UTOPIA

KERETA ELEKTRIK DAN KERETA HIBRID, AUTOMOTIF MESRA ALAM

Rabu , 08 Jun 2022
Oleh Husna Syamila

Kereta elektrik, kereta hibrid tidak sama dari segi sumber tenaga bahkan fungsi bagi setiap perincian automotifnya.

Kedua-dua automotif ini dicipta untuk mengurangkan penggunaan minyak petrol dan pengeluaran asap toksik yang mengakibatkan pencemaran alam.

Kereta elektrik adalah sebuah kereta yang menggunakan tenaga bateri yang mudah dicas untuk pemanduan manakala kereta hibrid pula menggunakan enjin yang menjana pembakaran dalaman yang menjimatkan minyak.

Sharifah Mahirah menaiki kereta elektrik daripada syarikat COMOS.

(Sumber: Instagram)

Automotif buatan Cohesive Mobility Solution (COMOS), antara syarikat di Malaysia yang berjaya mengeluarkan serta menawarkan servis sewaan produk kereta elektrik, sekaligus memberi peluang kepada Sharifah Mahirah Syed Mohammad, 33, untuk memandu kereta ini.

Walaupun pemanduannya hanyalah sebagai pandu uji sebelum syarikat tersebut mengeluarkan produk mereka secara rasmi, Sharifah berasa teruja apabila diberi peluang tersebut untuk merasai sendiri kelainan dalam pemanduan kereta elektrik.

Kereta elektrik COMOS dalam Electric Vehicle (EV) Car Sharing Program.

(Sumber: Website COMOS Malaysia)

“Jarak perjalanan bagi setiap kereta elektrik adalah berbeza mengikut jenama keluaran kereta elektrik itu sendiri tetapi untuk kereta COMOS dengan penggunaan komponen bateri jenis litium-ion membolehkannya bergerak 150km hingga 200km sahaja bagi setiap pengecasan penuh,” jelas Sharifah sewaktu ditemu ramah oleh Berita DIMENSi melalui Instagram.

Begitu juga dengan kelajuan yang berbeza, kereta COMOS hanya mampu bergerak dengan kelajuan 80km/j sehingga maksimum 135km/j, berlainan dengan jenama import seperti Tesla 3 yang mampu mencapai sehingga 434 km/j.

Berbeza dengan kereta hibrid yang dimiliki oleh segelintir masyarakat Malaysia yang dipercayai jimat minyak serta pemanduan lancar.

Pemilik kereta hibrid, Ahmad Azlim Abdul Halim, 39, menjelaskan kereta hibrid tidak menggunakan minyak petrol sepenuhnya kerana kereta ini juga menggunakan tenaga elektrik untuk membolehkannya bergerak tetapi dengan kadar yang menjimatkan.

Tanggapan yang mengatakan kereta hibrid dan kereta elektrik tiada beza adalah salah sama sekali kerana kereta hibrid tidak memerlukan pengecasan pada bateri keretanya.

“Satu isian bahan api kereta hibrid mampu mencapai lebih kurang 500km perjalanan apabila penggunaan bahan api tersebut menjimatkan sehingga 50 peratus berbanding kereta konvensional yang juga menggunakan bahan api.” jelas Azlim kepada Berita DIMENSi melalui WhatsApp.

Ahmad Azlim bersama kereta Honda Jazz hibrid miliknya.

(Sumber: Berita DIMENSi/Husna Syamila)

Namun begitu, perlu juga kita ketahui kekurangan dua jenis automotif ini sekiranya ada yang ingin memiliki kereta elektrik ataupun kereta hibrid sebagai mobiliti asas.

“Kekurangan stesen pengecasan bagi kereta elektrik terutama kepada pengguna yang tinggal di kondominium dan pangsapuri sememangnya menjadi masalah utama untuk akses pengecasan harian bagi setiap pengguna.

“Pengecasan kereta elektrik yang mengambil masa hingga berjam-jam juga menjadi kesulitan buat pengguna apabila sedang dalam perjalanan dan bakal memulakan perjalanan yang jauh.” jelas Sharifah kepada Berita DIMENSi sewaktu ditanya tentang kekurangan kereta elektrik.

Azlim pula menerangkan tentang pemanduan yang sederhana bagi kereta hibrid memungkinkan pengguna untuk tidak boleh memandu dengan jarak yang optimum apabila melalui lebuhraya kerana lebih tertumpu digunakan di kawasan bandar.

Sama seperti kereta elektrik, harga kereta hibrid lebih mahal berbanding kereta konvensional, ini kerana praktikaliti dan komponen yang dipasang pada badan kereta juga premium.

Kereta elektrik dan kereta hibrid ini dianggap mesra alam dan direka sedemikian untuk mengimbangi ekosistem alam.

Automotif yang bersifat mesra alam mampu membaik pulih alam sekitar yang kian tercemar dengan aktiviti pengeluaran.

Jika negara ini mengambil inisiatif untuk mula memperkenalkan dua jenis automotif ini secara rasmi, kerajaan perlu mempertimbangkan semula harga pasaran menjadi mampu milik.

Tidak mustahil untuk Malaysia memperkenalkan dua jenis kereta ini, tetapi kerajaan perlu menitikberatkan kekurangan dengan menyediakan kemudahan bagi kereta elektrik dan kereta hibrid.

Like the article? Share it now!