Environment

MERU: PEKAN LUBUK ASAP


Jumaat, 4 Jun 2021
Oleh Umi Fatehah

Pekan Meru, Klang.
(Sumber: Youtube / Hisham Kasim)


SHAH ALAM - Kepadatan penduduk dapat dibuktikan dengan lambakan kenderaan di atas jalan raya dan menyebabkan kesesakan lalu lintas. Situasi ini telah menyumbang kepada pencemaran udara di Pekan Meru, Klang.


Merujuk kepada Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Klang 2035, jumlah penduduk di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Klang (MPK) adalah seramai 891,200 orang dengan kadar isi rumah sebanyak 4.0, pada akhir tahun 2017. Saban tahun, jumlah populasi di kawasan pentadbiran MPK bertambah.


Biarpun terletak di kawasan luar bandar, kesibukan jalan raya di pekan ini boleh dikatakan setaraf dengan kawasan bandar. Pertambahan penduduk telah mendorong kepada peningkatan jumlah kenderaan di atas jalan raya.

Hal ini kerana kenderaan persendirian kini sudah dianggap sebagai keperluan dalam kehidupan masyarakat. Apabila berlaku kenaikan jumlah kenderaan, ini telah menyumbang kepada peningkatan partikel-partikel asap kenderaan yang berlegar di udara yang mencemarkan persekitaran.

Amin Mukhriz, 22, merupakan pekerja swasta yang sering menggunakan jalan di Pekan Meru untuk ke tempat kerja.

“Setiap kali saya memandu di kawasan Pekan Meru, jarang sekali saya dapat menghirup udara segar yang bersih meskipun pada waktu awal pagi. Kenderaan berat terutamanya lori dan jentera binaan yang mengeluarkan kepulan asap hitam tidak lekang kelihatan menggunakan jalan di Pekan Meru.

“Pada waktu puncak, khususnya waktu petang ketika ramai yang pulang dari kerja, kesesakan jalan telah memburukkan lagi kualiti udara. Langit kelihatan seakan kelabu dan mengaburi pandangan oleh kerana asap tebal daripada kenderaan yang berlegar di udara.

“Kesihatan masyarakat setempat lebih-lebih lagi penunggang motosikal yang terdedah kepada kualiti udara yang tidak sihat akan terjejas,” kata Amin ketika ditemu bual bersemuka bersama Berita DIMENSi.


Pencemaran udara mengundang pelbagai komplikasi kesihatan.
(Sumber: Unsplash / Alex Gindin)

Seorang penduduk tetap di Kapar telah ditemu bual oleh Berita DIMENSi bagi mendapatkan pandangannya terhadap perkara ini. Melalui aplikasi WhatsApp, Ashikin Norhisham, 22, melahirkan rasa kesal dengan kualiti udara yang teruk serta tercemar di kawasan tersebut.

“Saya lihat di sekitar kawasan Pekan Meru ini banyak menyediakan peluang pekerjaan. Kilang-kilang yang dibina sudah tentunya menjadi faktor utama pencemaran udara di sini. Tambahan lagi, Pekan Meru ini berdekatan dengan Shah Alam dan pusat bandar Klang.

“Jadi, kebanyakan mereka yg bekerja di Shah Alam dan Klang akan menyewa di sekitar Meru yang juga menyumbang kepada pertumbuhan penduduk dan jumlah kenderaan di jalan,” katanya.

“Terdapat banyak kilang juga merupakan salah satu punca utama yang menyumbang terhadap perkara ini. Keadaan ini secara tidak langsung telah menarik banyak pekerja dari kawasan Shah Alam dan Klang untuk menyewa di sini. Kebanyakan daripada mereka menggunakan kenderaan sendiri untuk berulang alik dari tempat kerja,” tambah Ashikin.

Dalam keadaan negara kita masih lagi dalam usaha untuk membendung wabak COVID-19, pencemaran udara juga menjadi salah satu punca kematian meningkat.

Pasukan Profesor Biostatistik Kesihatan Awam, Francesca Dominici dari Universiti Harvard telah melakukan kajian tentang perkaitan antara pencemaran udara dengan kes COVID-19.

Menurut artikel kupasan hasil kajian yang diterbitkan oleh Astro AWANI pada 25 Mac 2021, mereka mendapati negara yang mempunyai rekod pencemaran udara sederhana menyumbang sebanyak 15 peratus kepada jumlah kes kematian COVID-19.


Peratusan kadar kematian COVID-19 yang berpunca daripada kawasan pencemaran udara.
(Sumber: Universiti Harvard / Prof. Richard)

Individu yang terdedah kepada pencemaran udara akan mengakibatkan komplikasi kesihatan seperti strok, penyakit jantung dan kegagalan fungsi organ. Individu yang mengalami masalah kesihatan tersebut akan meningkatkan risiko mereka untuk dijangkiti COVID-19.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!