UTOPIA

'BROME' PENYERI KEDIAMAN

Jumaat, 13 Mei 2022
Oleh Haifaa Halim

SHAH ALAM - Buat penggemar tanaman hiasan eksotik, pastinya nama Bromeliad atau singkatannya ‘brome’ sudah biasa didengari. Namun begitu, ada juga yang tidak mengenalinya.

Tumbuhan yang berasal dari Amerika Selatan ini dahulunya dikenali sebagai pineapple dan mempunyai lebih 3000 spesies dengan pelbagai warna dan variasi motif seperti zigzag, belang dan bintik halus serta bentuk daun yang menarik.

Struktur majoriti bromeliad adalah seperti roset dan daunnya panjang bertindih. Bahagian tengah tumbuhan itu bertindak sebagai tangki air untuk menyimpan air hujan yang secara beransur-ansur mengalir ke seluruh tumbuhan.

Darmina Basiran, 57, pengumpul dan peniaga tanaman bromeliad, menyatakan bahawa antara spesies utama tumbuhan tersebut adalah Neoregelia, Aechmea, Alcantarea, Vriesea dan Cryptanthus.

“Keperluan tahap panas cahaya matahari bergantung kepada jenis dan spesies. Terdapat spesies yang boleh tahan 100 peratus juga ada yang hanya perlu 50 peratus panas cahaya matahari,” tambah Darmina ketika ditemu bual Berita DIMENSi melalui WhatsApp.

Bromeliad jenis Neoregelia Lucifer antara spesies bromeliad kegemaran Darmina.

(Sumber: Berita DIMENSi/Haifaa Halim)

Kerana sifatnya yang mudah dijaga selain rupanya yang unik, tumbuhan ini semakin digemari ramai dan dijadikan sebagai tanaman hiasan bukan sahaja di halaman rumah malah, di dalam rumah seperti ruang dapur dan bilik tidur.

Liza ketika sedang mengumpul daun bromeliad yang kering di sekeliling tanamannya.

(Sumber: Berita DIMENSi/Haifaa Halim)

Liza Karim, 54, berkata ketika ditemu bual di rumahnya, tumbuhan bromeliad menjadi kegemarannya kerana mudah dijaga selain mempunyai bentuk dan warna yang menarik.

Bagi Darmina, dia mula minat terhadap bromeliad semasa musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal tahun 2020 dan kini memiliki sekitar 400 tanaman tersebut di kediamannya.


Kebaikan Bromeliad Kepada Persekitaran Rumah

Selain menjadi penyeri rumah, tumbuhan ini juga mampu menjadi ejen pembersih udara di sekeliling rumah.

Satu kajian Universiti New York mendapati bahawa bromeliad berupaya mengeluarkan sehingga 80 peratus bahan kimia organik seperti aseton dan benzena yang bebas di udara sekeliling terutamanya di dalam rumah.

Antara tanaman Bromeliad milik Darmina yang menghiasi halaman rumahnya.

(Sumber: Berita DIMENSi/Haifaa Halim)

Berbeza dengan kebanyakan tumbuhan pembersih udara lain, bromeliad lebih cenderung melakukan proses pembersihan udara pada waktu malam. Jika anda mengalami kesukaran untuk tidur, tumbuhan ini amat sesuai diletakkan di dalam bilik.

Beberapa kajian lain telah menunjukkan bahawa tumbuhan ini boleh membantu mengurangkan tahap tekanan manusia juga.

“Saya rasa tenang melihat tanaman brome yang saya usahakan dan menjadi satu terapi buat saya lebih-lebih lagi ketika musim PKP lalu,” kata Liza yang merupakan seorang pengusaha Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di Seksyen 20, Shah Alam.

Tambahnya ketika ditemu bual oleh Berita DIMENSi, tanaman bromeliad milik dia yang kini ada lebih kurang 31 pokok mampu menghilangkan rasa bosan dan berkhidmat sebagai terapi minda.

Bromeliad Neoregelia ‘Winnie the Pooh’ mempunyai motif bintik-bintik pada daunnya.

(Sumber: Berita DIMENSi/Haifaa Halim)

Merujuk kajian Jepun yang memerhati bagaimana kehadiran tumbuhan dalaman mempengaruhi tahap tekanan 63 pekerja pejabat, hasil kajiannya menunjukkan tahap kebimbangan pekerja menurun dengan adanya tumbuhan di sekitar.

Tumbuhan ini amat digalakkan untuk ditanam di halaman atau dalam rumah untuk menjamin kesihatan rohani seisi keluarga.

Tanaman hiasan ini dikatakan banyak ditanam dan didapati di sekitar Pantai Timur serta boleh didapati secara atas talian.

Bagi Liza, dia lebih gemar untuk membeli secara atas talian kerana harganya yang lebih berpatutan dan berkongsi penghantaran bersama jiran-jirannya.

“Selalunya saya beli online yang dihantar dari Pantai Timur memandangkan pokok tersebut banyak di sekitar sana dan berkongsi bayaran postage dengan jiran,” ulasnya.

Menurut Darmina, harga bagi sepokok tumbuhan ini adalah antara RM10 dan boleh mencecah sehingga RM 500 bergantung pada spesis, saiz dan kematangan.

Tumbuhan ini wajar dijadikan sebagai salah satu tanaman hiasan di kediaman rumah sebagai inisiatif untuk mewujudkan persekitaran yang segar dan berseri.

Like the article? Share it now!