Environment

PERUBAHAN IKLIM MENGGANGGU PEMBELAJARAN ATAS TALIAN


Jumaat, 7 Mei 2021
Oleh Hady Armeen

Malaysia menjadi lebih panas dan lembap kerana pemanasan global berterusan.
(Sumber: The Rakyat Post / Aznael Ishak)

Cuaca di Malaysia dikenali sebagai iklim tropika iaitu panas dan hujan sekali-sekala oleh negara luar. Namun begitu, cuaca yang dihadapi baru-baru ini agak berbeza dan luar biasa kerana perubahan iklim akibat peningkatan suhu.

Sebelum ini, bencana alam seperti banjir, taufan dan puting beliung jarang berlaku. Dalam tempoh enam ke tujuh tahun kebelakangan ini, fenomena tersebut berlaku lebih kerap dan tidak dapat diramal.

Pandemik COVID-19 yang mula merebak sejak tahun lalu di seluruh dunia, sedikit sebanyak telah mengubah cara kehidupan masyarakat global khususnya rakyat Malaysia. Dengan pengamalan norma baharu, hampir kesemua aktiviti perlu dilakukan secara atas talian.

Bukan sahaja sektor pekerjaan, sektor pendidikan juga tidak terkecuali dalam menggunakan platform ini bagi meneruskan rutin harian baharu dan aktiviti pembelajaran secara maya.

Setelah setahun pandemik COVID-19 melanda negara ini, warga pendidik mahupun pelajar masih dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu pembelajaran atas talian yang disarankan oleh pihak kerajaan.

Pembelajaran atas talian mungkin kelihatan mudah di mata masyarakat, tetapi sebenarnya ada cabaran dan rintangan yang perlu dihadapi segelintir pelajar dalam menjalani sesi pembelajaran secara maya ini.



Capaian internet semasa perubahan iklim tidak menentu


Salah satunya berpunca daripada capaian internet yang tidak stabil oleh kerana perubahan iklim yang tidak menentu di negara ini.


Aini Musa yang sedang memberikan tumpuan semasa kelas atas talian.
(Sumber: Berita DIMENSi / Hady Armeen)

Berdasarkan temubual Berita DIMENSi menerusi aplikasi WhatsApp bersama, Aini Musa, 24, mahasiswi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam berkongsi pengalaman beliau menjalani pengajian di atas talian di kediaman beliau di Pandan Indah, Kuala Lumpur.

“Sudah tiga semester kita belajar atas talian namun begitu masih lagi ada masalah yang sama perlu saya hadapi iaitu capaian internet di kawasan rumah saya yang sangat lambat dan juga keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan capaian internet saya selalu hilang.

“Lebih-lebih lagi cuaca pada masa kini sering hujan dan ribut petir pada waktu pagi dan petang di kawasan kediaman saya telah menyukarkan saya untuk masuk ke dalam kelas atas talian.

“Sedikit sebanyak perubahan cuaca yang tidak menentu ini turut mengganggu aktiviti pembelajaran atas talian saya, kebiasaannya sekiranya hujan lebat bersama guruh saya tidak dapat untuk masuk ke kelas namun saya bernasib baik kerana mempunyai pensyarah yang memahami situasi saya,” katanya.

Aini juga berharap pada semester hadapan dia dapat pulang ke kampus untuk menjalani pembelajaran bersemuka seperti sedia kala.


Peningkatan suhu mengganggu kesihatan pelajar

Selain daripada capaian jaringan internet yang tidak menentu, cuaca panas ekstrem yang kita sedang alami di beberapa kawasan di negara kita ini juga memberi kesan kepada tubuh badan manusia, antaranya sakit kepala yang berlarutan.


Akmal Reza sedang menjalani aktiviti pembelajaran atas talian.
(Sumber: Berita DIMENSi/ Hady Armeen)

Akmal Reza, 22, seorang mahasiswa UiTM Puncak Alam yang ditemubual menerusi aplikasi WhatsApp oleh Berita DIMENSi, berkongsi kesukaran yang dihadapi olehnya ketika menjalankan pengajian atas talian semasa musim panas melampau ini.

“Cuaca panas pada masa ini sangat mengganggu fokus saya ketika berada di dalam kelas atas talian kerana saya sering mendapat sakit kepala akibat perubahan cuaca ini.

“Saya juga sering cepat berasa letih dan tidak bermaya ketika belajar, bayangkan dengan cuaca panas dan perlu menghadap skrin komputer riba untuk jangka masa yang lama kerana dalam masa sehari saya mempunyai tiga atau empat kelas yang berlangsung selama dua ke tiga jam.

“Ditambah dengan pada masa kini umat Islam sedang berpuasa, jadi ia lebih mencabar untuk saya meneruskan aktiviti pembelajaran di atas talian,” tambahnya lagi.

Akmal turut berharap agar segalanya akan kembali normal kerana dia bakal memulakan latihan industri pada semester hadapan.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!