ENVIRONMENT

KEINDAHAN GIAM KLIMAU LENYAP, PENCEMARAN ALAM MULA MENGUASAI

Jumaat, 07 Januari 2022
Oleh Khairunnisa Musa

Air Terjun Giam Klimau yang menjadi tumpuan para pelancong.

(Sumber: Berita DIMENSi / Khairunnisa Musa)

MIRI: Mula menarik perhatian orang ramai ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar Jun 2020, Air Terjun Giam Klimau atau lebih dikenali dengan Giam Klimau yang terletak di Niah, telah menjadi tumpuan bukan sahaja kepada para pelancong, tetapi juga kepada penduduk setempat.


Sebut sahaja Sarawak, pastinya yang terlintas dalam fikiran anda adalah keindahan alam semula jadi seperti flora dan fauna, gua, serta hutan hijau yang subur. Air terjun tersebut bukan setakat indah, namun alam semula jadi yang terdapat di sekitarnya turut menambah keindahan pemandangannya.


Meskipun baru sahaja diterokai oleh penduduk setempat pada tahun 2020, Giam Klimau ini telah lama wujud sejak tahun 2011. Giam memberi maksud air terjun, atau jeram dalam bahasa Bidayuh.


Giam Klimau terletak di persimpangan ladang kelapa sawit berhampiran dengan stesen rehat Batu Niah. Para pelancong memerlukan panduan daripada penduduk kampung untuk membawa mereka sampai ke lokasi air terjun.


Muhammad Syauqi, pelancong yang berkesempatan melawat Giam Klimau pada Ogos 2020 berkongsi pengalaman sepanjang perjalanan menuju ke destinasi.


“Sebelum kami tiba ke kawasan air terjun, terdapat beberapa 'security checkpoint' ketika melintasi kawasan ladang. Kami diminta turun daripada kenderaan dan memberi rekod peribadi yang diminta oleh pengawal keselamatan,” menurut Syauqi.


Lawatan ke Giam Klimau menjadi satu halangan kerana struktur bentuk muka buminya yang beralun. Perjalanan dari bandar Miri ke Giam Klimau memakan masa selama 1 jam 15 minit dan jarak perjalanan adalah sejauh 75 Kilometer (km).


Para pelancong perlu menerokai dengan berjalan kaki selama satu jam untuk menuju ke air terjun kerana perjalanan tersebut dikelilingi oleh hutan tebal. Giam Klimau mempunyai ciri geografi yang menakjubkan di mana air hanya jatuh pada permukaan batu keras dan bukannya kolam.

Air terjun Giam Klimau yang jatuh pada permukaan batu.

(Sumber: Berita DIMENSi / Khairunnisa Musa)

Dengan beberapa ciri geografi yang menakjubkan, Giam Klimau menunjukkan pemandangan indah, lebih-lebih lagi dengan tirai airnya yang hanya terhempas ke permukaan berbatu di bawah.


Perkara yang paling menakjubkan tentang Giam Klimau ialah tonjolan berbatu yang luas, membentuk tempat perlindungan di mana pengunjung boleh berdiri di belakang air terjun dan menikmati keindahan semasa ia jatuh.


Memandangkan tiada siapa tahu bagaimana landskap luar biasa ini terbentuk, ia kekal sebagai salah satu hadiah misteri alam semula jadi untuk kita nikmati dan hargai.


Aina Nasuha Aziz, 22, berkongsi pengalaman ketika melawat Giam Klimau pada September 2020 lalu.


“Sejujurnya, saya merasakan bahawa perjalanan ke destinasi agak rumit kerana air terjun itu terletak di antara kawasan ladang kelapa sawit,” ujar Aina dalam temu bual bersama Berita DIMENSi.

Aina (bertudung merah jambu) dan rakan-rakan menikmati keindahan air terjun Giam Klimau.

(Sumber: Berita DIMENSi / Khairunnisa Musa)

“Pemandangan air terjun Giam Klimau ini mempunyai keindahan yang tersendiri, jadi saya bertekad untuk melawat ke situ buat kali kedua tetapi kali ini bersama keluarga besar saya pada awal tahun ini.


“Malangnya, suasana pada ketika itu tidak seperti apa yang kami jangkakan,” tambah Aina yang juga merupakan salah seorang pelancong tetap Giam Klimau.


Menurut Aina, suasana air terjun berubah apabila terdapat pelbagai sampah sarap di kawasan itu. Kawasan sekitar tidak indah seperti yang pernah dilihat pada bulan sebelumnya.


Giam Klimau yang pernah menjadi tumpuan utama para pelancong dan penduduk tempatan kini semakin terbiar serta dilupakan apabila kawasan sekeliling tidak dijaga dengan baik oleh pihak bertanggungjawab.


Memandangkan air terjun itu merupakan kawasan terbuka, tiada peraturan rasmi dan arahan mengenai penjagaan alam sekitar serta ketiadaan pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengendalikan kawasan tersebut.


“Giam Klimau sememangnya mempunyai daya tarikan sendiri. Saya percaya jika diberi penjagaan dengan baik, tempat ini berpotensi untuk menarik minat lebih ramai pengunjung.


“Lagipun, air sungainya sejuk dan bersih. Cuma kawasan sekeliling perlu diberi keutamaan terutamanya daripada aspek keselamatan para pelancong memandangkan ianya dikelilingi dengan hutan tebal.


“Jikalau tempat ini dijaga dengan baik, semestinya saya akan mengajak ahli keluarga yang lain untuk datang ke Giam Klimau,” kata ibu Aina, Rokiah Januar yang juga berkesempatan ketika di temubual bersama Berita DIMENSi.

Like the article? Share it now!