Kesihatan

LELAKI JUGA BERISIKO HIDAP KANSER PAYUDARA

Selasa, 15 November 2022
Oleh Khairunnisa Khairi

Kanser payudara yang sering dikaitkan dengan wanita juga boleh terjadi kepada lelaki, dengan kira-kira satu peratus daripada populasi lelaki di dunia menghidap kanser payudara.

Dr Aminuddin Rahman Mohd Mydin berkata, lelaki akan mengalami komplikasi yang lebih teruk jika menghidapi barah payudara.



Statistik menunjukkan kanser payudara merupakan kanser tertinggi di Malaysia.

 (Sumber: MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia)

"Terdapat beberapa rawatan seperti pembedahan lumpectomy dan pembedahan mastectomy yang boleh dilakukan untuk merawat pesakit mengikut peringkat kanser payudara.


"Pembedahan lumpectomy merupakan rawatan di mana sebahagian payudara yang mempunyai sel kanser dibuang dan rawatan ini sering dilakukan untuk penghidap kanser ditahap awal. 


"Manakala pembedahan mastectomy pula merupakan satu pembedahan pembuangan semua tisu payudara untuk mencegah dan merawat kanser," katanya.


Menurut Dr Aminudin, pentingnya seseorang itu mendapatkan rawatan awal kerana peratusan untuk sembuh adalah lebih tinggi berbanding golongan yang sudah berada di tahap tiga atau empat.

“Terdapat juga segelintir pesakit yang tidak mendapatkan rawatan awal kerana terlalu risau akan kos yang tinggi dan takut akan kesan sampingan semasa menjalani rawatan.


"Faktor utama rakyat Malaysia mendapat kanser adalah kerana pemilihan pemakanan yang kurang sihat seperti makanan bergoreng, makanan segera, pengambilan karbohidrat yang banyak dan juga manisan yang berlebihan.


"Jika dilihat, rakyat Malaysia paling sukar untuk mengambil sayuran dan buah-buahan di dalam makanan," jelasnya.

Lakukan pemeriksaan awal dan dapatkan rawatan perubatan yang sewajarnya. 

(Sumber: Institut Kanser Negara)

Aminudin menyatakan bahawa ketulan pada payudara yang tidak menyakitkan, ulser, kulit berkedut atau melengkung pada payudara, kulit kemerah-merahan atau bersisik pada payudara dan puting, adalah antara simptom awal yang dialami oleh pesakit kanser payudara.

"Pesakit tidak akan berasa sakit semasa simptom awal, tetapi jika kanser merebak, pesakit akan terasa sakit pada payudara dan sakit pada tulang.

Beliau berkata, walaupun punca kanser payudara pada lelaki tidak diketahui, ia boleh berlaku akibat lebih banyak sel tisu payudara berbanding wanita. Menurut penyelidikan, kanser payudara lelaki selalunya bermula di saluran susu (duktal karsinoma).

"Oleh itu, apabila terdapat perubahan pada badan itu sendiri, rawatan segera perlu diberikan." katanya.

Menurut Aminudin, pesakit kanser perlu mendapat galakan dan sokongan moral daripada orang sekeliling untuk menghadapi penyakit dan kembali sembuh. 

Oleh itu, terdapat banyak agensi Badan Bukan Kerajaan (NGO) ditubuhkan untuk mengumpulkan semua pesakit kanser dan bekas pesakit kanser.

 Zuraini Kamal (kiri) melawat pesakit kanser yang dibantu oleh Cancer Survivor Malaysia.

(Sumber: Facebook Cancer Survivors Malaysia)

Pengerusi sukarelawan kanser negeri Kedah, Zuraini Kamal berkata, ramai yang telah bebas dari kanser dengan bantuan bersama.

"Pada mulanya, kami akan memberi nasihat dan berkongsi pengalaman kami sendiri untuk membuatkan mereka berasa selesa, dan mereka sudah pasti akan sudi untuk berkongsi tentang diri mereka pula,” kata Zuraini, yang juga merupakan seorang bekas pesakit kanser.

“Sebagai bekas pesakit kanser, saya amat memahami keadaan rakan seperjuangan sekiranya mereka kesempitan wang untuk rawatan.

Zuraini telah aktif bersama aktivis Cancer Survivor Malaysia selama 10 tahun.

“Dengan itu, kami turut menyediakan bantuan yang diperlukan kepada pesakit seperti kerusi roda, makanan, wang ringgit dan sebagainya,” tambahnya.

Like the article? Share it now!