Environment

HUJAN BERTERUSAN, BEBERAPA SEKOLAH DI IPOH DILANDA BANJIR


Isnin, 31 Mei 2021
Oleh Alya Haslin

IPOH - Banjir kilat yang berterusan di negeri Perak sejak daripada seminggu yang lalu telah menyebabkan beberapa kawasan di daerah itu dinaiki air.


Bukan sahaja kawasan perumahan yang terjejas, malahan beberapa buah sekolah juga dilanda banjir dan mengalami banyak kerosakan.


Hujan yang turun tanpa henti sejak daripada seminggu yang lalu itu telah menyebabkan air naik di beberapa kawasan sekolah sekitar Hulu Kinta.


Temu bual Berita DIMENSi bersama Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Ipoh Perak, Azila Lazim mendapati, antara sekolah yang terjejas teruk adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mutiara, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Chulan dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Sin.


SMK Raja Chulan yang dibanjiri air lumpur.
(Sumber: Abdul Rasyid)

“Daripada enam sekolah yang terjejas, tiga buah sekolah inilah yang paling banyak kerosakan berlaku.

“Menurut laporan sekolah yang pihak saya terima, banjir ini telah mengakibatkan banyak peralatan sekolah rosak seperti perabot, meja kerusi pelajar dan guru, rak buku dan pintu kelas juga menjadi reput.

“Selain itu, kerja pembersihan juga perlu dilakukan kerana lumpur telah memenuhi ruang kelas dan anggaran kasar untuk setiap sekolah adalah bernilai antara 10 hingga 50 ribu Ringgit Malaysia,” katanya.

Walaubagaimanapun, pihak atasan iaitu Pegawai Pendidikan Daerah Kinta dan juga Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN) telah berkumpul dan membincangkan inisiatif untuk membaiki semula kesemua sekolah yang terjejas di daerah itu sebelum sekolah akan dibuka semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Setelah kami menerima laporan lengkap beserta laporan polis daripada pihak sekolah, kami akan membuat anggaran peruntukan untuk setiap sekolah yang terkesan ini,” tambah Azila lagi.

Azila turut menjelaskan peruntukan yang disediakan oleh pihak JPN Perak adalah daripada dana kecemasan dan bencana alam. Selain itu, pihak sekolah juga akan menerima sumbangan daripada badan-badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Hulu Kinta.

SMK Raja Chulan yang terjejas akibat banjir.
(Sumber: Abdul Rasyid)

Manakala menurut pengawal keselamatan, Rasyid Razak, 39, yang sedang bertugas di sekolah SMK Raja Chulan ketika itu menyaksikan detik cemas apabila air deras mula memasuki kawasan sekolah.

“Hujan lebat selama dua jam yang bermula pada jam tiga petang sehingga lima petang itu telah menyebabkan air naik di kawasan sini.

“Pada awalnya, saya agak panik apabila pondok keselamatan telah dinaiki air. Tetapi selepas dua jam, hujan sudah mula reda dan air juga sudah surut sedikit,” kata Rasyid ketika ditemu bual oleh Berita DIMENSi melalui aplikasi WhatsApp.

Menurutnya lagi, selepas hujan sudah berhenti Rasyid mula menjalankan tugasnya dengan meronda di setiap kawasan sekolah untuk memastikan keadaan sekolah dalam keadaan baik.

Malangnya, air masih lagi bertakung di beberapa buah kelas dan ada juga beberapa perabot yang rosak akibat daripada banjir lumpur.

“Selepas selesai memeriksa kesemua kawasan di dalam sekolah, saya terus melaporkan hal kerosakan ini kepada pengetua sekolah untuk beliau ambil langkah seterusnya.

“Apabila air banjir sudah surut, saya dan beberapa staf sekolah yang lain terus melakukan kerja pembersihan untuk mengelakkan kesan lumpur itu kekal di lantai dan dinding kelas,” tambah Rasyid lagi.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!