Environment

Fenomena Hujan Air Batu dan Ribut Taufan sekitar Kuala Lumpur


Isnin, 31 Mei 2021
Oleh Hidayah Hishamly

Keadaan sekitar bazar Ramadhan Wangsa Maju selepas dilanda hujan air batu dan ribut taufan pada 6 Mei lepas.
(Sumber: Twitter / @aalyaa_khan)

KUALA LUMPUR – Fenomena hujan air batu dan ribut taufan telah melanda beberapa kawasan di Kuala Lumpur pada awal bulan Mac dan Mei tahun ini.


Intan Alya Umairah Mustaffah Albakri Khan, 21, melalui detik cemas ketika berhadapan dengan bencana ini di tapak bazar Ramadan, Wangsa Maju.


“Ketika kejadian, kami hanya mampu berlindung di bawah khemah masing-masing dan berasa amat takut untuk berhadapan dengan situasi sebegini.


“Walaupun kawasan ini pernah dilanda taufan dan hujan air batu, namun kali ini lebih dahsyat berbanding sebelumnya.


“Akibat daripada itu, kesan lubang pada khemah kami sangat teruk dan tidak dapat digunakan lagi,” kata Intan Alya menerusi temu bual Berita DIMENSi melalui Twitter.


Peniaga-peniaga bazar yang lain juga turut berdukacita dan menerima nasib yang sama.


“Ini telah memaksa mereka untuk mengeluarkan semula kos dan modal untuk membeli khemah yang baru kerana khemah telah patah dan kebanyakan barang perniagaan juga telah rosak.


“Tidak mengapalah, ini ujian buat kami dan semoga Tuhan melimpah ruahkan rezeki kami semua," katanya lagi.


Lain pula pengalaman Azri Faris, 20, pelajar jurusan pengurusan hartanah, menceritakan pengalaman pertama beliau melihat sendiri fenomena ini di Cheras pada 3 Mac lalu.


“Kejadian berlaku di sebelah petang dan pada mulanya agak pelik dengan bunyi di tingkap rumah seperti ada orang membaling batu tanpa henti.


“Menjenguk keluar dan mendapati banyak ketulan ais di beranda. Berasa sangat teruja, saya mengutip beberapa ketulan itu untuk merasa sendiri dengan tangan.


“Barulah saya mula mempercayai fenomena hujan ais batu ini benar-benar wujud dan bukanlah rekaan semata,” kata Azri Faris menerusi temubual Berita DIMENSi melalui Twitter.


Rupa sebenar hujan air batu.
(Sumber: Twitter / @hiazrii)

Pada awalnya beliau agak bimbang kerana kawasan ini tidak pernah dilanda hujan sebegini, hanya hujan ribut taufan biasa sahaja.

“Ramai juga yang terkejut dan membuat andaian kejadian ini terjadi kerana perubahan iklim yang semakin teruk.

“Tapi dari bacaan saya, ini semua adalah kejadian semula jadi alam dan orang ramai tidak perlu panik,” katanya.

Beliau juga memberitahu tiada sebarang kerosakan yang serius atau trauma yang dialami sepanjang kejadian itu berlaku.

“Saiz air batunya juga berbeza-beza dan tidaklah sebesar seperti di negara lain yang boleh mengakibatkan kerosakan harta benda yang teruk.

“Hanya terdapat beberapa cermin kereta yang retak sahaja akibat dari hentakan air batu yang berterusan,” katanya lagi.

Memetik penyataan Jabatan Meteorologi Malaysia menerusi Astro AWANI, hujan air batu tercetus disebabkan ais yang terbentuk dalam awan telah gagal untuk cair sebelum turun ke bumi.

“Suhu yang rendah di bahagian atas ribut petir telah mengakibatkan air batu itu terbentuk.

“Akan tetapi, tidak semua ribut petir menyebabkan fenomena ini berlaku kerana kadang kala air batu sempat mencair dan turun sebagai hujan biasa,” katanya.

Mereka juga tidak menafikan peluang untuk negara ini mengalami hujan air batu adalah tinggi kerana Malaysia beriklim Khatulistiwa dan sering dilanda musim tengkujuh.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!