UTOPIA

iPad: TREND ATAU MANFAAT KEPADA PELAJAR?

Jumaat, 6 Mei 2022
Oleh Anisha Alieah

Perubahan sistem pembelajaran daripada bersemuka kepada atas talian telah menyebabkan pelbagai gajet digunakan oleh pelajar untuk memudahkan sesi pembelajaran.

Sejak kebelakangan ini, trend pelajar menggunakan iPad dilihat semakin meningkat apabila kebanyakan institusi pendidikan menukar sistem mereka kepada sistem hybrid iaitu pembelajaran secara bersemuka dan online.

Adakah penggunaan iPad memberi kesan kepada pencapaian akademik seseorang pelajar itu atau hanya sekadar ikutan ataupun trend supaya tidak mahu dilihat ketinggalan zaman?

Tidak dinafikan iPad sememangnya memudahkan pelajar untuk menimba ilmu terutama sekali bagi pelajar di peringkat universiti yang sememangnya memerlukan sesuatu gajet yang dapat memudahkan kerja mereka.

Pelajar sekolah menggunakan iPad untuk belajar dengan lebih senang dan efisien

(Sumber: News Straits Times)

Berdasarkan tinjauan oleh Berita DIMENSi yang telah dibuat di dua universiti tempatan iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan UiTM Puncak Alam, hampir 95 peratus pelajar bersetuju bahawa iPad sememangnya bermanfaat kepada pelajar kerana ringan dan mudah dibawa ke mana sahaja.

Pelajar juga mudah untuk melakukan rujukan terutamanya pada musim peperiksaan kerana semua bahan bacaan dapat dibaca melalui skrin iPad sahaja. Namun ada juga yang mengatakan bahawa iPad membuatkan pelajar lebih malas untuk membuka buku.

Menurut Alis Mohd Yani, 22, pelajar tahun tiga jurusan komunikasi dan multimedia di UiTM Shah Alam menyatakan bahawa iPad sememangnya memudahkan urusan dia untuk menyiapkan segala tugasan yang diberikan.

“Pada pendapat saya setelah hampir setahun menggunakan iPad, saya merasakan iPad ini sememangnya memudahkan urusan saya untuk menyiapkan tugasan saya yang banyak melibatkan suntingan dan harus dibuat dalam kadar segera,” kata Alis menerusi temubual bersama Berita DIMENSi.

Pelajar boleh menggunakan iPad untuk melakukan pelbagai tugasan dengan senang seperti merakam, menyunting dan banyak lagi.

(Sumber: News Straits Times)

Walaupun iPad ialah sebuah gajet yang bermanfaat, namun ada juga yang menyatakan bahawa jika penggunaannya tidak terkawal, pelajar boleh hilang fokus dan leka di dalam kelas.

Berdasarkan temuramah bersama Rosiah Harun, 46, ibu kepada salah seorang pelajar di UiTM Shah Alam menyatakan bahawa iPad ini sememangnya bermanfaat kepada pelajar namun setiap gajet pasti ada baik buruknya.

“Pelajar kena peka dan jangan terlalu leka dengan hanya bergantung kepada gajet sahaja,” katanya.

Tambahnya, jika pelajar menggunakan iPad dalam tempoh masa yang lama, ini dapat meninggalkan kesan kepada kesihatan pelajar tersebut.

“Dari segi kesihatan, penggunaan gajet dalam tempoh yang lama memberi kesan kepada mata dan penglihatan kerana melihat skrin terlalu lama. Jadi, walau bermanfaat macam mana pun, kesihatan tetap nombor satu,” ulasnya lagi.

Menurut Hidayati Mazlan, 21, pelajar tahun ketiga jurusan perubatan di UiTM Puncak Alam, iPad sememangnya amat diperlukan kerana jika hanya bergantung kepada slide yang dipaparkan oleh pensyarah, amatlah sukar untuk dilihat dari jarak jauh dan penggunaan iPad memudahkan dia untuk membuat nota secara langsung semasa sesi kuliah dijalankan.

“Pada pendapat saya, kedua-duanya mempunyai kelebihan masing-masing tetapi iPad lebih mesra alam dan penggunaannya dapat mengurangkan penggunaan kertas dan fail subjek dapat disimpan dengan lebih teratur,” kata Hidayati menerusi temubual bersama Berita DIMENSi secara fizikal.

iPad sememangnya merupakan sebuah gajet yang bermanfaat kepada pelajar dan bukan hanya sekadar trend ikutan semata-mata kerana gajet ini mempunyai banyak kelebihan yang dapat memudahkan pelajar dari pelbagai segi termasuk akademik.


Like the article? Share it now!