Environment

PENCEMARAN BUNYI MENGGANGGU KETENTERAMAN PENDUDUK DI SEKITAR SELANGOR


Rabu, 2 Jun 2021
Oleh Adib Danial

Pencemaran bunyi boleh mengakibatkan stres.
(Sumber: Unsplash / Usman Yousaf)

DAMANSARA – Pencemaran bunyi bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia. Namun, masih ramai lagi yang tidak peka dan tidak tahu bahawa pencemaran bunyi juga merupakan salah satu daripada pencemaran alam sekitar yang berbahaya selain dari pencemaran udara dan pencemaran air.


Pencemaran bunyi ini kurang dipandang serius kerana ianya sukar untuk dikesan dengan mata kasar. Walaupun pencemaran bunyi tidak dapat dilihat, namun pencemaran ini tetap ada di sesetengah kawasan seperti di kawasan kilang, kawasan tapak pembinaan dan kawasan lebuhraya.


Berdasarkan petikan dari artexhausts.com, pencemaran bunyi adalah paras bunyi yang melebihi 85 desibel (dB) dan akan menyebabkan kesan yang buruk kepada manusia dan haiwan.


Jika kita mendedahkan diri terhadap bunyi yang melebihi 85 dB selama lapan jam secara berterusan, ia mungkin akan menyebabkan kerosakan terhadap gegendang telinga dan dikhuatiri akan mengakibatkan pekak.


Pencemaran dan gangguan bunyi juga boleh menyebabkan stress dan tekanan emosi tanpa boleh berfikir atau melakukan kerja dengan tenang. Hal ini akan memberi kesan kepada individu tanpa mengira umur sama ada kanak-kanak mahupun dewasa.


Menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, di bawah Seksyen 23, individu yang didapati tidak berlesen yang menyebabkan atau mengeluarkan bunyi bising yang lebih kuat bahana, akan dikenakan denda tidak lebih daripada RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali dan denda tambahan tidak lebih dari RM500 sehari bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas diberikan notis oleh Ketua Pengarah supaya berhenti melakukan perbuatan yang menyebabkan bunyi bising itu berlaku.


Wartawan daripada Berita DIMENSi telah menemu bual Faathimah Naailah Kamarudin, 25, salah seorang penduduk flat Flora Damansara di Damansara Perdana yang menghadapi masalah pencemaran bunyi di kawasan perumahannya.


Menurut beliau, pencemaran bunyi yang berlaku di kawasan perumahannya itu berpunca dari tapak pembinaan di hadapan kawasan rumahnya.


Tapak pembinaan yang berada di hadapan flat Flora Damansara.
(Sumber: Berita DIMENSi / Adib Danial)

“Mereka bekerja dari Isnin sampai Ahad, bermula dari pukul 8 pagi sehingga 6 petang. Kadang-kadang sampai pukul 7 malam, cuma Ahad selalunya mereka hanya bekerja separuh hari sahaja dari pukul 8 pagi sehingga 12 tengahari.

“Bila balik dari kerja selalunya dah sunyi. Akan tetapi, bila hujung minggu orang semua nak rehat tapi mereka bekerja sambil mengeluarkan bunyi pembinaan yang agak bising itu,” kata Faathimah ketika ditemu bual oleh Berita DIMENSi melalui aplikasi WhatsApp.

Kedudukan tapak pembinaan tersebut yang terletak betul-betul di hadapan flat Flora Damansara ini menjadi punca utama bunyi bising di kawasan itu.

Tambah beliau lagi, agak sukar untuk mengurangkan atau menangani gangguan bunyi tersebut melainkan hanya menutup semua tingkap dan pintu serta sliding door di balkoni rumahnya. Walaubagaimanapun, bunyi bising tersebut masih kedengaran tetapi apakan daya itu sahaja cara yang beliau ada.

Pihak Berita DIMENSi juga ada bertanyakan tentang aduan daripada penduduk setempat yang dilaporkan kepada pihak berkuasa serta tindakan mereka atas isu tersebut.

“Wakil dari pangsapuri kami pernah buat aduan kepada pihak atasan. Dulu mereka bekerja di tapak pembinaan itu lanjut sampai malam, tetapi selepas aduan dibuat baru mereka berhenti pada pukul 6 petang.

“Jika mereka masih bekerja lebih daripada pukul 6 petang, kami akan menangkap gambar dan rekod bunyi-bunyi yang terhasil dari tapak pembinaan tersebut lalu membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ),” ujarnya lagi.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!