Kesihatan

GEGATA BOLEH MEMBAWA MAUT

Ahad, 6 November 2022
Oleh Humaira Kahhar

Empat tahun menderita kulit gatal akibat urtikaria (gegata), Syahirah Nurlyana, 21, meluahkan rasa tertekan dengan penyakitnya itu kerana ia menganggu kehidupan sehariannya.


Urtikaria atau nama lainnya gegata dan ludah jin merupakan keadaan di mana permukaan kulit seseorang itu timbul kemerahan, gatal dan bengkak berpunca daripada alergi, persekitaran, jangkitan dan lain-lain lagi.

Wajah Syahirah membengkak apabila urtikaria dan angioedema menyerang sekaligus.

“Bayangkan ketika cuaca panas pun saya perlu memakai jaket supaya lengan saya terlindung daripada terkena habuk yang boleh menyebabkan urtikaria saya timbul. Pada tahun kedua pula, saya juga perlu memakai jaket ketika tidur. Bukan kerana sejuk tetapi kerana terpaksa supaya urtikaria saya tidak naik.


“Pernah juga beberapa kali selepas urtikaria saya muncul, saya mula rasa sukar untuk bernafas tetapi saya tidak tahu puncanya. Saya terfikir seolah-olah saya akan mati pada ketika itu,” kata mahasiswa dari Universiti Malaya (UM) itu.


Menurut Pakar Perunding Kanan Perubatan dan Pakar Kulit di Hospital Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM), Prof Madya Dr Adawiyah Jamil, urtikaria biasanya tidak mengancam nyawa melainkan pesakit menghidap urtikaria dan dua lagi penyakit lain iaitu angioedema dan anafilaksis sekaligus.

Dr Adawiyah berkongsi keadaan urtikaria yang boleh membawa maut.

“Jika saya bertemu dengan pesakit saya, saya akan bertanya kepada beliau sama ada beliau pernah menghidap penyakit angioedema ataupun tidak. Saya akan menerangkan kepada pesakit bahawa angioedema boleh membuatkan seseorang itu berasa bengkak di bahagian mata, lidah dan mengalami kesukaran untuk bernafas.

“Kalau pesakit mempunyai simptom-simptom berikut semasa mengalami urtikaria, kemungkinan besar urtikaria pesakit mempunyai kaitan dengan angioedema dan anafilaksis juga,” katanya.

Keadaan pesakit apabila terkena urtikaria.

(Sumber: Dermatological Society of Singapore)

Tambah Dr Adawiyah, ia boleh mengancam nyawa jika melibatkan anafilaksis kerana saluran pernafasan akan menjadi sempit dan tekanan darah akan menurun. 

“Bahkan ada kes yang lebih teruk lagi, pesakit boleh terkena kejutan anafilaksis dan jika ia berlaku, pesakit harus bertindak pantas dan bergegas ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada tindak balas badan juga. Ada orang yang terkena sedikit sahaja tetapi alerginya sudah teruk,” katanya.

Pakar Perunding Dermatologi dari Hospital Columbia Asia, Dr Goh Siew Wen, menjelaskan urtikaria kebiasaannya terjadi kerana sel mast di dalam badan kita bertindak secara tidak stabil. 

Dr Goh Siew Wen berkata, urtikaria akan menjadi serius apabila ia berkait rapat dengan saluran pernafasan. 

(Sumber: Hospital Columbia Asia)

“Bila kita sentuh atau makan sesuatu yang kita alah, sel mast di dalam badan kita akan pecah dan mengeluarkan kimia yang terlalu banyak, menyebabkan urtikaria timbul di permukaan lapisan kulit.

“Semakin banyak kimia itu keluar dan merebak, semakin teruk urtikaria seseorang itu boleh berlaku. Kalau keluar terlalu banyak, pesakit urtikaria boleh terkena angiodema dan anafilaksis,” ulasnya lanjut.

Tambahnya lagi, urtikaria boleh terjadi berpunca daripada alahan kepada kesejukan, makanan, emosi, jangkitan dan bahkan tiada punca yang spesifik. 

“Meskipun demikian, urtikaria itu sendiri boleh dirawat. Urtikaria akut boleh diredakan seawal enam minggu tetapi jika pesakit mengalami urtikaria kronik seperti autoimun, urtikaria mereka mungkin akan berpanjangan,” katanya.

Like the article? Share it now!