ENVIRONMENT

PENGURUSAN SISA PEPEJAL KUNCI UTAMA KELESTARIAN ALAM

Isnin, 10 Januari 2022
Oleh Nurul Qistina

Sampah terbiar hasil daripada pembuangan sisa binaan.

(Sumber: Berita DIMENSi / Nurul Qistina)

CYBERJAYA: Peningkatan pembinaan bangunan setiap hari menandakan sisa pepejal untuk dilupuskan di tapak pembinaan juga bertambah, termasuk pembuangan sampah secara haram.

Kegagalan dalam menguruskan sisa pembinaan boleh mendatangkan masalah kepada kelestarian alam sekitar dan kesihatan awam.

Penerapan 3R (Reuse, Reduce, Recycle) perlu dipraktikkan dalam setiap perancangan pengurusan sisa pepejal pembinaan dalam proses pembangunan.

Timbalan Ketua Kluster Pengurusan Sisa Pepejal Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Prof. Dr. Mohd Suffian Yusoff berkata, pekerja pembinaan perlu menerapkan pengurusan sisa pepejal holistik untuk menggantikan pendekatan tradisional atau konvensional bagi menuju kelestarian.

“Saya percaya, penjanaan dan penggunaan sumber yang sedia ada dapat ditambah baik melalui kaedah perubahan dan penukaran jisim pepejal kepada sesuatu yang baru melalui proses fizikal, biologi, dan kimia,” katanya.

Ini kerana nilai holistik penting untuk meningkatkan kecekapan proses sepanjang aliran pengurusan daripada penajaan sehingga pelupusan muktamat.

“Seterusnya dapat membantu negara menuju ke satu model ekonomi kitaran yang sempurna,” ujar Dr. Mohd Suffian semasa menjadi panelis dalam satu webinar anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCORP).

Dr. Mohd Suffian menjelaskan tentang pengurusan holistik di webinar SWCORP.

(Sumber: Facebook / SWCORP)

Tambah Dr. Mohd Suffian, ciri-ciri pengurusan sisa pepejal yang holistik adalah dengan adanya perkhidmatan efisien dan sempurna daripada setiap faktor pengeluaran atau penjanaan sisa.

Antaranya terdiri daripada perkhidmatan seperti komersial, industri, dan institusi. Ini bukan hanya tertakluk di bandar sahaja, tetapi juga di separa dan luar bandar.

Pengurusan sisa pepejal pembinaan yang bersepadu berperingkat, bermula daripada kutipan dan pengangkutan, rawatan perantaraan dan akhir sekali pelupusan.

“Apa yang dimaksudkan dengan pengurusan holistik adalah pengurangan sisa pepejal daripada pelbagai jenis sumber domestik melalui aktiviti kitar semula dan pengasingan di punca.

“Kesedaran kitar semula tidak tercapai sehingga 50% di kalangan rakyat Malaysia, maka kita perlu ada unsur kitar semula yang berteraskan penjanaan sehingga pelupusan,” katanya lagi.

Sisa pepejal diangkut menggunakan lori pembuangan sampah.

(Sumber: Facebook / SWCORP)

Sekiranya bilangan sampah meningkat, maka perbelanjaan kos juga akan meningkat. Ini sebab perlunya ada perbelanjaan yang efektif melalui pengagihan bajet seimbang untuk keseluruhan proses bermula sebelum proses pengasingan lagi.

Beliau juga menekankan tentang aplikasi teknologi yang merupakan fenomena teknologi hijau dan mesra alam.

Pemindahan teknologi dapat melahirkan pakar-pakar tempatan untuk mencipta teknologi baru bagi kegunaan sisa pepejal tanpa bantuan daripada luar negara.

Pekerja-pekerja memerhatikan sisa pepejal dilupuskan menggunakan teknologi moden.

(Sumber: Facebook / SWCORP)

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek, mengatakan bahawa mengasingkan sisa kitar semula di tapak pembinaan adalah diwajibkan.

Peraturan-Peraturan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Skim bagi Pepejal Pembinaan) ini mula berkuatkuasa sejak tahun 2020.

“Peraturan tersebut hanya tertakluk kepada negeri-negeri yang menerima akta 672 sahaja, iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Kedah, dan Perlis,” tambahnya lagi dalam sidang media yang dipetik daripada Berita Harian.

Dengan itu, terdapat beberapa syarikat konsesi yang telah dipilih oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) untuk menjalankan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal.

Antaranya adalah Alam Flora yang mewakili zon tengah dan timur merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang, manakala E-Idaman mewakili zon utara iaitu Kedah dan Perlis.

SWCORP juga menjalankan kerjasama strategik bersama Badan Peneraju Industri (ILB) dengan mengadakan enam jenis promosi bagi Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM).

Promosi ini adalah untuk memberi pendedahan kepada para pekerja dalam industri sisa pepejal di Malaysia tentang kepentingan kemahiran pekerja yang diiktiraf oleh kerajaan bagi mengesyorkan tahap perkhidmatan pembersihan yang lebih baik.

Like the article? Share it now!