Environment

PEMBUANGAN PELITUP MUKA MERATA-RATA PUNCA PENINGKATAN SAMPAH SARAP


Jumaat, 4 Jun 2021
Oleh Iman Farisah

Balqiz menunjukkan pelitup yang dibuang merata-rata.
(Sumber: Berita DIMENSi / Iman Farisah)

KOTA DAMANSARA – Penggunaan pelitup muka merupakan salah satu inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengurangkan kadar jangkitan COVID-19. Namun, terdapat segelintir masyarakat yang kurang prihatin tentang cara pembuangan sisa pelitup muka dengan betul sehingga menjejaskan dan meningkatkan kes pembuangan sampah di Malaysia.

Tinjauan yang dilakukan di sekitar Kota Damansara mendapati terdapat banyak pelitup muka terpakai yang dibuang di merata-merata tempat sehingga mengakibatkan peningkatan pencemaran baharu.

Antara lokasi yang menjadi tempat pembuangan pelitup muka ini adalah di tepi longkang, di tepi jalan dan di kawasan taman perumahan.

Nurwani Balqiz binti Mazlan, 22, merupakan salah seorang penduduk di kawasan Kota Damansara mengatakan pembuangan pelitup muka di merata tempat ini bukan sahaja dapat meningkatkan kes pembuangan sampah sarap namun ia juga dapat menyebarkan bakteria yang berada pada pelitup muka yang terpakai itu.

“Sebagai rakyat Malaysia yang bermoral tinggi, kita seharusnya memandang serius cara pembuangan pelitup muka yang betul agar tiada perkara yang tidak diingini seperti peningkatan pencemaran alam sekitar dan penyebaran virus COVID-19 berlaku,” menurut Balqiz ketika ditemu ramah bersama Berita DIMENSi.

“Orang yang membuang pelitup muka di kawasan perumahan ini pun akan memburukkan lagi landskap persekitaran di kawasan ini.” tambahnya lagi.

Menurut Balqiz, kerajaan juga seharusnya menyediakan tong sampah khas bagi membuang pelitup muka di kawasan-kawasan tertentu agar memudahkan proses pengasingan sisa domestik ini.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat kutipan sisa domestik dan pembersihan awam, Ramli Mohd Tahir dalam temu ramahnya bersama Astro AWANI mendemonstrasikan cara membuang pelitup muka dengan betul dan mudah.

“Kalau nak buang pelitup muka dengan betul mari saya tunjukkan cara paling senang. Dah buka pelitup muka, ambil, lipat dua dan gulungkannya. Setelah itu, ikat gulungan tadi dan campakkannya ke dalam tong sampah yang disediakan,” katanya.


Pelitup muka yang dijumpai di kawasan semak.
(Sumber: Berita DIMENSi / Iman Farisah)

Pelitup muka yang dibuang merata-rata tempat bukan sahaja boleh merosakkan pemandangan di kawasan terbabit malahan ia juga menyukarkan kakitangan pembersihan untuk melakukan tugas mereka.

Petugas kebersihan terpaksa mengutip pelitup muka yang dibuang di merata tempat seperti di bawah kereta, tepi tong sampah dan di tangga kawasan perumahan.

Hal ini secara tidak langsung akan mengakibatkan petugas kebersihan berisiko berhadapan dengan virus dan bakteria yang terdapat pada pelitup muka yang kotor itu.


Pelitup muka ditemui di kawasan kediaman.
(Sumber: Berita DIMENSi / Iman Farisah)

Kerja-kerja pembersihan juga akan mengambil masa yang lama ekoran daripada sikap acuh tak acuh segelintir masyarakat akan perihal ini.

Setiap rakyat Malaysia haruslah mengutamakan kepentingan pembuangan pelitup muka yang betul agar tidak memberikan kesan buruk kepada alam sekitar.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!