Environment

PEMBAKARAN TERBUKA: TIADA TINDAKAN DIAMBIL?


Rabu, 26 Mei 2021
Oleh Maya Basir

Pembakaran terbuka di kawasan perumahan.
(Sumber: Twitter / @bernamaradio)

KUALA LUMPUR Penduduk Taman Tun Dr Ismail penat, sudah berkali-kali aduan dilaporkan tetapi masih lagi tiada tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa terhadap pelaku yang melakukan pembakaran terbuka hampir setiap hari.


Pembakaran secara terbuka adalah kesalahan di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.


Tinjauan Berita DIMENSi mendapati masalah pembakaran terbuka ini sudah berlaku sejak beberapa tahun yang lalu dan berpunca dari kawasan Kampung Sungai Penchala bersempadan dengan kawasan perumahan Taman Tun Dr Ismail.


Pembakaran terbuka tersebut adalah disebabkan oleh aktiviti membakar sampah longgok, daun kering, tayar lama, sisa kebun dan sebagainya oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab.


Dipercayai bahawa penduduk di kawasan Kampung Sungai Penchala tersebut sudah terbiasa dengan amalan membakar sampah atau sisa kebun di waktu pagi atau lewat petang.


Menurut penduduk di Taman Tun Dr Ismail (Utara), Ahmad (bukan nama sebenar), 35, mendakwa kehidupan seharian mereka sekeluarga terjejas kerana bau dari asap kebakaran yang menyukarkan mereka untuk bernafas.


“Pintu dan tingkap rumah kami sentiasa tertutup seperti bersembunyi kerana jika tidak bukan sahaja bau asap masuk ke dalam rumah malah debu-debu halus.


Situasi asap dari pembakaran terbuka di Kampung Sungai Penchala.
(Sumber: Ahmad (bukan nama sebenar)

“Sudah banyak aduan yang saya laporkan kepada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan mereka juga pernah membuat rondaan di kawasan itu tetapi mereka laporkan tiada kebakaran terbuka yang berlaku.

“Saya juga telah menunjukkan lokasi yang tepat di mana kebakaran itu selalu berlaku, namun tiada tindakan yang diambil oleh pihak JAS. Orang ramai telah menyuarakan masalah ini kepada Ahli Parlimen kawasan kami, malangnya beliau tiada hasrat untuk membantu kami menyelesaikannya.

“Kami tidak dapat menghirup udara segar, anak-anak kecil terpaksa membesar dengan bau asap dan ianya tidak baik untuk kesihatan mereka,” Ahmad berkata melalui perbualan melalui media sosial miliknya.

Manakala penduduk di Jalan Rahim Kajai, Syarida Sharif, 42, juga turut mengadu hal yang sama bahawa pembakaran terbuka ini kerap kali berlaku dan bau asap yang memedihkan mata.

“Selalunya bila hari Ahad petang selalu bau asap. Tapi sejak Hari Raya dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak ada berlaku,” kata Syarida Sharif ketika dihubungi di media sosial miliknya semalam.

Menurut penduduk Sungai Penchala, Nik Mohd Yusof, 34, mengatakan terdapat kerja pembinaan berhampiran kawasan tempat tinggalnya dan sisa-sisa dari pembinaan tersebut kemudiannya dibakar.

“Boleh dikatakan banyak pembakaran terbuka yang berlaku di kawasan ini. Punca utamanya adalah disebabkan sistem pengurusan sisa dan bahan buangan yang teruk.

“Terdapat juga beberapa kawasan yang tidak diselenggara oleh kontraktor Alam Flora,” Nik Mohd Yusof berkata semasa di wawancara di media sosial miliknya hari ini

Sementara itu, Pegawai Kawalan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mohd Shahrul Hafizi Abdul Raawi, pernah mengeluarkan surat aduan pada tahun 2019 memohon agar pihak Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjalankan tindakan penguatkuasaan berkala seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 29 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) di Kampung Sungai Penchala namun masih tiada maklum balas dan tindakan diambil sehingga ke hari ini.

“Temubual dengan penduduk mendapati bahawa sesetengah daripada mereka membakar kerana terdapat banyak nyamuk di kawasan Kampung Sungai Penchala.

“Didapati juga segelintir penduduk di kawasan tersebut kurang peka dengan isu kebersihan, pencemaran dan alam sekitar,” kata Mohd Shahrul Hafizi dalam kenyataan surat aduan tersebut.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!