Environment

BUKIT TAISHO: INISIATIF PENDUDUK, PENDAKI MENJAGA ALAM SEKITAR


Isnin, 14 Jun 2021
Oleh Ashyiq Haqimi

Pemandangan menarik yang boleh dinikmati dari puncak Bukit Taisho.
(Sumber: TripAdvisor)

JEMPOL – Pelbagai inisiatif telah diambil oleh penduduk setempat serta pendaki bukit bagi mengekalkan keindahan dan kebersihan Bukit Taisho.

Baru-baru ini, penduduk Taman Meranti yang tinggal berdekatan Bukit Taisho, serta ahli-ahli kelab Red Crab Hiking Society telah berganding bahu dalam menjayakan misi mereka iaitu mengekalkan kebersihan dan keindahan bukit tersebut.

Bukit Taisho yang indah ini hanya terletak sejauh lima kilometer dan mengambil lebih kurang 10 minit perjalanan daripada pekan Bahau, Jempol, Negeri Sembilan. Bukit ini sememangnya menjadi tumpuan orang awam khususnya pada hujung minggu untuk mereka melakukan aktiviti riadah.

Semenjak Bukit Taisho menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah, ramai pendaki bukit amatur datang ke sana bagi menyahut cabaran mendaki bukit tersebut. Boleh dikatakan bukit ini mudah didaki. Ramai pendaki daripada semua peringkat umur datang ke sana untuk beriadah.

Demi menjaga kebersihan bukit ini, beberapa inisiatif telah dilakukan oleh penduduk setempat serta ahli Red Crab Hiking Society kerana bimbang akan pencemaran yang boleh berlaku dek kepadatan orang awam yang mengunjungi bukit ini lebih-lebih lagi pada hujung minggu.

Salah seorang daripada ahli Red Crab Hiking Society, Kamisah Md Saim, 43, telah ditemu bual oleh Berita DIMENSi menerusi WhatsApp bagi mengupas serba sedikit usaha yang telah dilakukan untuk menjaga kebersihan bukit ini.


Kamisah bergambar dengan rakannya sejurus berjaya sampai di puncak Bukit Taisho.
(Sumber: Facebook / Kamisah Md Saim)

“Kami (ahli Red Crab Hiking Society) telah bersetuju untuk bekerjasama dengan penduduk setempat bagi menambah baik lagi usaha kami demi mengekalkan kebersihan bukit ini untuk dinikmati oleh pengunjung-pengunjung yang akan datang.

“Antara inisiatif baharu yang telah kami lakukan ialah dengan menambah papan tanda bagi memberi peringatan kepada pendaki-pendaki bukit itu untuk sentiasa menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah merata-rata,” kata Kamisah.

Gambar Shazreen bersama suami dan anaknya di rumah kediaman mereka.
(Sumber: Berita DIMENSi / Ashyiq Haqimi)

Penduduk Taman Meranti, Noor Shazreen Ayop, 34, juga telah ditemu ramah oleh Berita DIMENSi melalui aplikasi WhatsApp untuk mendapatkan penjelasan yang lebih mendalam akan usaha penduduk setempat bagi mengekalkan kebersihan dan keindahan bukit tersebut.

“Selain menyediakan papan tanda bagi tujuan peringatan untuk menjaga kebersihan bukit tersebut, kami juga menyediakan kemudahan seperti tandas, tong sampah dan macam-macam lagi demi menjayakan misi kami.

“Kami juga ingin memberi peringatan kepada pengunjung-pengunjung bukit tersebut agar sentiasa menjaga kemudahan yang telah disediakan bagi melestarikan keindahan Bukit Taisho yang kaya dengan sejarah,” kata ibu kepada seorang anak itu.

Ahli Red Crab Hiking Society serta penduduk setempat telah bersetuju untuk memberi pendedahan serta mempromosikan keindahan bukit tersebut kepada orang awam melalui pelbagai laman media sosial selain memperingatkan tentang kepentingan menjaga kebersihan dan keindahan alam sekitar tidak kira dimana jua kita berada.

Mereka juga ingin memaklumkan kepada orang awam bahawa Bukit Taisho sudah boleh didaki pada waktu malam kerana mereka telah menyediakan lampu di atas puncak bukit tersebut.

“Kini, pengunjung bukit tersebut boleh menikmati pemandangan pekan Bahau pada waktu malam dan kami ingin menjemput semua orang untuk datang menghayati keindahan alam di Bukit Taisho sejurus kes COVID-19 berkurang di negara kita,” tambah Noor Shazreen.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!