Environment

PENGURUSAN SISA ELEKTRONIK BATU PENGUKUR KE ARAH MALAYSIA PINTAR


Rabu, 26 Mei 2021
Oleh Eiman Eqmal

Pengurusan sisa elektronik amat penting dalam menjayakan aspirasi Malaysia Pintar.
(Sumber: Shutterstock / Damrong Rattanapong)

Hari ini, masyarakat Malaysia sudah menunjukan perkembangan yang amat baik apabila ramai di antara kita sudah cakna mengenai kepentingan mengitar semula sisa pepejal seperti plastik, kertas dan kaca.


Namun, dalam menuju ke arah Malaysia pintar, terdapat pelbagai usaha yang perlu dipergiatkan antaranya adalah meningkatkan tahap kesedaran terhadap pelupusan barangan elektronik atau e-waste di kalangan rakyat Malaysia.


Melihat kembali, isu sisa elektronik ini bukanlah perkara yang baru bagi rakyat Malaysia, akan tetapi masih ramai lagi yang mengambil ringan tentang isu ini.


Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Japan International Cooperation Agency meramalkan bahawa sisa elektronik di setiap isi rumah di Malaysia mampu melonjak ke 24.5 juta di akhir tahun 2025.


Ini sekaligus menimbulkan kegusaran apabila setiap bandar di Malaysia seperti Ipoh dan Johor Bahru, disasarkan akan menjadi “Bandar Pintar” menjelang 2030.


Pihak DIMENSi telah menemu ramah Muhammad Fikri, Ketua Operasi bagi syarikat iCycle yang menguruskan sisa elektronik di Malaysia yang berpangkalan di Nusajaya, Johor untuk mengetahui isu ini dengan lebih mendalam.


Antara contoh sisa elektronik adalah telefon bimbit terpakai atau tidak digunakan.
(Sumber: Unsplash / Hardik Sharma)

Secara dasarnya, sisa elektronik tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, yang menyatakan bahawa setiap peralatan elektronik seperti telefon bimbit, mesin basuh, pendingin hawa dan komputer yang tidak lagi diguna pakai atau rosak akan dikategorikan sebagai sisa elektronik.

Muhammad Fikri berkata bahawa tahap kesedaran dan pengatahuan bagi rakyat Malaysia tentang isu ini adalah sangat rendah.

“Orang kita (rakyat Malaysia) belum ada pendedahan yang luas tentang perkara ini (pelupusan sisa elektronik) dan ramai yang tak tahu cara bagaimana nak buang barang-barang elektronik dengan betul.

“Tambahan pula kesedaran tentang perkara ini masih kurang lebih-lebih lagi di kawasan pedalaman.” kata Muhammad Fikri.

Menurut beliau, pelupusan sisa elektronik itu sendiri mempunyai kaedah pembuangan yang betul dan mematuhi piawaian.

“Kita tak boleh main buang sahaja, sebagai contoh, di dalam peti ais yang ada di setiap rumah, ada bahan penyejuk dan jika tidak dilupuskan dengan cara yang betul, bahan penyejuk itu mampu menjadi sebab utama penipisan lapisan ozon,” ujarnya.

“Kalau nak cerita kesan buruk dia memang banyak, dari sudut saintifik lain, dari sudut alam sekitar lain tapi kesan yang paling buruk adalah dalam setiap sisa elektronik itu ada bahan toksik yang berbahaya yang mampu beri kesan kepada kesihatan kita apatah lagi dengan situasi sekarang ini (Covid-19),” tambahnya lagi.

Apabila ditanya mengenai kesinambungan di antara pelupusan sisa elektronik dan Malaysia pintar, beliau tampak gembira dengan usaha yang dijalankan kerajaan dalam mendokong inisiatif ini.

“Kita tak perlu lihat yang jauh, kita tengok jiran kita Singapura dan bagaimana mereka, bukan sahaja pihak kerajaan tetapi rakyat mereka yang begitu cekap dalam menguruskan sisa elektronik ini.

“Di Malaysia, saya boleh cakap yang beberapa tahun kebelakangan ini kerajaan memang giat mempromosikan tentang sisa elektronik ini dan saya merasakan itu perkara yang bagus,” katanya.

Syarikat iCycle adalah salah satu syarikat di Malaysia yang banyak membantu dalam urusan pelupusan sisa elektronik sekaligus menandakan betapa seriusnya Malaysia dalam menjayakan usaha ini.

“Di sini (iCycle) kami bukan sahaja memfokuskan tentang pengurusan sisa elektronik tetapi kami juga mempunyai pasukan operasi yang membantu dari segi kesedaran dalam mendorong penglibatan pengguna dalam isu ini,” kata Muhammad Fikri.


Kempen #iChanged yang dijalankan oleh Samsung.
(Sumber: Laman Rasmi Samsung)

Pada masa yang sama, pelbagai inisiatif dari jenama-jenama terkemuka di Malaysia telah mengorak langkah dalam menangani isu ini.

Sebagai contoh Samsung, baru-baru ini telah mengadakan kempen “#iChanged” dimana pemilik peranti Samsung boleh menukar peranti lama mereka kepada peranti baru.

Ini sekaligus dapat mengurangkan pembuangan telefon bimbit dan memberi keuntungan kepada pelanggan Samsung.

Ternyata pelupusan sisa elektronik adalah batu pengukur yang penting dalam aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara pintar. Oleh itu, usaha berterusan dari semua pihak adalah penting dalam merealisasikan impian ini.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!