


Isnin, 7 Jun 2021
Oleh Natasha Abdullah

Pokok paya bakau yang tumbuh di kawasan tanah berlumpur dan bersifat malar hijau.
(Sumber: Wall Street International Magazine)

JOHOR BAHRU Tumbuh di kawasan berpaya di muara sungai, pokok paya bakau merupakan tumbuhan yang penting bagi ekosistem pinggir sungai dan pantai kerana ia melibatkan kawasan pertembungan air tawar dan air laut. Kawasan ini biasanya mempunyai struktur tanah berlumpur dan bersifat malar hijau sepanjang tahun.


Di samping itu, paya bakau membantu dalam mengekalkan landskap hutan dan ia juga mempunyai fungsi semulajadi dan kepentingannya. Sesetengah pokok paya bakau menghasilkan buah dan ianya boleh dimakan serta boleh dijual sebagai sayuran.


Terdapat beberapa spesies yang ada di Malaysia, antaranya termasuk spesies Avicennia, Rhizophora, Sonneratia, Bruguiera. Avicennia antara pokok bakau yang menghasilkan madu terbaik. Selain menghasilkan madu, bunganya juga wangi dan didebungakan oleh serangga.


Di Malaysia, hutan paya bakau ini biasanya dilindungi, digazetkan dan diuruskan oleh Jabatan Perhutanan untuk pengeluaran kayu secara mapan. Pada masa kini, Malaysia mengamalkan sistem penebangan secara clear-felling mengikut giliran iaitu dalam jangka tertentu antara 20 hingga 30 tahun.


Di Tanjung Piai, Johor, terdapat sebuah taman negara yang terkenal dengan kawasan bakaunya yang berkeluasan 526 hektar. Taman Negara Tanjung Piai merupakan hutan simpan ke 1,289 dalam senarai Tanah Lembab Berkepentingan Antarabangsa (RAMSAR) dan yang menariknya terdapat satu fenomena alam yang menjadi pesta masyarakat setempat iaitu fenomena air pasang besar yang terjadi setiap hujung tahun bermula pada bulan November hingga Januari.


Disebabkan fungsi paya bakau juga adalah memerangkap enapan dan sampah sarap, ia telah menjamin kebersihan hamparan air laut di perkarangan taman negara. Justeru, ketika pesta fenomena air pasang besar ini berlangsung, air laut yang berada di bahagian hadapan taman negara tersebut adalah bebas dari sampah dan lumpur.


Walaupun, isu pembuangan sampah merata-rata yang berpunca dari sikap segelintir pengunjung yang hadir menjadi kembimbangan masyarakat setempat. Namun dengan adanya hutan paya bakau di sekelilingnya telah banyak membantu penduduk di sekitar dalam mengatasinya.


Seperti yang dinyatakan dalam Portal Rasmi Majlis Daerah Pontian, Taman Negara Tanjung Piai menjadi kediaman lebih 20 spesies tumbuhan bakau sebenar, dan sembilan spesies bakau berkaitan. Tidak lupa juga banyak spesies fauna yang terdapat di kawasan lumpur dalam Taman Negara Tanjung Piai.


Kehijauan hutan paya bakau yang memberi ketenangan pada semua pengujung.
(Sumber: Retail & Leisure International)

Fungsi lain pokok bakau kepada masyarakat dan sesebuah kawasan terutamanya yang tumbuh di tebing-tebing sungai, adalah sebagai benteng daripada tanah terhakis oleh air sungai mahupun air laut. Hal ini kerana, akarnya yang kuat mencengkam tanah dan tumbuh secara rapat-rapat membentuk satu pertahanan yang kuat mencegah benteng dari terhakis dan runtuh.

Sifat semula jadi pokok bakau yang tumbuh merimbun dan secara rapat pula berfungsi sebagai penampan angin kencang menyebabkan kelajuan tiupan angin dapat dikurangkan. Biasanya tsunami menghasilkan tekanan air dan gelombang air laut yang kuat. Namun, dengan adanya pokok bakau yang tumbuh di persisiran pantai dan sungai boleh mengurangkan tekanan tersebut.

Menurut guru Geografi tingkatan 6, Encik Nik Rosli Nik Soh, 41, yang ditemubual oleh Berita DIMENSi melalui aplikasi WhatsApp berkata, fungsi lain kehidupan bakau ini adalah sebagai habitat dan ekologi hidupan marin dan haiwan lain, pokok bakau yang tumbuh secara padat di tanah lumpur dan akarnya yang berselirat memberi peluang kepada haiwan seperti ikan, siput, ketam nipah, udang, kerang, dan lokan berhabitat.

“Haiwan seperti monyet dan burung juga dapat menjadikan pokok bakau sebagai ruang habitatnya.

“Semua fungsi ini yang menjadikan pokok bakau ini menarik, kerana tidak cukup dengan memberi manfaat pada manusia, ia juga memberi manfaat kepada hidupan lain untuk berhabitat,” tambah beliau lagi.

Pemandangan dikelilingi hutan paya bakau dan deruan air yang tenang akan memberi anda ketenangan ketika meluangkan masa bersama orang yang tersayang di Taman Negara Tanjung Piai. Masyarakat juga dapat mempelajari ilmu kepelbagaian diversiti dan keunikan flora dan fauna di penghujung benua asia.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!