Environment

APLIKASI PENGHIJAUAN MALAYSIA: INISIATIF KEMPEN 100 JUTA POKOK


Isnin, 7 Jun 2021
Oleh Iman Muttaqin

Laman utama Aplikasi Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025.
(Sumber: Berita DIMENSi / Iman Muttaqin)

Pengguna telefon mudah alih kini boleh memuat turun aplikasi Penghijauan Malaysia di Apple dan Google Play store bersempena dengan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang berlangsung selama lima tahun usaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).


Bermula daripada laman web rasmi Penghijauan Malaysia yang dibangunkan sendiri oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, sekarang pengguna boleh mengakses aplikasi ini di mana sahaja mereka berada.


Penolong Setiausaha Bahagian Pengurusan Perhutanan KeTSA, Azuan Roslan berkata, fungsi utama aplikasi tersebut adalah untuk mendaftar dan merekodkan pokok yang ditanam oleh setiap individu yang menyertai kempen tersebut.


“Semua pihak tidak kira individu, agensi kerajaan mahupun swasta boleh memuat turun aplikasi ini atau pergi ke laman web rasmi Penghijauan Malaysia untuk mendaftar.


“Setiap perisian aplikasi adalah lengkap dengan data-data yang dibekalkan oleh Malaysia Biodiversity Information System (MyBis) dan juga pakar-pakar seperti pensyarah atau pengkaji.


“Pengguna juga boleh mencari maklumat spefisik mengenai tumbuhan dan pokok di perisian ensiklopedia khas di dalam aplikasi Penghijauan Malaysia.


“Aplikasi ini dimajukan dengan kepakaran sendiri dan hanya 30 peratus sahaja dibantu oleh syarikat luar seperti Puncak Tegap Sdn Bhd,” kata Azuan menerusi panggilan telefon bersama Berita DIMENSi.


Infografik fungsi aplikasi Penghijauan Malaysia.

Menurut Azuan, peserta juga boleh mengumpul mata ganjaran setiap kali mereka menanam pokok dan menebus ganjaran di laman web Penghijauan Malaysia.

“Pernah ada yang menebus baucar, topi, pelitup muka dan buku keluaran khas Penghijauan Malaysia.

“Peserta disarankan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menanam pokok di kawasan rumah masing-masing dan merekodkan bilangan pokok di aplikasi Penghijauan Malaysia,” kata beliau.

Tambah beliau lagi, pencapaian kempen dapat dilihat melalui laman web rasmi atau aplikasi mudah alih. Ia akan merangkumi seperti jumlah pokok, spesis pokok, jumlah tanah terlibat dan bilangan peserta yang dikemaskini setiap hari.

Sehingga kini lebih daripada lapan juta pokok telah ditanam oleh 2,021 peserta yang menyertai kempen ini dan angka tertinggi tanaman pokok mengikut negeri adalah di negeri Sarawak dengan lebih empat juta tanaman direkodkan.

Infografik jumlah tanaman pokok mengikut negeri terkini 29 Mei 2021.

Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilaksanakan dalam tempoh lima tahun ini mensasarkan penglibatan oleh orang ramai dari pelbagai pihak yang merangkumi agensi kerajaan yang berkaitan, syarikat swasta dan korporat, badan bukan kerajaan, institusi-institusi pendidikan serta orang awam dalam menjayakan kempen ini.

Khairul Na’im, 33, pegawai hutan daerah Perak Selatan berkata sepanjang penglibatannya bersama kempen ini, beliau akan merekodkan tanaman yang ditanam di bawah akaun pejabat yang akan menyumbang kepada jumlah tanaman pokok oleh jabatan perhutanan negeri.

Khairul Na’im bersama rakan pejabatnya menyertai program Penghijauan Malaysia dan lawatan sambil belajar di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungkai 8 April 2021.
(Sumber: Khairul Na'im)

Mengulas lanjut, beliau juga berpuas hati dengan kemudahgunaan aplikasi Penghijauan Malaysia.

“Pada pendapat saya, program Penghijauan Malaysia ini mendapat sambutan yang ramai di banyak peringkat seperti agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan individu.

“Walaubagaimanapun, publisiti mengenai program ini perlu dilaksanakan secara berterusan sehingga mencapai target tanaman 100 juta pokok,” ulas Khairul Na’im apabila ditemu bual oleh Berita DIMENSi melalui aplikasi Whatsapp.

Like the article? Share it now!