UTOPIA

PENDIDIKAN TENTANG HAID PERLU UNTUK SEMUA JANTINA

Jumaat, 24 Jun 2022
Oleh Ainun Jariah

Mempelajari dan berbicara mengenai haid bukannya perkara yang perlu dianggap memalukan oleh semua lapisan masyarakat.

(Sumber: The Tempest/Ellen Heydenrych)

Pendidikan seks dan haid merupakan satu perkara penting yang perlu diketengahkan kepada seluruh rakyat malaysia, termasuk kaum lelaki.

Menurut laman sesawang Natracare, 72 peratus kanak-kanak lelaki tidak pernah mendapat didikan berkaitan kitaran haid, dan tiga perempat kanak-kanak secara keseluruhannya tidak berpuas hati dengan pendidikan seks yang mereka terima.

Kebanyakan pelajar lelaki sering berada dalam keadaan kekeliruan serta salah faham mengenai haid. Hal ini berlaku kerana pendidikan haid hanya sering difokuskan kepada pelajar perempuan sahaja.

Pelajar Kejuruteraan Elektrik, Maisarah Muksalmina, 21, dibesarkan oleh tiga orang abang tanpa kakak membuatkannya berasa kekok untuk bercakap soal haid di hadapan abang-abangnya.

Menurut Maisarah, pada awalnya dia berasa malu dan janggal untuk bercakap soal haid di hadapan ayah dan abang-abangnya.

Katanya, dia tidak pasti sama ada ini adalah memang pantang larang masyarakat di mana haid dipandang sebagai sesuatu yang memalukan.

“Saya memang tidak pernah memberitahu adik-beradik sewaktu kali pertama haid, kecuali bapa saya,” katanya ketika ditemu bual oleh Berita DIMENSi melalui WhatsApp.

Mengapa Lelaki Perlu Tahu?

Masih terdapat golongan lelaki yang keliru serta tidak ambil peduli tentang haid kerana menganggap ini adalah masalah wanita semata-mata, namun mentaliti sebegitu tidak wajar diteruskan.

Pelajar Motor Neurosains, Aishah Izraai, 21, menceritakan satu pengalamannya di mana dirinya pernah mendapat layanan buruk ketika sedang datang haid.

Menurut Aishah, semenjak menerima layanan yang buruk daripada lelaki dalam keluarganya sendiri ketika haid, dia sedar betapa pentingnya pendidikan seks dan haid itu bagi semua golongan tidak terkecuali kaum lelaki.

“Ideanya adalah bagi memperkenalkan badan manusia secara holistik iaitu secara menyeluruh biarpun mengenai alat kelamin perempuan mahupun lelaki.

“Lelaki juga perlu ambil tahu tentang haid kerana mahu atau tidak, mereka akan berhadapan dengan perempuan juga, seperti anak perempuan yang tiada ibu atau kakak dewasa,” kata Aishah dalam temu bual bersama Berita DIMENSi melalui WhatsApp.

Aishah turut menegaskan bahawa beliau tidak mahu anak-anak perempuan dibesarkan dalam keadaan ketakutan ketika sedang haid.

Oleh itu, safe space iaitu orang-orang yang boleh mereka bergantung sewaktu memasuki alam akil baligh ini memainkan peranan penting dalam hidup mereka.

Pendidikan seks amat penting bagi mengurangkan stigma haid terhadap kaum wanita yang mengalaminya.

(Sumber: The Times of India)

Pendidikan Seks Dalam Silibus Pembelajaran

Walaupun pendidikan seks boleh dipelajari di mana-mana tempat namun pendidikan seks harus diajar secara formal dan bukannya diperoleh melalui cara yang tidak sesuai. Hal ini bagi memastikan pemahaman mengenai pembelajaran itu lebih berkesan jika disampaikan oleh para pendidik yang bertauliah.

Bagi pelajar Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), Helmey Zairen, 21, menyatakan betapa pentingnya untuk dirinya mengetahui tentang haid meskipun beliau hanya memiliki adik-beradik lelaki sahaja.

Bagi Helmey, lelaki juga perlu mengambil tahu tentang haid kerana ia adalah sebahagian daripada pengetahuan am dan bukannya isu wanita semata-mata.

Helmey berpendapat bahawa negara kita sewajarnya menyertakan pendidikan seks dalam silibus pembelajaran di sekolah pada peringkat awal. Perkara ini penting bagi para pelajar untuk memahami tumbesaran badan mereka seperti kitaran haid dan sebagainya.

“Rakyat Malaysia selalu memandang enteng tentang pendidikan seks kerana ia mempunyai perkataan seks tersebut, tetapi pendidikan seks membincangkan lebih daripada itu seperti kesihatan fizikal, mental, dan emosi,” tambahnya dalam temu bual bersama Berita DIMENSi melalui WhatsApp.

Like the article? Share it now!