Environment

MASA DEPAN HARIMAU MALAYA KABUR


Jumaat, 11 Jun 2021
Oleh Alif Azrai

SEPANG Ikon kebanggaan negara kita yang dikenali sebagai Harimau Malaya kini menghadapi masalah kepupusan yang kritikal disebabkan pedagang hidupan liar yang memburu haiwan itu secara haram.


Harimau Malaya antara haiwan yang hampir pupus.
(Sumber: Mashable)

Organ seks, kulit, daging dan gigi dijual di pasaran gelap untuk dijadikan tangkal dan juadah hidangan eksotik. Permintaan yang tinggi dengan harga yang lumayan menjadi motivasi pemburu haram memburu haiwan yang hampir pupus ini.

Harimau Malaya adalah hidupan liar yang terancam dan dilindungi sepenuhnya mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). Situasi ini jika tidak dikawal akan menyebabkan populasi Harimau Malaya yang hanya terdapat di Semenanjung Malaysia ini semakin berkurang.

Dalam satu tinjauan yang dilakukan pada tahun 2016-2018 oleh Jabatan PERHILITAN, World Wildlife Fund (WWF) Malaysia , Wildlife Conservation Society (WCS) Malaysia dan Pertubuhan Pelindung Alam Malaysia (PPAM).

Harimau Malaya yang pernah menghiasi logo kereta nasional dan nama bagi pasukan bola sepak kebangsaan kini kian terancam dan spesies ini dianggarkan hampir pupus di bawah kumpulan habitat liar, 75 peratus daripada 44,000 km2 plot (kawasan hutan yang dikaji) mendapati populasi Harimau Malaya adalah kurang dari 200 ekor.


Graf Survei Harimau Kebangsaan pertama.
(Sumber: Harimau.My)

“Dalam operasi penguatkuasaan yang dilakukan oleh PERHILITAN, kami sering menangkap kumpulan pemburu haram di Taman Negara di seluruh negara,” kata Ketua Pengarah PERHILITAN Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dalam temu bual bersama Berita DIMENSi.

“Ramai pemburu merupakan warganegara Malaysia yang menjadi pembantu kumpulan dan penunjuk arah kepada pemburu haram warga asing masuk ke dalam hutan negara kita bagi memburu harimau dan spesies haiwan terancam lain.” tambah beliau lagi.

Dengan kemudahan yang diberikan oleh penduduk tempatan, ramai pemburu haram tidak khuatir dengan jumlah denda RM500,000 serta lima tahun penjara yang tertakluk di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Akta yang telah ditetapkan ini masih tidak mampu untuk menghalang mereka sepenuhnya. Datuk Abdul Kadir mencadangkan supaya hukuman itu dipinda dengan menaikkan denda maksimum RM1 juta dan 15 tahun penjara.

Jelasnya lagi, meskipun harimau kebanggaan negara itu dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar, Harimau Malaya tetap berdepan dengan kepupusan apabila hutan-hutan ditebang dan pemburu haram bebas memburu tanpa tindakan tegas dikenakan oleh pihak berwajib.

Aktivis haiwan, Aidil Iman telah ditemu bual oleh Berita DIMENSi melalui aplikasi Twitter untuk mendapatkan perspektif beliau akan isu ini.

“Apabila spesies harimau pupus, rantai makanan akan terjejas, sebagai contoh, ekosistem akan kehilangan pemangsa utama atau pendebungaan atau penyebar benih, bergantung pada spesiesnya.

“Saya sedih melihat berita hidupan liar yang terus-menerus mati akibat aktiviti yang dilakukan oleh manusia, saya berharap agar usaha pemuliharaan biodiversiti dapat membawa banyak impak yang baik.

“Terdapat banyak cara untuk kita menyumbang secara individu dalam usaha pemuliharaan ini. Antaranya melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan NGO, membina taman biodiversiti untuk menarik burung, reptilia, mamalia kecil dan serangga serta kempen untuk meningkatkan kesedaran awam.

“Tetapi perkara yang paling penting ialah untuk kita menyedari betapa kuatnya suara kita. Kita perlu lebih lantang bersuara untuk menghentikan ketidakadilan dan mengubahnya menjadi keadilan. Suara kita sangat penting dalam mengubah sistem,” kata Aidil Iman.

Satu-satunya spesies Harimau Belang yang masih wujud kini diancam kepupusan oleh perbuatan manusia yang menyebabkan mereka kehilangan habitat dan diburu untuk dijual di pasaran gelap.

Harimau Belang ini telah menjadi lambang kebanggaan negara kita apabila ia digunakan sebagai simbol Jata Negara yang menunjukkan keberanian rakyat negara kita dalam menjaga keselamatan negara. Lambang itu akan sekadar menjadi lambang jika haiwan ini pupus selama- lamanya kerana kealpaan kita dalam membantu menyelamatkan mereka.

Anda suka artikle ini? Kongsi sekarang!